Tuesday, August 11, 2015

Kedutaan AS Istambul Dibom Kumpulan Haluan Kiri.




REUTERS - BEberapa pekerja memasang kanvas pada bangunan balai polis yang rosak dalam serangan di Istanbul, Turki semalam

ISTANBUL – Dua penyerang melepaskan tembakan ke arah ban­gunan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Istanbul semalam, manakala 10 orang cedera dalam serangan bom kereta di sebuah balai polis, beberapa minggu selepas Turki mengisytiharkan perang ke atas keganasan.
Sejumlah anggota polis bersenjatakan dengan raifal automatik me­nutup jalan-jalan di sekitar Kedutaan AS itu di daerah Sariyer, di sebelah Eropah bandar raya ber­kenaan susulan serangan bersenjata itu.
Media tempatan melaporkan dua penyerang itu, seorang lelaki dan wanita, melarikan diri selepas polis membalas tembakan mereka. Setakat ini, tiada laporan mengenai orang awam yang cedera dalam insiden itu.
Sebuah stesen televisyen tempatan, NTV melaporkan, polis kemudian menahan suspek wanita berkenaan yang tercedera dalam tembak menembak tersebut.

REUTERS - SEBUAH kenderaan polis tiba di hadapan Kedutaan AS selepas diserang di Istanbul, Turki semalam.


Kumpulan berhaluan kiri yang diharamkan,Barisan Tentera Revolusi Pembebasan Rakyat (DHKP-C) mengaku melancarkan serangan ke atas konsulat AS itu dalam satu kenyataan di laman webnya.
Pada hari sama, sebuah kenderaan yang sarat dengan bahan letupan digunakan untuk menyerang sebuah balai polis di daerah Sultanbeyli, Istanbul sekitar pukul 1 pagi (waktu tempatan) semalam.
“Letupan menyebabkan tiga anggota polis dan tujuh orang awam cedera”, kata polis.
Stesen penyiaran CNN Turk melaporkan, dua lelaki bersenjata dan seorang pegawai kanan unit pemusnah bom polis yang bergegas ke lokasi kejadian terbunuh dalam satu pertempuran bersenjata di daerah berkenaan.
DHKP-C sebelum ini bertanggungjawab melakukan pengeboman berani mati di Kedutaan AS di Ankara pada 2013 yang menyebabkan seorang pengawal keselamatan warga Turki terbunuh. – REUTERS

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails