Wednesday, August 05, 2015

RM2.6 Bilion Dimasukkan Ke Akaun PM Najib Adalah Rasuah?

ADAKAH wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dikatakan dana sumbangan derma dan bukannya daripada syarikat pelaburan negara sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah rasuah dari sudut Islam?
.
Jumlah atau nilai pemberian yang luar biasa kepada seorang penguasa atau pegawai boleh dianggap rasuah jika tujuannya adalah kerana kedudukannya, kata Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, hari ini.

Mufti Perlis itu berkata, seseorang penguasa, pegawai atau petugas hendaklah merenung dirinya, pemberian yang diberikan kepadanya itu mempunyai kaitan dengan jawatan dipegangnya atau tidak.

"Jika ada kaitan yang akan mempengaruhi tindakannya atau akan mengganggu keadilan atau amanahnya, maka itu rasuah. Kesan itu sama ada secara langsung atau tidak langsung," katanya dalam kenyataan Facebook, hari ini.

Asri berkata, sebaliknya jika pemberian itu atas dasar sahabat dan kenalan, ikhlas tanpa mengharapkan apa-apa, dan tiada ruang untuk penyalahgunaan kuasa maka ia dinamakan hadiah. Katanya, situasi itu seperti memberikan hadiah kepada sahabat walaupun penerimanya adalah seorang pegawai besar dalam sesuatu urusan.

"Namun pemberian itu bukan kerana kedudukan atau untuk penyalahgunaan kuasa maka itu dianggap hadiah," katanya.

Beliau berkata sedemikian selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata semalam wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah dana sumbangan derma dan bukannya daripada syarikat pelaburan negara sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

SPRM dalam kenyataan semalam mengesahkan hasil siasatan yang dibuat dan sudah dirujuk dan dimaklumkan kepada peguam negara.
Laporan akhbar The Wall Street Journal (WSJ) sebelum ini mendedahkan penyiasat Malaysia mengesan berbilion ringgit wang 1MDB disalurkan ke beberapa syarikat sebelum transaksi terakhir didepositkan ke akaun peribadi Najib di Ambank.

Bekas timbalan perdana menteri yang disingkirkan, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Najib mengaku kepadanya wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaunnya adalah dari "Timur Tengah".

Dr Asri
Dalam weblog ini 'Bagaimana Nak Hapus Rasuah, Makna Rasuah Pun Tak L...' Ibnu Hasyim mengulas pada Mac 20, 2009. mengenai 'Rasuah' kira-kira begini..

[Okey, saya jawab! Dalam kitab ‘Riadhus Sholihin’ (Fasal 1 .Haram berlaku zalim dan perintah mengembalikan hak orang’, hadis no 7) dinukilkan sebuah hadis Abu Humaid (Abdurrahman) bin Saad Assaidy RA berkata…

Rasulullah mengangkat seseorang (jadi pegawai) untuk kumpulkan zakat. Namanya Ibnu Allutbiyah dari suku Al’azd. Setelah beliau kembali dari bertugas bertemu Rasulullah (dan serahkan apa yang patut) katanya, “Yang ini untuk kamu (kerajaan pimpinan Rasulullah) dan yang ini saya dapat hadiah dari orang-orang itu!”

Maka Rasululah SAW cepat-cepat naik atas mimbar, setelah memuji syukur kepada Allah kata beliau, “Amma ba’du, adapun saya mengangkat seseorang untuk satu tugas yang diberikan Allah kepada saya, lepas itu dia datang dan berkata, ini bahagianmu dan yang ini saya sendiri dapat dari orang-orang (yang dikutip itu)! Mengapa dia tidak duduk saja di rumah ibubapanya hingga datang hadiah itu kepadanya kalau benar-benar demikian (yakni kalau benar-benar orang-orang itu hendak memberi kepadanya bukan kerana tugasnya ke sana sebagai pemungut wang zakat, duduk di rumah pun dapat juga)? Demi Allah, tiada seseorang yang mengambil sesuatu yang bukan haknya, pasti akan dipikulnya di hari kiamat. Akan saya tahu juga seseorang yang memikul unta, lembu atau kambing yang mengembek. (yakni orang itu tidak lepas dari tanggungjawab dan dihisab di akhirat).”

Rasulullah terus mengangkat duatangannya sampai nampak putih ketiaknya, sambil bersabda, “Allahumma hal ballaghtu. Ya Allah! Saya telah menyampaikan.”

Hadis yang dirawikan oleh Bukhari & Muslim itu mentakrifkan ‘sesuatu yang bukan haknya’ hasil perolehan dari khidmat tugas atau jabatannya untuk diri sendiri, selain dari upah atau gaji yang telah diperuntukkan kepadanya. Itulah antara ciri-ciri ‘rasuah’ yang sekarang kini ditopengkan di balik kata manis ‘hadiah’, ‘wang sagu hati’, ‘derma’, keraian, dan lain-lain, yang bukan dapat kepada kerajaan tetapi dapat kepada individu petugasnya.

Walaupun dia Perdana Menteri atau Raja, kalau ‘hadiah’ yang diberi itu kerana jawatannya, maka pemberian itu bukan miliknya, tetapi milik kerajaan atau rakyat. Itulah ‘rasuah’! Jangan main-main, di akhirat penerima-penerima rasuah itu akan dihukum. Itulah salah satu contoh bahawa takrif ‘rasuah’ yang ada sekarang ini tidak lengkap dan perlu dibetulkan semula. Jadi rasuah adalah harta yang diperolehi kerana selesainya suatu kepentingan manusia yang wajib diselesaikan tanpa imbalan lagi (yang tidak sepatutnya diterima).

Kerana itu nabi bersabda ertinya “Rasulullah SAW telah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah dalam penetapan keputusan”. (Riwayat At-Tirmidzi, 3/622 : Imam Tirmidzi berkata : Hadis Hasan Sohih)

Oleh itu ada ulama-ulama yang mentakrifkan rasuah dan sogokan sekurang-kurangnya adalah…

1..Wang, derma, pinjaman, fee, hadiah, cagaran berharga, harta atau kepentingan mengenai harta, iaitu apa-apa jenis harta, sama ada alih atau tak alih, atau apa-apa manfaat seumpama itu yang lain.

2.. Apa-apa jawatan, kebesaran, pekerjaan, kontrak pekerjaan atau perkhidmatan, dan apa-apa perjanjian untuk memberikan pekerjaan atau memberikan perkhidmatan atas apa-apa sifat.

3.. Apa-apa bayaran, pelepasan, penunaian atau penyelesaian apa-apa pinjaman, obligasi atau liabiliti lain, sama ada keseluruhannya atau sebahagian daripadanya.

4.. Apa-apa jenis balasan berharga, apa-apa diskaun, komisen, rebat, bonus, potongan atau peratusan.

5.. Apa-apa perbuatan menahan diri daripada menuntut apa-apa wang atau nilai wang atau benda berharga.

6.. Apa-apa jenis perkhidmatan atau pertolongan lain, seperti perlindungan daripada apa-apa penalti atau ketakupayaan yang di kenakan atau yang dikhuatiri atau daripada apa-apa tindakan atau prosiding yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah, sama ada atau tidak sudah dimulakan, dan termasuk penggunaan atau menahan diri daripada menggunakan apa-apa hak atau apa-apa kuasa atau kewajipan rasmi’

7.. Apa-apa tawaran, akujanji atau janji, sama ada bersyarat atau tidak bersyarat, untuk memberikan suapan mengikut pengertian mana-mana perenggan seperti di atas.

Sebagai rujukan di samping beberapa dalil-dalil Al-Quran sila lihat hadis-hadis ini..

1..Nabi Muhammad SAW bersabda, “Barangsiapa yang telah kami ambil untuk melakukan sesuatu kerja, dan telah ditetapkan baginya sesuatu rezeki (gaji atau upah), maka apa yang diambilnya selepas itu adalah pengkhianatan.” ( Riwayat Abu Daud, no 2943, Albani : Hadith Sohih ; Ma’alim as-Sunan, Al-Khattabi, 3/8 cet Dar Kutub Ilmiah)

2..Nabi bersabda kepada seorang gabenornya yang telah ditugaskan mengutip zakat kabilah Azad, maka apabila ia selesai kerjanya dan kembali berjumpa Nabi, lalu ia menyimpan sebahagian dari wang yang dikutip sambil berkata, “..ini untukmu (bahagian untuk Islam) dan ini untukku yang diberikan sebagai hadiah (oleh orang ramai), maka jatuh murka Baginda sambil bersabda, “Ketahuilah, pergilah kamu duduk di rumah bapamu atau ibumu, sehingga datang kepadamu hadiahmu, jika kamu benar-benar betul (layak mendapat hadiah)” (Al-Bukhari & Muslim)

3..Di dalam sebuah riwayat disebutkan bahawa Rasulullah SAW mengutus Abdullah bin Rawahah berangkat ke Khaibar (daerah Yahudi yang tunduk kepada kekuasaan Islam) untuk menilai hasil buah kurma di daerah itu kerana Rasulullah SAW telah memutuskan bahawa hasil bumi Khaibar dibahagi dua; separuh untuk kaum Yahudi sendiri, dan yang separuh lagi diserahkan kepada kaum Muslimin.

Ketika Abdullah bin Rawahah sedang menjalankan tugasnya, orang-orang Yahudi datang kepadanya membawa berbagai perhiasan dan berkata kepada Abdullah, “Perhiasan ini untuk anda, ringankanlah kami dan berilah kepada kami lebih dari separuh,”

Abdullah menjawab, “Wahai kaum Yahudi! Demi Allah kalian memang makhluk Allah yang paling aku benci. Apa yang kamu lakukan ini justeru membuatkan diriku lebih membenci kamu. Rasuah yang kamu tawarkan itu adalah barang haram, dan kami kaum Muslimin tidak memakannya!” Mendengar jawaban tersebut mereka (Yahudi) berkata, “Kerana (sikap) inilah langit dan bumi tetap tegak!” [Imam Malik, Al Muwattha':1450].

4.. Rasulullah SAW bersabda, “Hadiah yang diberikan kepada para penguasa adalah suht (haram) dan rasuah yang diterima hakim adalah kufur” [Riwayat Ahmad]. Oleh yang demikian, tidak kira samada itu adalah rasuah mahupun hadiah, kedua-duanya adalah jelas-jelas haram di dalam Islam. Semua harta yang diperolehi dari jalan rasuah adalah haram, menyimpannya adalah haram, membelanjakannya adalah haram. Justeru, setiap penerima, pemberi dan perantara yang terlibat di dalam keharaman ini wajib dihukum, dan hukuman ke atas mereka adalah ta’zir.

Dan banyak lagi. Sila rujuk http://www.zaharuddin.net/, http://www.mykhilafah.com/, atau lain-lain. Bagaimana pula dengan rasuah politik? Itulah yang disebut ‘politik wang’ supaya nampak cantik sikit. Inilah yang memeningkan Tengku Ahmad Rhithaudden selaku Pengerusi Jawatankuasa Disiplin UMNO sekarang ini yang terpaksa bertindak kepada Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, Khairy Jamaluddin atau entah siapa-siapa lagi. Bagaimana hendak menghapuskan rasuah hingga ke akar umbi? Pada saya ianya tidak akan selesai, kalau takrifnya pun masih belum lengkap lagi. Takrif perlu dibetulkan, walaupun melibatkan amalan pemimpin-pemimpin tertinggi atau Sultan.]
 
Maka terjawablah persoalan di atas.. Sekian. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails