Friday, July 21, 2017

Kes Culik/Tebusan Wanita S'pura Di Filipina Angkara Ah Long..



REUTERS - De LA ROSA (kanan) bercakap dengan seorang daripada 44 suspek kes culik yang ditahan di Ibu Pejabat Polis di Manila semalam.



MANILA – Seramai 44 suspek warga China dan Malaysia ditahan di Filipina kerana menculik dan memukul seorang wanita Singapura yang dilarikan dari sebuah kasino di Manila, kata pihak berkuasa semalam.
Setiausaha Rendah Keadilan, Erickson Balmes berkata, polis menemui mangsa, Wu Yan, 48, di sebuah kondominium di sini kelmarin.
“Dia dijumpai sehari selepas diculik oleh dua rakyat Malaysia yang menjadi anggota geng tersebut.
“Mangsa ditahan, dikurung, dipukul dan diugut oleh penculiknya. Mereka meminta wang tebusan AS$180,000 (RM773,000) untuk membebaskannya,” kata Balmes.
Polis berkata, dua rakyat Malaysia bersama 42 suspek China itu ditahan selepas mangsa diselamatkan. Mereka akan didakwa kerana menculik.
“Kumpulan ini dipercayai mendalangi penculikan warga asing yang berbelanja besar di kasino sejak beberapa bulan lalu,” kata Balmes.
Beliau tidak memberikan maklumat lanjut mengenai kes penculikan lain atau apa yang berlaku kepada mangsa berkenaan.
Jurucakap Unit Antipenculikan Polis Filipina, Abelardo Borromeo berkata, anggota geng itu dipercayai merupakan sebahagian daripada sindiket ah long yang beroperasi di kawasan genting yang menempatkan kasino-kasino berkenaan di hadapan Teluk Manila.
Mangsa sedang berjuddi sebuah kasino sebelum dua suspek Malaysia itu ‘berkawan’ dengannya dan mengajak dia mencuba nasib di kasino lain di kawasan sama, kata Borromeo.
Bagaimanapun, suspek membawa mangsa ke kondominium tersebut dan menuntut wang tebusan, tambahnya.
Semalam, Ketua Polis Filipina, Jeneral Ronald Dela Rosa berikrar akan membasmi penculikan ketika kesemua suspek berkenaan ditampilkan kepada pihak media.
“Kamu bebas datang berjudi, tetapi kamu tidak bebas melakukan jenayah ketika berada di Filipina,” katanya kepada mereka. – AFP

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails