Tuesday, May 13, 2014

Berikan Masa MB Baru Kembalikan Majoritinya -PAS T'ganu.

 
PAS berikrar tidak akan menjatuhkan kerajaan Terengganu dengan memujuk tiga wakil rakyat BN yang keluar parti untuk bersama mereka, seperti dilakukan BN di Perak pada tahun 2009.

Azam itu dinyatakan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satiful Bahari Mamat pada sidang media di Kuala Terengganu, petang ini.

"Kita tetap dengan dasar kita dan kita akan bincang balik dengan kepimpinan (pusat) - kita tidak berminat lagi untuk itu," katanya sewaktu menjawab soalan wartawan.

Beliau ditanya jika PAS berminat untuk 'melamar' bekas menteri besar dan dua ADUN Umno yang dilaporkan menghantar surat keluar parti. PAS menurutnya akan memberikan masa kepada menteri besar baru, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman untuk mengembalikan majoritinya sebelum merencana tindakan seterusnya.

"Hasrat sultan beri kepercayaan kepada Razif itu, biar diberikan peluang kepada beliau untuk membina majoriti dia tetapi kalau dia gagal kita akan maklumkan kembali tindakan sewajarnya," katanya.

Pada tahun 2009, tiga bekas ADUN Pakatan Rakyat bertindak keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas mesra BN. Tindakan itu menyebabkan kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat jatuh kepada BN dan menteri besar baru dari BN dilantik menggantikan menteri besar dari PAS
.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengadakan perjumpaan dengan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Terengganu di Putrajaya malam ini bagi meredakan ketegangan politik yang berlaku di negeri itu, lapor The Star Online.

Sumber memberitahu portal berkenaan, semua wakil rakyat kini dalam perjalanan ke Putrajaya untuk berjumpa Najib yang juga presiden Umno dan pengerusi BN.

"Semua Adun dipanggil menghadiri mesyuarat malam ini bagi membincangkan mengenai pergolakan politik di negeri itu," katanya.  Portal itu juga melaporkan perjumpaan akan turut membangkitkan perbincangan mengenai beberapa kemungkinan, antaranya pembubaran DUN.

BN kini menguasai 14 kerusi daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu, begitu juga PAS sebanyak 14 kerusi, satu mewakili Parti Keadilan Rakyat  (PKR) dan  Bebas (3).

Terdahulu pada petang Isnin, Ahmad meletak jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu, manakala penggantinya, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman yang juga Adun Seberang Takir mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu di hadapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, malam Isnin.
(IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails