Friday, July 21, 2017

Arab Saudi, Batalkan Sekatan Terhadap Qatar! -TPM Turki.


 REUTERS - AKSI Numan ketika wawancara bersama Reuters di Ankara, Turki pada 5 Julai lalu.
DOHA – Timbalan Perdana Menteri Turki, Numan Kurtulmus menggesa Arab Saudi dan tiga lagi kerajaan Teluk menggugurkan 13 tuntutan mereka terhadap Qatar kerana ia mencabuli kedaulatan negara itu.
Beliau membuat gesaan itu dalam satu wawancara de­ngan saluran berita Al Jazeera di Doha yang disiarkan kelmarin.
Dalam temu bual tersebut, Numan mengeluarkan amaran tersirat kepada Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Beliau berkata, UAE perlu menampilkan pendirian berasaskan keamanan dan penyelesaian kerana konflik itu berisiko mencetuskan konflik lain dan kesannya pula sukar untuk diduga.
“Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan sedia mendengar pandangan semua pihak tetapi Arab Saudi perlu menggugurkan 13 tuntutan tersebut.
“Di pihak Qatar pula, Doha mesti mengambil pendirian positif yang akan memberi laluan kepada rundingan, manakala Turki bersedia untuk menjadi orang tengah,” kata Numan.
Pada Selasa lalu, pejabat Presiden Turki memaklumkan bahawa Erdogan akan melawat Arab Saudi, Kuwait dan Qatar pada 23 dan 24 Julai ini dalam usaha menyelesaikan krisis itu.
Sebelum ini, Emir Kuwait dan beberapa setiausaha serta menteri kanan dari Amerika Syarikat, Britain, Perancis serta Jerman cuba untuk menamatkan krisis tersebut tetapi gagal.
Namun, Numan berkata, beliau percaya ketegangan di Teluk boleh diselesaikan dan Erdogan akan cuba untuk membantu.
Turki memihak kepada Qatar dalam perbalahan itu yang bermula pada Jun lepas apabila Arab Saudi, UAE, Bahrain dan Mesir mengenakan sekatan terhadap Doha yang dituduh menyokong kumpulan pengganas.
Pemimpin empat negara itu menuntut Doha menerima 13 tuntutan mereka termasuk menghentikan operasi Al Jazeera dan menutup pangkalan tentera Turki di Qatar.
Qatar menolak dakwaan dan tuntutan tersebut tetapi bersedia untuk berunding. – Reuters

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails