Saturday, May 17, 2014

Kemenangan Pembangkang Buka 'Era Baharu' Di India.

SEKUMPULAN penyokong menari di hadapan ibu pejabat Parti Bharatiya Janata di New Delhi selepas parti itu memenangi pilihan raya India.
NEW DELHI - Calon Perdana Menteri, Narendra Modi mengisytiharkan India kini memasuki satu 'era baharu' selepas parti pembangkang, Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinannya mencipta kemenangan terbesar pada pilihan raya umum negara itu dalam tempoh 30 tahun.
Keputusan awal pilihan raya yang berlangsung selama enam minggu tersebut sejak April lalu menunjukkan BJP yang diketuai Modi bakal menjadi parti tunggal pertama yang menang majoriti kerusi Parlimen sejak tahun 1984.

"India telah menang. Hari yang baik kini tiba," kata Modi dalam satu kenyataan di laman Twitternya.
Kemenangan Modi, 63, yang merupakan anak seorang penjual teh menjangkaui semua ramalan yang dibuat para penganalisis politik sebelum ini.

Kejayaan beliau juga dijangka mengubah lanskap politik India. Ia ekoran Modi memperoleh mandat yang cukup besar untuk melakukan perubahan ekonomi yang dijanjikan BJP sebelum ini tanpa sebarang halangan.

Modi yang sebelum ini merupakan Ketua Menteri Gujarat menerima pujian kerana berjaya mengukuhkan perkembangan ekonomi di negeri tersebut. Apabila keputusan pilihan raya itu disahkan, beliau bakal menjadi Perdana Menteri India ke-15 menggantikan Perdana Menteri, Manmohan Singh.

"Era baru kini sudah bermula," kata Presiden BJP, Rajnath Singh.
"Bunga teratai kini mekar di seluruh India," tambah beliau yang merujuk bunga yang menjadi simbol parti berkenaan.

Keputusan awal yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya menunjukkan BJP memperoleh undi majoriti apabila memenangi lebih 272 kerusi daripada 543 kerusi yang dipertandingkan.
Parti itu dijangka mudah melepasi angka 330 kerusi apabila parti sekutu BJP turut memenangi beberapa kerusi parlimen.

Parti Kongres yang dikuasai oleh keluarga Ghandhi yang memerintah negara itu selama 13 tahun bakal mengalami kekalahan terburuk dalam sejarah apabila hanya memperoleh tidak sampai 50 kerusi. Naib presidennya, Rahul Gandhi merupakan calon perdana menteri untuk parti itu.

Parti itu sebelum ini hilang kepercayaan rakyat berikutan skandal rasuah, persengketaan dalaman serta kegagalan untuk mengendali masalah ekonomi, kemiskinan infrastruktur dan pendidikan negara. - AFP

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails