Friday, March 20, 2009

Bagaimana Nak Hapus Rasuah, Makna Rasuah Pun Tak Lengkap?


Ibnu Hasyim Catatan Santai

PAK Ibnu. Maaf sekadar nak tahu.. Apa maksud Pak Ibnu takrif ‘rasuah’ perlu dibetulkan menurut Al-Quran Hadis tidak bertopeng dibalik ‘hadiah’, keraian’ dll? Kalau ada masa, sila beri takrifan ringkas.. March 19, 2009 3:41 PM”. Demikian komen Dr Hasan PP ke atas tulisan saya Thursday, March 19, 2009 PAS Perlu Perubahan, Wibawakan Majlis Syura Ulama! ...

Okey, saya jawab! Dalam kitab ‘Riadhus Sholihin’ (Fasal 1 .Haram berlaku zalim dan perintah mengembalikan hak orang’, hadis no 7) dinukilkan sebuah hadis Abu Humaid (Abdurrahman) bin Saad Assaidy RA berkata…

Rasulullah mengangkat seseorang (jadi pegawai) untuk kumpulkan zakat. Namanya Ibnu Allutbiyah dari suku Al’azd. Setelah beliau kembali dari bertugas bertemu Rasulullah (dan serahkan apa yang patut) katanya, “Yang ini untuk kamu (kerajaan pimpinan Rasulullah) dan yang ini saya dapat hadiah dari orang-orang itu!”

Maka Rasululah SAW cepat-cepat naik atas mimbar, setelah memuji syukur kepada Allah kata beliau, “Amma ba’du, adapun saya mengangkat seseorang untuk satu tugas yang diberikan Allah kepada saya, lepas itu dia datang dan berkata, ini bahagianmu dan yang ini saya sendiri dapat dari orang-orang (yang dikutip itu)! Mengapa dia tidak duduk saja di rumah ibubapanya hingga datang hadiah itu kepadanya kalau benar-benar demikian (yakni kalau benar-benar orang-orang itu hendak memberi kepadanya bukan kerana tugasnya ke sana sebagai pemungut wang zakat, duduk di rumah pun dapat juga)? Demi Allah, tiada seseorang yang mengambil sesuatu yang bukan haknya, pasti akan dipikulnya di hari kiamat. Akan saya tahu juga seseorang yang memikul unta, lembu atau kambing yang mengembek. (yakni orang itu tidak lepas dari tanggungjawab dan dihisab di akhirat).”

Rasulullah terus mengangkat duatangannya sampai nampak putih ketiaknya, sambil bersabda, “Allahumma hal ballaghtu. Ya Allah! Saya telah menyampaikan.”

Hadis yang dirawikan oleh Bukhari & Muslim itu mentakrifkan ‘sesuatu yang bukan haknya’ hasil perolehan dari khidmat tugas atau jabatannya untuk diri sendiri, selain dari upah atau gaji yang telah diperuntukkan kepadanya. Itulah antara ciri-ciri ‘rasuah’ yang sekarang kini ditopengkan di balik kata manis ‘hadiah’, ‘wang sagu hati’, ‘derma’, keraian, dan lain-lain, yang bukan dapat kepada kerajaan tetapi dapat kepada individu petugasnya.

Walaupun dia Perdana Menteri atau Raja, kalau ‘hadiah’ yang diberi itu kerana jawatannya, maka pemberian itu bukan miliknya, tetapi milik kerajaan atau rakyat. Itulah ‘rasuah’! Jangan main-main, di akhirat penerima-penerima rasuah itu akan dihukum. Itulah salah satu contoh bahawa takrif ‘rasuah’ yang ada sekarang ini tidak lengkap dan perlu dibetulkan semula. Jadi rasuah adalah harta yang diperolehi kerana selesainya suatu kepentingan manusia yang wajib diselesaikan tanpa imbalan lagi (yang tidak sepatutnya diterima).

Kerana itu nabi bersabda ertinya “Rasulullah SAW telah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah dalam penetapan keputusan”. (Riwayat At-Tirmidzi, 3/622 : Imam Tirmidzi berkata : Hadis Hasan Sohih)

Oleh itu ada ulama-ulama yang mentakrifkan rasuah dan sogokan sekurang-kurangnya adalah…

1..Wang, derma, pinjaman, fee, hadiah, cagaran berharga, harta atau kepentingan mengenai harta, iaitu apa-apa jenis harta, sama ada alih atau tak alih, atau apa-apa manfaat seumpama itu yang lain.

2.. Apa-apa jawatan, kebesaran, pekerjaan, kontrak pekerjaan atau perkhidmatan, dan apa-apa perjanjian untuk memberikan pekerjaan atau memberikan perkhidmatan atas apa-apa sifat.

3.. Apa-apa bayaran, pelepasan, penunaian atau penyelesaian apa-apa pinjaman, obligasi atau liabiliti lain, sama ada keseluruhannya atau sebahagian daripadanya.

4.. Apa-apa jenis balasan berharga, apa-apa diskaun, komisen, rebat, bonus, potongan atau peratusan.

5.. Apa-apa perbuatan menahan diri daripada menuntut apa-apa wang atau nilai wang atau benda berharga.

6.. Apa-apa jenis perkhidmatan atau pertolongan lain, seperti perlindungan daripada apa-apa penalti atau ketakupayaan yang di kenakan atau yang dikhuatiri atau daripada apa-apa tindakan atau prosiding yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah, sama ada atau tidak sudah dimulakan, dan termasuk penggunaan atau menahan diri daripada menggunakan apa-apa hak atau apa-apa kuasa atau kewajipan rasmi’

7.. Apa-apa tawaran, akujanji atau janji, sama ada bersyarat atau tidak bersyarat, untuk memberikan suapan mengikut pengertian mana-mana perenggan seperti di atas.

Sebagai rujukan di samping beberapa dalil-dalil Al-Quran sila lihat hadis-hadis ini..

1..Nabi Muhammad SAW bersabda, “Barangsiapa yang telah kami ambil untuk melakukan sesuatu kerja, dan telah ditetapkan baginya sesuatu rezeki (gaji atau upah), maka apa yang diambilnya selepas itu adalah pengkhianatan.” ( Riwayat Abu Daud, no 2943, Albani : Hadith Sohih ; Ma’alim as-Sunan, Al-Khattabi, 3/8 cet Dar Kutub Ilmiah)

2..Nabi bersabda kepada seorang gabenornya yang telah ditugaskan mengutip zakat kabilah Azad, maka apabila ia selesai kerjanya dan kembali berjumpa Nabi, lalu ia menyimpan sebahagian dari wang yang dikutip sambil berkata, “..ini untukmu (bahagian untuk Islam) dan ini untukku yang diberikan sebagai hadiah (oleh orang ramai), maka jatuh murka Baginda sambil bersabda, “Ketahuilah, pergilah kamu duduk di rumah bapamu atau ibumu, sehingga datang kepadamu hadiahmu, jika kamu benar-benar betul (layak mendapat hadiah)” (Al-Bukhari & Muslim)

3..Di dalam sebuah riwayat disebutkan bahawa Rasulullah SAW mengutus Abdullah bin Rawahah berangkat ke Khaibar (daerah Yahudi yang tunduk kepada kekuasaan Islam) untuk menilai hasil buah kurma di daerah itu kerana Rasulullah SAW telah memutuskan bahawa hasil bumi Khaibar dibahagi dua; separuh untuk kaum Yahudi sendiri, dan yang separuh lagi diserahkan kepada kaum Muslimin.

Ketika Abdullah bin Rawahah sedang menjalankan tugasnya, orang-orang Yahudi datang kepadanya membawa berbagai perhiasan dan berkata kepada Abdullah, “Perhiasan ini untuk anda, ringankanlah kami dan berilah kepada kami lebih dari separuh,”

Abdullah menjawab, “Wahai kaum Yahudi! Demi Allah kalian memang makhluk Allah yang paling aku benci. Apa yang kamu lakukan ini justeru membuatkan diriku lebih membenci kamu. Rasuah yang kamu tawarkan itu adalah barang haram, dan kami kaum Muslimin tidak memakannya!” Mendengar jawaban tersebut mereka (Yahudi) berkata, “Kerana (sikap) inilah langit dan bumi tetap tegak!” [Imam Malik, Al Muwattha':1450].

4.. Rasulullah SAW bersabda, “Hadiah yang diberikan kepada para penguasa adalah suht (haram) dan rasuah yang diterima hakim adalah kufur” [Riwayat Ahmad]. Oleh yang demikian, tidak kira samada itu adalah rasuah mahupun hadiah, kedua-duanya adalah jelas-jelas haram di dalam Islam. Semua harta yang diperolehi dari jalan rasuah adalah haram, menyimpannya adalah haram, membelanjakannya adalah haram. Justeru, setiap penerima, pemberi dan perantara yang terlibat di dalam keharaman ini wajib dihukum, dan hukuman ke atas mereka adalah ta’zir.

Dan banyak lagi. Sila rujuk http://www.zaharuddin.net/, http://www.mykhilafah.com/, atau lain-lain. Bagaimana pula dengan rasuah politik? Itulah yang disebut ‘politik wang’ supaya nampak cantik sikit. Inilah yang memeningkan Tengku Ahmad Rhithaudden selaku Pengerusi Jawatankuasa Disiplin UMNO sekarang ini yang terpaksa bertindak kepada Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, Khairy Jamaluddin atau entah siapa-siapa lagi. Bagaimana hendak menghapuskan rasuah hingga ke akar umbi? Pada saya ianya tidak akan selesai, kalau takrifnya pun masih belum lengkap lagi. Takrif perlu dibetulkan, walaupun melibatkan amalan pemimpin-pemimpin tertinggi atau Sultan.

Sekian catatan santai untuk kali ini.

ibnuhasyim.com
e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com
Mac 20, 2009. KL.

1 comment:

Qorie Afifi said...

Dalam majlis yang berlaku di PWTC pemerhati telah diberikan duit jalan seorang sekitar rm300. Mereka memperolehi hotel dengan percuma dan dibayar oleh bahagian ataupun dana dari cawangan. Saya percaya kalau dana-dana seperti ini tidak diturunkan maka pwtc tidak akan sesak, hotel pun tidak akan penuh. Tetapi dana-dana yang telah diberikan seperti yang diatas adalah merupakan dana wajib dimana mereka tidak ertikan sebagai 'rasuah'. Rasuah bagi pihak umno ialah kalau pembuat keputusan meminta wang / duit sebagai jambatan untuk buat keputusan barulah dinamakan rasuah. Kalau di bagi tanpa permintaan dari pembuat keputusan itu namanya hadiah ( dalam umno memang istilah inilah yang digunakan ) bagi mereka HADIAH HALAL kerana ada nas yangmegatakan hadiah itu halal cuma mungkin selepas ini mereka akan menerima hadiah itu ketika berada di rumah tidak lagi menerimanya di luar. Sebab kalau terima di luar rumah boleh di klifikasikan bukan hadiah. Sebab itulah Islam menekankan ikhlas dalam apa juga perbuatan mahupun pekerjaan apatah lagi memegang jawatan. Dalam ijtimak PAS cuba tanya siapa yang dapat dana untuk pergi ijtimak pasti ramai yang jawap - dapat duit ? Mana ada....keluar duit lagi ada la...dalam PAS gantung poster tak payah pakai duit cukup pakai gam atau paku saja tapi kalau dalam umno try la tengok bagi gam dengan paku saja , melekat dak poster tu ? Kalau boleh melekat bagi tau saya....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails