Saturday, October 04, 2014

PAS P/Pinang Bincang Isu Iszuree Disingkir MPPP -Dr Mujahid



Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata Bendahari PAS Pulau Pinang Iszuree Ibrahim juga diarah tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan media. – Gambar fail The Malaysian Insider, 3 Oktober, 2014. 
Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata Bendahari PAS Pulau Pinang Iszuree Ibrahim juga diarah tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan media. – Gambar fail The Malaysian Insider, 3 Oktober, 2014. 

PAS Pulau Pinang akan berunding dengan Bendahari PAS negeri, Iszuree Ibrahim untuk tindakan selanjutnya berhubung isu penyingkiran ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) itu daripada semua jawatan yang disandangnya dalam Jawatankuasa Tetap MPPP.

Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata PAS negeri telah mengadakan perjumpaan dengan Ketua Menteri, Lim Guan Eng semalam bagi berunding mencari jalan penyelesaian.

Beliau berkata PAS negeri juga menjelaskan kepada Lim berhubung ucapan Iszuree pada Muktamar PAS kali ke-60 di Batu Pahat, Johor baru-baru ini.

"Badan Perhubungan PAS Pulau Pinang amat prihatin dan mengambil berat di atas tindakan yang diambil oleh kerajaan negeri terhadap saudara Iszuree Ibrahim, Bendahari PAS Pulau Pinang merangkap wakil pembahas ucapan dasar presiden dalam Muktamar PAS kali ke-60 di Batu Pahat, Johor Bahru.
"Kami telah mengambil langkah-langkah yang wajar untuk memperbaiki keadaan kerana sedar bahawa tindakan ini akan memberi kesan kepada keutuhan Pakatan Rakyat dan satu pendekatan penyelesaian perlu dicari," katanya di George Town, hari ini.
 
Mujahid berkata PAS negeri turut memutuskan Iszuree tidak membuat sebarang kenyataan media dan PAS akan mengambil alih isu berkenaan untuk mengelak salah faham. Iszuree (gambar, kiri) disingkirkan daripada semua Jawatankuasa Tetap MPPP berikutan ucapannya pada Muktamar Tahunan PAS ke-60 di Batu Pahat, Johor Baharu baru-baru ini yang menegur kerajaan negeri berhubung isu perumahan.
Beliau dilaporkan menerima surat mengeluarkannya daripada MPPP, namun surat berkenaan tidak menyatakan alasan tindakan oleh pihak berkuasa tempatan itu biar pun Iszuree telah menjadi anggota majlis itu sejak 2010.

Surat bertarikh 26 September itu memaklumkan bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan pada 25 September memecat Iszuree daripada semua Jawatankuasa Tetap MPPP, dan membekukan semua peruntukan kepadanya. – Bernama, 3 Oktober, 2014.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails