Tuesday, July 18, 2017

Bida Projek Terowong Dasar Laut DAP PP -PCM Gesa Sisat


PULAU PINANG – Parti Cinta Malaysia (PCM) akan membuat laporan kali kedua kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kontroversi projek terowong dasar laut oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang.
Naib Presidennya, Datuk Huan Cheng Guan berkata, laporan itu ekoran pendedahan terbaharu yang mendakwa kerajaan negeri menganugerahkan projek itu kepada syarikat yang mempunyai modal di bawah paras ditetapkan.
Menurut beliau, laporan kepada SPRM itu juga susulan laporan polis yang dibuat pihaknya semalam di Balai Polis Perai di sini supaya siasatan lebih terperinci dapat dilakukan pihak berkuasa berhubung kontroversi pembidaan projek berkenaan.
“Ini adalah laporan kali kedua kita kepada SPRM selepas membuat laporan sama tahun lalu dan kali ini kita akan terus ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya.
“Laporan ini bertujuan menggesa pihak berkuasa menyiasat sekiranya wujud penipuan atau unsur salah guna kuasa dalam proses pembidaan projek berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Cheng Guan, syarikat yang dianugerahkan projek terowong dasar laut itu didakwa memiliki modal bernilai 1,900 kali ganda lebih rendah daripada paras minimum ditetapkan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Selain itu, kata beliau, kebimbangan juga menjurus kepada kemampuan kewangan syarikat tersebut menyiapkan projek berkenaan yang kini tertangguh selama lebih tiga tahun tetapi sudah menerima bayaran fi daripada kerajaan negeri berjumlah RM220 juta.
Dalam pada itu, beliau turut menempelak pihak pemaju projek berkenaan yang akan memfailkan injunksi bagi melarang pihak ketiga daripada mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung projek tersebut di Mahkamah Tinggi di sini Khamis ini.
Tindakan itu, ujarnya, seolah-olah cuba menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan orang ramai serta membelakangkan prinsip telus yang kononnya diperjuangkan Kerajaan DAP Pulau Pinang. – MalaysiaGazette

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails