Thursday, November 17, 2016

Hidup Melarat Di Australia Lepas Ditipu Ejen Kerja Petik Buah ...



SWAN HILL, AUSTRALIA 14 Nov. - Tawarannya cukup luar biasa. Hanya bekerja di ladang namun mampu meraih gaji minimum RM9,000 dan ke atas sebulan. Jumlahnya amat lumayan, menyamai pendapatan bulanan golongan profesional di Malaysia.

Ia digambarkan oleh ejen-ejen pencari pekerja sebagai bekerja sambil melancong. Pekerjaannya mudah, hanya petik buah sahaja. Ada anggur, ada epal, nektarin dan pic.

Jangan risau, segalanya disediakan, baik rumah, tempat kerja dan pengangkutan pergi balik ke ladang. Hanya bayar sahaja. Oh, mudah sekali.

Beberapa ejen yang dihubungi penulis didapati menggunakan modus operandi yang sama iaitu dengan mempamerkan kemewahan pekerja-pekerja ladang untuk memancing minat.

Ejen juga akan tampil bergaya apabila bertemu dengan prospek mereka. Mereka datang dengan kenderaan mewah, memakai barang kemas, jam yang mahal dan akhirnya menunjukkan slip bank wang simpanan mereka sewaktu bekerja di Australia.

Kebanyakan daripada ejen merupakan bekas pekerja ladang di Australia dan mereka sebenarnya tahu apa masalah dan cabaran yang menanti di ladang-ladang namun tidak mendedahkannya secara menyeluruh.

Mereka juga ada hubungan dengan kumpulan sub-kontraktor yang membekalkan buruh haram di ladang-ladang serata Australia.

“Kawan saya yang pernah duduk sini balik ke Malaysia, sekarang jadi ejen di sana, dia mahu hantar pekerja di bawah saya, kalau mahu saya bantu, boleh.

“Nanti kalau Saiful mahu jadi ejen di Malaysia pun boleh” kata Pak Mor, warga Indonesia yang menjadi orang kanan seorang kontraktor utama berbangsa Afghanistan di sekitar Swan Hill yang dikenali sebagai Lee.

Apa yang menjadi matlamat ejen adalah keuntungan segera. Caj perkhidmatan mereka tidak termasuk harga tiket, permohonan visa dan lain-lain urusan logistik adalah kira-kira RM1,500 ke RM4,000. Keuntungan bersih tanpa perlu bekerja keras.

Sasaran mudah mereka adalah penduduk kampung khususnya di Kelantan, Terengganu dan Kedah dengan kebanyakan daripada mereka tidak mempunyai pendidikan yang tinggi.

Selain menampal poster di kedai-kedai kopi, ejen juga memanfaatkan kemudahan di Internet dengan membuat iklan di blog dan Facebook.

Segalanya digambarkan cukup indah dan sempurna sehingga ada bakal pekerja sanggup berhutang daripada kawan-kawan mahupun keluarga untuk membayar perkhidmatan mereka.

Bagaimanapun, ada ejen yang mencuci tangan sejurus mangsa menaiki penerbangan dan apabila dihubungi selepas mendarat, telefon sudah tidak diangkat lagi.

Akhirnya ‘terlepas dari mulut buaya, masuk mulut harimau’. Dalam keadaan tertekan, terdesak dan kecewa, golongan berkenaan tiada pilihan dan terpaksa mencari sendiri peluang pekerjaan sehingga menjadi mangsa manipulasi sub-kontraktor yang menguruskan penempatan pekerja di ladang.

Apabila ditanya mengenai kes penipuan oleh ejen, mereka bijak mengalihkan perhatian termasuk menggunakan helah syarikat mereka berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan mempunyai rekod prestasi yang baik.

Pun begitu, berdaftar atau tidak, menipu atau tidak, mereka tetap melakukan kesalahan kerana menghantar pekerja Malaysia ke Australia secara tidak sah tanpa pengetahuan mangsa yang berpandangan mereka masuk dengan betul kerana sudah diuruskan ejen.

Ejen-ejen ini bukan sahaja menganiayai pencari pekerjaan dari Malaysia bahkan telah memburukkan nama negara sehingga pasport Malaysia semakin disyaki oleh Imigresen Australia kerana sudah terlalu ramai rakyat kita ditangkap menyalahgunakan visa pelancong.

Kelompok ini merupakan antara pemangkin utama yang menyebabkan rakyat Malaysia menjadi hamba era moden di dalam ladang di Australia.

Masalah ini juga berada dalam pengetahuan Wisma Putra yang kini mengkaji dan mengambil langkah-langkah untuk menanganinya daripada terus berleluasa.

Malah, Konsul Jeneral Malaysia di Melbourne, Westmorland Palon pernah membantu warga Malaysia yang terpedaya dan ‘terperangkap’ di Australia selepas ditipu ejen mencari pekerja ladang.


Komen Weblog Ibnu Hasyim: Untuk maklumat tambahan, sila hubungi..

  
Ibnu Hasyim
Alamat: ibnuhasyim@gmail.com 

Tel 014 222 5865 (KL)       

17 Nov 2016.

Lihat keseluruhan..

E-Buku IH-106: Kerja Ladang, Australia & Islam.

E-Buku IH-106: Kerja Ladang, Australia & Islam.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails