Friday, March 11, 2016

Bandar Jengka Layak Dinaikkan Taraf



BANDAR TUN RAZAK JENGKA: Lazimnya sesebuah bandar dikaitkan dengan Cina kerana tradisi komuniti bangsa tersebut mengusahakan perniagaan.


Berdasarkan ukuran itu, di sinilah terletaknya keistimewaan Bandar Pusat Jengka, Pahang kerana ia sebuah bandar baru yang dikuasai oleh masyarakat Melayu 100 peratus. 


Dengan nama rasminya Bandar Tun Razak Jengka, ia terletak di tengah-tengah gugusan tanah rancangan Felda yang terbesar di Malaysia yang dulunya dikenali sebagai Jengka Tiga Segi kerana meliputi tiga daerah iaitu Maran, Temerloh dan Jerantut.


Bandar tersebut pada mulanya merupakan sebuah penempatan pekerja-pekerja Kilang Syarikat Jengka Sdn Bhd. (SJSB) anak syarikat kerajaan Pahang sekitar tahun 1969. Namun beransur-ansur menjadi penting sebagi pusat perniagaan bagi menampung keperluan puluhan ribu warga peneroka pada ketika itu. 



‘Bandar Felda’ ini terletak di bawah pentadbiran Daerah Maran tetapi berada di bawah Parlimen Kuala Krau. 

Bermula pada tahun 1983 pembangunan Bandar Jengka telah diurustadbir oleh sebuah agensi kerajaan pusat iaitu Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ). Pada ketika itulah Bandar Jengka membangun dengan pesat menyamai sebuah daerah. Di situlah terletaknya Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang iaitu universiti pertama di negeri ini. Terdapat dua buah kolej, empat buah sekolah menengah, tiga buah sekolah rendah dan maahad tahfiz. 

Kemudahan lain ialah hospital Jengka, Masjid Sultan Ahmad Shah, lima buah bank perdagangan, Tabung Haji serta agensi kerajaan yang lain seperti Jabatan Agama Islam, balai polis, bomba, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pengangkutan Jalan Raya dan pejabat Bekalan Air Pahang. 

Namun setelah LKWJ dibubarkan pada Oktober 2000, Bandar Jengka yang diserahkan kepada Majlis Daerah Maran (MDM) kelihatan tidak terurus dan sudah tentu memberikan imej negatif kepada bandar Melayu terbesar ini di mata umum. Semak samun di kebanyakan tempat, longkang yang tersumbat dan dipenuhi semak, bangunan rumah pangsa yang menakutkan serta perumahan terbengkalai semua itu menyakitkan mata dan tidak menggambarkan ia bandar Felda, sebuah agensi yang kaya.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan berkenaan (1999 – 2004) telah acap kali mendesak kerajaan agar Jengka yang kini dihuni penduduk hampir 300,000 diwujudkan daerahnya sendiri bagi menjaga kebajikan penghuninya. 

“Dengan penduduk yang menjangkau 300,000 dan hasilnya yang tinggi kita mahu Jengka ini menjadi satu daerah baru bagi menjana ekonomi penduduk dan supaya perkhidmatan perbandaran dapat ditumpukan secara berkesan.”

“Pada masa ini bandar dan tanah rancangan dengan hampir seratus peratus penduduk Melayu itu berada dalam kawasan Majlis Daerah Maran. Namun rata-rata merungut kerana perkhidmatan perbandarannya seperti pembersihan sampah, semak samun dan longkang jauh daripada memuaskan,” katanya.

Sebenarnya kedudukan strategik Bandar Jengka sememangnya layak dinaikkan taraf menjadi daerah sendiri kerana terdapat dua buah bandar kecil berhampirannya iaitu pekan Sungai Jerik dan Pekan Kuala Krau. Lagipun selama ini penduduk persekitaran sememangnya berurusan di Bandar Jengka yang sudah lengkap dengan pra-sarana dan keperluan sebuah daerah. 

Dengan siapnya jambatan baru Kuala Krau merentasi Sungai Pahang, Bandar Jengka menjadi semakin penting. (LWRPP)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails