Wednesday, August 12, 2015

Parti Islam Baru Tak Ikut Model PAS, Tidak Tolak Ulama, Tidak Sasarkan PAS. -Dr Mujahid.

unnamed (1)

Parti Islam baru yang akan ditubuhkan tidak akan meniru struktur organisasi PAS, parti serpihannya, kata seorang pemimpin Gerakan Harapan Baru (GHB). Malah, anggota jawatankuasanya Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, membayangkan tiada lagi badan seperti Majlis Syura Ulama, badan tertinggi dalam pembuat keputusan selepas muktamar.

Kita tak nak tiba-tiba ada dua kuasa dalam parti seperti contoh Majlis Syura dan ada pula kuasa eksekutif. Kita tak nak perkara ini bertindan.

“Biar jawatankuasa dan kepimpinan yang akan menentukan perjalanan parti ini nanti,” katanya dalam wawancara bersamaMalaysiakini.

Bagaimanapun, walaupun tiada badan seumpama itu, mereka merancang mewujudkan sebuah panel penasihat, bukan sahaja dalam isu agama tetapi juga hal ehwal semasa.

“Kita tidak meletakkan mana-mana eksekutif dalam pendekatan kita (melalui panel itu). Yang ada pada majlis kita ialah yang bersifat menasihat.
“Kita bukan nak bekerja soal agama sahaja, walaupun dia orang agama tetapi perlu tahu tentang ekonomi sebagai contoh. Ini apa yang kita cuba ketengahkan. Masih belum muktamad,” katanya.

Elak krisis PAS berulang

Berhubung struktur dewan-dewan pula Mujahid, anggota Parlimen Parit Buntar, berkata perkara itu masih belum diputuskan.

“Struktur dewan-dewan itu kita belum muktamadkan lagi tapi saya rasa mana-mana organisasi boleh buat apa-apa sayap. Yang penting fungsi sayap ini akan membantu parti itu dan kepimpinan.
“Akan ada perbezaan (dengan PAS). Perbezaannya ialah falsafah yang kita perjuangkan,” katanya lagi.

Pengerusi GHB Pulau Pinang itu berkata, walaupun timbul cakap-cakap yang mengatakan mereka menolak ulama, namun perkara itu tidak benar sama sekali.

Katanya, GHB akan tetap melibatkan peranan ulama selepas gerakan itu menjadi sebuah parti, tetapi menegaskan tidak akan meletakkan pemisahan dengan golongan lain, seperti profesional.

Ia bagi mengelak krisis yang kini melanda PAS berlaku sekali lagi, katanya.

“Sifat keterangkuman yang dibawa GHB ini adalah termasuk golongan ulama. Cuma kita lihat, tidak perlu ada satu klausa khas untuk beritahu bahawa mereka ini ulama.
“Dalam GHB, kita terbuka pada semua orang selagi mereka menyakini cara yang gerakan ini bawa. Semua ialah penggerak dan tak perlu letak dikotomi (pemisahan) ulama dan bukan ulama. Sebab kalau tidak, konflik dalam PAS akan berulang,” katanya.

PAS nak masuk? Fikir panjang

Bagi membuktikan GHB serius untuk melibatkan ulama dalam gerakan itu, satu persidangan bagi membincangkan konsep syariah Islam dalam konteks negara Malaysia akan diadakan.

Mujahid berkata, persidangan itu akan turut dihadiri oleh wakil sebuah parti politik dari Tunisa bagi berkongsi pandangan mengenai pelaksanaan prinsip syariah terhadap sesebuah negara.

“GHB sangat serius untuk melibatkan peranan ulama dalam gerakan ini dan kita akan buat satu persidangan iaitu untuk membincangkan tentang konsep Islam dalam konteks negara.
“Dan kita juga akan membincangkan prinsip syariah mengikut konteks Malaysia,” kata Mujahid sambil menambah persidangan itu akan diadakan pada 15 Ogos ini.

Selain itu, Mujahid turut berkata GHB tidak akan menjadikan ahli PAS sebagai sasaran mereka mendapatkan anggota baru.

“Kita juga tumpu pada NGO dan masyarakat sivil. Sebab itu GHB kini dah berkembang pesat.
“Kita tak akan memaksa orang PAS untuk sertai GHB. Kalau orang PAS nak sertai, kita suruh mereka fikir panjang. Kita bukan nak memperkecilkan sasaran kumpulan kita, misi kita sebenarnya luas,” katanya lagi. (DrMujahid.com)

2 comments:

Jitra said...

golongan pemecah struktur Jemaah Di malaysia sdedang bermadah setelah kalah dalam pemilihan Mukhtamar ke 61...selamt maju jaya bersama kafir harbi di malaysia

Anonymous said...

Kalau dah jumud tetap akan jumud hinggakan tidak tahu berfikir untuk meluaskan fikiran dengan dunia luar ,itulah ahli PAS yang terlalu taksub dengan pemimpin yang tolol dengan siku dan lutut.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails