Monday, September 29, 2014

Dulu Dibuli Umno, Kini Dibuli PKR-DAP. -Nik Abduh Nik Aziz



Anak Mursyidul Am PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata PAS sentiasa menjadi mangsa buli rakan parti, daripada Umno hingga kini, PKR dan DAP. – Gambar fail The Malaysian Insider, 28 September, 2014.  
Anak Mursyidul Am PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata PAS sentiasa menjadi mangsa buli rakan parti, daripada Umno hingga kini, PKR dan DAP. – Gambar fail The Malaysian Insider, 28 September, 2014.  

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengakui PAS mangsa buli rakan sendiri DAP dan PKR rentetan krisis di Selangor dan pemecatan ahli majlis di Pulau Pinang baru-baru ini.
Anak Mursyidul Am PAS itu berkata jika dahulu PAS mangsa buli Umno, sekarang mereka dibuli rakan sendiri dalam Pakatan Rakyat (PR).

"Hari ini, selain umno, PKR dan DAP mula hendak buli PAS.
"Sehinggakan PAS kelihatan seperti terpinga-pinga tidak tahu hendak sentuh yang mana satu. Semua macam tidak menjadi," kata beliau dalam tulisan akaun Facebook miliknya.

Nik Abduh yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu berkata sudah menjadi lumrah PAS dibuli, ketika susah diminta tolong tetapi bila senang ditinggalkan.

"PAS daripada awal penubuhannya lagi adalah parti yang sering dibuli musuhnya. Dahulu teruk dibuli. Kini pun teruk PAS dibuli musuhnya tidak habis-habis lagi.
"Pembulinya kadang-kadang rakan mereka juga. Waktu susah PAS diminta tolong. Waktu senang, PAS ditinggalkan, disalahkan dan dibuli," kata beliau.

Malah Nik Abduh berkata walaupun PAS dibuli, mereka masih lagi mengambil sikap pandang sebelah mata meskipun masih ada pihak dalam PR yang membakar agar membenci parti Islam tersebut.

"Masih dalam PR pun, mereka membakar masyarakat dan penyokong PR agar membenci PAS. PAS ini tidak berapa 'ganas' mana agaknya. Dibuli pun buat muka selamba je. Melawan pun macam tidak melawan mana.
"Itulah PAS, seperti orang miskin hidupnya, sentiasa menjadi mangsa buli," kata ahli Parlimen Pasir Mas itu.

Nik Abduh membangkitkan krisis menteri besar di Selangor apabila DAP mengatakan PAS akan dihukum, di samping kontroversi di Sarawak apabila DAP mengisytihar tidak mahu berkawan dengan PAS lagi.

"Ada pemimpin DAP yang kata PAS akan dihukum rakyat akibat isu Selangor yang kelihatannya sedang menuju titik koma, bukan noktah lagi. PAS akan tamat riwayatnya di Selangor dan Malaysia.
"Di Sarawak, bukan main lagi DAP isytihar tidak mahu berkawan lagi dengan PAS," katanya.
Beliau kemudian menyamakan DAP dengan Umno yang hilang kawalan apabila mendapat kuasa.
"Macam Umno juga DAP ini.

Gembira dan megah sangat bila sudah ada kuasa. Maklumlah, lama jadi pembangkang bersama PAS, baru penggal lepas DAP mula dapat kuasa memerintah, sedangkan PAS yang hidupnya sering dibuli sudah lama berkuasa di Kelantan dan Terengganu," katanya.

Selain DAP yang dituduh membuli PAS, Nik Abduh juga berkata PKR turut mengambil kesempatan apabila membuli PAS.

"PKR pun hendak buli PAS macam DAP juga. Sambil mencuri sambil membuli.
"Nasib baik dalaman PKR tidak berapa kuat macam DAP. Ada masam muka sesama mereka. Maka buli mereka, walaupun pedih, tetapi paling tidak menjadi. Tidak macam DAP, apatah Umno. Syukurlah," katanya.

Krisis di Selangor menyaksikan parti Islam tersebut berada dalam keadaan tidak selesa selepas pelantikan Mohamed Azmin Ali sebagai menteri besar, malah PAS juga kehilangan satu kerusi Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Selangor.

Sebelum itu DAP juga menggelar tiga exco PAS pengkhianat kerana kekal bersama pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Belum reda kemelut di Selangor, baru-baru ini PAS menerima berita tidak baik apabila bendahari PAS Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim dipecat daripada semua jawatan dalam kerajaan tempatan di negeri itu berikutan ucapan kritikal beliau pada Muktamar PAS minggu lepas.

Nik Abduh kemudian mengingatkan kedua-dua rakan mereka dalam Pakatan, PAS tidak mati kerana teras perjuangannya berteraskan Islam yang diperjuangkan selama ini.

"DAP perlu tahu PAS takkan mati. Nyawanya masih panjang. Kalau Umno pun tidak mati lagi, macam mana PAS hendak mati? Kalau PAS mati, siapa akan perjuangkan Islam? Umno? PKR? DAP?
"PAS takkan mati sebab nyawanya Islam. Islam bukan bermula 1951. Ia bermula lebih 1400 tahun lepas. Masa tu ideologi yang diperjuangkan DAP masih berada di lapis bumi yang ke-5, kalau pun tidak yang ke-7. Tiada orang lagi masa itu yang mahu gali dan berjuang untuk ideologi itu," katanya.

– 28 September, 2014. (TMI)

1 comment:

Anonymous said...

kesian nik abdoh. cakap merapu jer. tak tau apa mesej dia. nyawa pas ditangan umno. kalu umno nak, dah lama pas diharamkan macam ikhwan di mesir. huhu

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails