Thursday, November 17, 2016

Format Baharu UPSR, Seramai 4,896 Calon Dapat Semua A

Hasil carian imej untuk upsr

PUTRAJAYA – Seramai 4,896 daripada 452,721 murid mendapat keputusan cemerlang Gred A bagi semua mata pelajaran dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2016, kata Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof.

Beliau berkata calon tahun ini merupakan kohort pertama yang menduduki peperiksaan itu di bawah format baharu UPSR sejajar pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang turut menekankan unsur Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

“Kita tidak boleh membandingkan analisis UPSR 2016 dari tahun lalu (38,344 dapat Gred A) kerana ini merupakan kohort pertama yang mengikuti KSSR,” katanya mengumumkan analisis keputusan UPSR 2016 di Kementerian Pendidikan di sini, hari ini.

Khair berkata seramai 8,345 calon atau 1.89% memperoleh keputusan maksimum 1B; 35,752 calon atau 8.11% memperoleh minimum 2B; 91,366 calon atau 20.73% (minimum 1C).

“Seramai 152,825 calon atau 34.67% (minimum 1D), 137,262 calon atau 31.14% (minimum 1E) manakala 9,519 calon atau 2.16% mendapat semua E,” katanya.

Gred Purata Nasional (GPN) UPSR 2016 merekodkan 2.96 mata, katanya.

Secara keseluruhannya, Khair berkata beliau berpuas hati dengan keputusan USPR tahun ini kerana murid bukan saja dapat menjawab soalan aneka pilihan tetapi mampu menjawab soalan terbuka yang memerlukan daya fikiran.

“Format baharu UPSR menambah ujian subjektif bagi kertas Pemahaman untuk semua mata pelajaran bahasa berbanding hanya ujian objektif sebelum ini.

“Soalan objektif pelbagai bentuk dan respons terhad merupakan elemen baharu bagi kertas pemahaman mulai peperiksaan USPR tahun ini di samping pengekalan soalan objektif aneka pilihan,” katanya.

Khair berkata penambahbaikan terhadap format itu dapat memberi gambaran tentang kekuatan dan kelemahan calon dalam kemahiran membaca (pemahaman) dan menulis.

“Bagaimanapun, kertas peperiksaan Bahasa Inggeris yang dipecahkan kepada bahagian pemahaman dan penulisan (tahun lepas digabungkan) dan mendapati aspek penulisan calon masih belum mencapai tahap diharapkan,” katanya.

Ketika membuat perbandingan mengenai pencapaian calon bandar dan luar bandar, Khair berkata prestasi calon bandar lebih baik berbanding calon luar bandar bagi pencapaian semua A, maksimum 1B, minimum 2B dan minimum 1C.

Peratusan calon yang mendapat pencapaian cemerlang dalam semua mata pelajaran iaitu semua Gred A di bandar dan luar bandar pada tahun ini, masing-masing 1.48% (3,174) dan 0.76% (1,722).

“Ini bermakna jurang pencapaian cemerlang antara calon di bandar dan di luar bandar 0.72%,” katanya.

Bagi calon berkeperluan khas (CBK), seramai 1,333 calon menduduki peperiksaan UPSR tahun ini, dan 2 calon memperoleh pencapaian cemerlang semua A dan 7 lagi memperoleh pencapaian maksimum 1B dalam semua mata pelajaran yang diduduki.

Ditanya apa yang perlu diberikan perhatian atau fokus oleh calon tahun depan, Khair berkata: “Untuk peperiksaan 2017, calon perlu dilengkapi dengan keputusan peperiksaan UPSR, pentaksiran sekolah dan aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum.

“Selain itu, kita mahu calon menunjukkan keupayaan intelek melalui penguasaan ilmu, sahsiah serta pentaksiran psikometri yang mengandungi pelbagai maklumat mengenai calon secara menyeluruh,” katanya.

Khair berkata maklumat itu akan menunjukkan kecenderungan dan minat pelajar dan boleh digunakan semua pihak kerana ia menggambarkan profil calon sebagai modal insan untuk negara di masa akan datang.

Kepada soalan lain, beliau memaklumkan semua pelajar yang menduduki peperiksaan UPSR 2016 layak memasuki Tingkatan Satu. – BERNAMA

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails