Tuesday, March 08, 2016

Esok Gerhana Matahari Di Indonesia

Gerhana matahari Mac 2016 timeanddate.com.
JAKARTA – Fenomena gerhana matahari penuh akan melintasi seluruh kepulauan Indonesia pada minggu ini dan bakal disaksikan oleh beribu-ribu peminat astronomi di samping penganjuran parti, upacara penduduk pribumi dan majlis keagamaan.
Bermula di pedalaman Suma­tera pada pukul 6.20 pagi (esok waktu tempatan), gerhana itu dijangka bergerak ke Kepulauan Maluku. Orang ramai bakal berhimpun untuk menyaksikan pergerakan gerhana itu satu lingkungan luas melintasi Indonesia.
Indonesia merupakan negara kepulauan terbesar di dunia.
Sekitar 10,000 pelancong asing dan 100,000 pelancong tempatan dijangka menyaksikan fenomena itu, manakala beberapa acara khas akan dianjurkan di seluruh negara seperti festival muzik dan perlumbaan bot naga.
Antara peminat fenomena alam semula jadi itu termasuk seorang puteri Thailand yang baru-baru ini mengundang perhatian media susulan sebuah tandas khas berharga AS$40,000 (RM163,000) yang dibina sempena lawatannya di Kemboja langsung tidak digunakan.
Beberapa buah hotel di Indonesia yang mempunyai sudut pemandangan terbaik juga sudah penuh ditempah sejak beberapa minggu lalu. Di sebuah bandar di negara itu pula, pihak berkuasa tempatan terpaksa menyediakan ruang tambahan di dalam bot pelancong asing dan tempatan.
“Ini adalah tahun istimewa kerana kami mempunyai fenomena ini. Gerhana ini merupakan tarikan pelancongan ciptaan Tuhan. Kami sangat bertuah,” kata ketua pengendalian pelancong asing, I Gde Pitana kepada agensi berita AFP.
Fenomena itu juga melibatkan sudut rohaniah dengan pemimpin-pemimpin Islam meminta umat Islam di Indonesia melakukan solat sunat gerhana.
Indonesia merupakan negara yang mempunyai penduduk Islam terbesar di dunia.
Namun, ada juga dalam kalangan 70 juta penduduk pribumi Indonesia yang takutkan fenomena itu. Kaum Dayak di pulau Borneo akan menjalankan upacara khas bagi memastikan gerhana itu tidak berterusan terlalu lama. Dilaporkan oleh AFP

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails