Thursday, February 06, 2014

Api Perkauman Ditiup-tiup. Akan Berlaku 13 Mei Lagi?


Lihat lagi  GALERI GAMBAR ini..
API Perkauman ditiup-tiup. Seolah-olah ingin menggamit kembali peristiwa 13 Mei 1969. Anggapan ini tercetus apabila sekumpulan NGO yang menggelarkan diri mereka 'Majlis Jemaah NGO Islam Malaysia' hari ini menyembelih empat ekor ayam dan melumur darahnya pada kain rentang yang tertera gambar pemimpin DAP dan PKR.

Tindakan itu dibuat dalam perhimpunan yang dinamakan 'Bantahan penghinaan terhadap kepimpinan Melayu, Yang di-Pertuan Agong, dan agama Islam serta maruah Melayu oleh segelintir ahli politik yang didakwa cauvinis Cina.'

Ia berlangsung berhampiran Jalan Tun Perak berdekatan Puduraya, petang ini.

Pemimpin yang wajahnya terdapat pada kain rentang itu MP Seputeh, Teresa Kok, MP Gelang Patah, Lim Kit Siang, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dari DAP dan ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon dari PKR.

Perhimpunan yang dihadiri kira-kira 30 peserta itu merupakan reaksi kepada video Tahun Baru Cina yang dilakonkan Teresa dengan tajuk 'Onederful Malaysia CNY 2014' dan flashmob oleh Khai Loon di Pulau Pinang.

Flashmob tersebut menyaksikan sayur kangkung disumbat ke dalam mulut patung kayu dengan karikatur menyerupai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, bagi membantah kenaikan harga barang baru-baru ini.

Wakil penganjur, Zulkifly Sharif dari Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas) yang berucap sewaktu ayam-ayam itu disembelih berkata mereka yang wajahnya ada pada poster tersebut cuba memanipulasi kenaikan harga barang baru-baru ini.

"Kenaikan harga barang seperti yang dihebohkan sekarang ini adalah satu jenis propaganda bagi memburukkan kepimpinan Melayu.

"Mereka cuba mencetus kebencian dan memperkotak-katikkan kepemimpinan Melayu agar rakyat membenci dan menghina kepimpinan Melayu.

"Kami amat terkejut dengan tindakan pelampau Cina dan Kristian ini yang melakonkan imej pemimpin Melayu disumbat mulutnya dengan kangkung yang mana pemimpin-pemimpin ini telah dipilih secara demokrasi oleh rakyat Malaysia," katanya.

Beliau turut menggesa agar warganegara etnik Cina dan India yang tidak fasih bahasa Melayu dihalau dari Malaysia.

"Pihak kami berharap, sementelah operasi mengusir pendatang tanpa izin sedang berjalan, kami juga menyeru agar Kementerian Dalam Negeri menumpu juga terutamanya kepada rakyat Malaysia terutamanya bangsa Cina dan India yang tidak fasih berbahasa Melayu atau tidak lagi menunjukkan taat setia kepada Raja dan negara dinyah keluar daripada pertiwi ini," katanya.

Mencuri perhatian di antara peserta himpunan NGO pro-Melayu itu adalah seorang lelaki Tionghua dikenali sebagai Sunny Goh.

Memegang jawatan sebagai pengerusi perhubungan hal ehwal masyarakat Cina bagi Pertubuhan Kebajikan Insan Bakti Malaysia (Perkib), Goh menggesa pemimpin DAP agar berhenti "membuat kecoh".

"Saya bernama Mr Goh, saya mewakili rakyat Malaysia, rakyat Cina tak kira bangsa, saya minta pemimpin pembangkang jangan buat kecoh.

"Di negara-negara lain tak aman, di Malaysia sahaja aman.

"Saya mewakili Cina Malaysia dan seluruh masyarakat Malaysia berharap agar parti politik Cina tolonglah jangan cetuskan kekecohan yang tak perlu," katanya

Sebelum itu, beberapa peserta turut bertindak memijak kain rentang dengan wajah pemimpin itu.

Di akhir perhimpunan, penganjur mengedarkan lebih dua raga sayur kangkung kepada peserta himpunan dan orang ramai yang hadir pada majlis itu.

Bercakap kepada Malaysiakini kemudiannya, Zulkifly berkata tindakan menyembelih dan melumur darah ayam itu adalah simbolik kepada "peristiwa berdarah" 13 Mei 1969.

"Ia adalah simbolik peristiwa berdarah, bermakna kita beri amaran kepada Teresa Kok supaya jangan cetuskan peristiwa yang menggugat keamanan dan perasaan orang Melayu.

"Darah ini maknanya peristiwa 13 Mei... faham-fahamlah," katanya.

NGO-NGO lain yang turut serta dalam perhimpunan itu adalah Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Pertubuhan Kebajikan Islam dan Dakwah (Pekida), Pertubuhan Kebajikan Insan Bakti Malaysia (Perkib) Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), serta Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM). (IH)

2 comments:

Anonymous said...

Tak abis abis nak bodohkan diri sendiri...memalukan bangsa dan agama betul tindakannya....

Melayu juga.

Anonymous said...

Aku yang melayu ni pun menyampah tengok ngo umno ni nak buat huru hara negara, kalau jadi , dia la yang cabut dulu takut mampus, cakap boleh la, buat la nak tengok, dia ingat orang cina je ke yang akan mati; nak tengok anak bini dia kena cantas, baru tahu langit tinggi rendah, jangan cuba nak main api perkauman, bodoh punya ngo

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails