Monday, February 29, 2016

Import Madu Ini Dilarang Serta-merta, Mengapa?

PENGGUNA
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengenakan larangan import produk Manuka Honey berkuat kuasa hari ini (Ahad), susulan penarikan balik pengeluarannya di New Zealand kerana kemungkinan mengandungi bahan terlarang.    

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penarikan balik produk madu itu dibuat Syarikat Evergreen Life Limited di New Zealand kerana terdapat maklumat kemungkinan ada bahan tidak dibenarkan iaitu dihydroxyacetone danmethylglyoxal yang digunakan dalam pemprosesannya.  

Larangan itu berkuat kuasa hari ini dan pengguna yang telah membeli produkitu dinasihatkan supaya tidak memakan produk tersebut dan memulangkannya kepada penjual, katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad. 

"Walaupun tidak ada bahaya keselamatan makanan, pengguna yang telah memakanproduk ini dan mempunyai keraguan terhadap kesihatan mereka boleh merujuk kepada doktor untuk mendapatkan nasihat perubatan," katanya. 

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata pihaknya membuat tindakan susulan selepas penarikan balik produk itu dilaporkan dalam laman web Kementerian Perusahaan Utama New Zealand.

Katanya semakan data import dari 2015 hingga kini yang diperoleh melalui Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia menunjukkan produk terbabit ada dibawa masuk ke negara ini.  

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham menjelaskan pihaknya juga dimaklumkan oleh pihak pengimport produk tersebut bahawa mereka sedang menarik balik Manuka Honey daripada pasaran secara sukarela. 

Beliau berkata ini kerana dua bahan tidak dibenarkan, ditambah pada makanan tersebut di bawah Akta Makanan 1983. 

"Pengguna tidak perlu khuatir kerana kementerian sentiasa menjalankan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan ke atas isu berhubung dengan keselamatan makanan bagi memastikan kesihatan orang ramai sentiasa terjamin.    

"Sekiranya pengguna rasa ragu-ragu dengan status keselamatan makanan yang terdapat di pasaran tempatan, pengguna boleh membuat laporan melalui Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman webhttp://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di www.facebook.com/bkkmhq," katanya.-Bernama

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails