Friday, November 18, 2016

Etnik Rohingya Lari Ke Sempadan Bangladesh.


Agensi-Seorang wanita mendukung anaknya disebuah kem di Bangladesh.

SITTWE, Myanmar – Beratus-ratus etnik Islam Rohingya di barat Myanmar terpaksa melarikan diri ke Bangladesh untuk mengelak daripada menjadi mangsa kekejaman tentera Myanmar apabila angka kematian kini telah mencecah kepada 130 orang.


Sejumlah etnik itu ditembak mati ketika mereka cuba menyeberangi sungai Naaf yang memisahkan antara Myanmar dan Bangladesh.
Sebilangan daripada mereka yang tiba dengan menggunakan bot pula diusir oleh pengawal sempadan Bangladesh mengakibatkan mereka terkandas di laut.
Pertumpahan darah di negeri Rakhine dikatakan paling serius selepas beratus-ratus orang terbunuh dalam pergaduhan etnik sejak tahun 2012.
Keadaan yang semakin tegang itu mendedahkan kelemahan pentadbiran kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi yang berusia tujuh bulan lalu untuk memantau tindakan kejam tentera.
Pihak tentera dilihat semakin ramai di sepanjang kawasan Myanmar dan Bangladesh apabila mereka berbalas serangan dengan pemberontak di tiga pos sempadan pada 9 Oktober lalu menyebabkan sembilan anggota polis terbunuh.
Malah, mereka turut menutup daerah yang didiami penduduk Rohingya selain menghalang petugas bantuan dan pemerhati bebas daripada memasuki kawasan ber­kenaan.
Pasukan tentera dikatakan telah mempergiatkan operasi sejak tujuh hari lalu dan turut menggunakan helikopter untuk menggempur beberapa perkampungan Rohingya.
Pihak berkuasa di Bangladesh menganggarkan sekurang-kurangnya 5,000 Rohingya melarikan diri dari Myanmar sejak serangan Oktober lalu.
Pelarian berkenaan kini menetap di empat kem Rohingya di sempadan Bangladesh, namun pada Selasa lalu, pengawal sempadan menghalau sekumpulan besar etnik berkenaan daripada menyeberangi sungai Naaf.
“Kira-kira 80 etnik Rohingya termasuk 40 wanita dan 25 kanak-kanak telah dihalau oleh Pengawal Sempadan Bangladesh daripada pos sempadan Teknaf.
“Kesemua daripada mereka cuba memasuki Bangladesh dengan menggunakan dua bot laju,” kata pegawai pemerintah tentera di Cox’s Bazar, timur Bangladesh, Leftenan Kolonel Anwarul Azim.
Sementara itu, Ketua Polis Maungdaw, Kyaw Mya Win mendakwa, mereka melarikan diri kerana gagal menyerang pihak tentera.
“Penduduk kini menjadi pembe­rontak termasuk wanita di kawasan perkampungan berkenaan,” katanya. – Reuters

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails