Friday, March 30, 2012

Tok Bali Bakal Jadi Pelabuhan Terkemuka -N/Aziz

Tuan Guru melihat pelan pembangunan Tok Bali

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V telah merasmikan projek yang diusahakan Eastcoast Terminal Sdn Bhd, yang bernilai RM3.2 billion itu

PASIR PUTEH, 30 Mac 12: Setelah menanti hampir 21 tahun, akhirnya hasrat kerajaan Kelantan untuk menjadikan Tok Bali sebagai pelabuhan terkemuka bakal menjadi kenyataan.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata pada 19 Ogos 1991, beliau telah bertemu dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed, untuk memohon bagi menjadikan Tok Bali sebagai pelabuhan baru di negara ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Majlis Perasmian Pecah Tanah Projek Pelabuhan Tok Bali dekat sini petang semalam.

Tuan Guru optimis Pelabuhan Tok Bali akan laris sebagaimana aktifnya Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra yang kini muncul antara landasan yang tersibuk di negara ini selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Dari peruntukan bagi membina bandar baru Tok Bali di bawah Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECER) yang melibatkan RM230 juta daripada kerajaan pusat dan RM3 billion pihak swasta.

Katanya, dengan adanya Pelabuhan Tok Bali, ianya akan menjadikan negeri ini bertambah maju.

“Dengan sifat rakyat Kelantan yang rajin, kreatif dan sebagainya, saya yakin pelabuhan ini akan bertambah maju,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, bandar yang berasaskan sumber laut tersebut akan menjadi sebuah satu penjana ekonomi kepada rakyat di sini.

"Setakat ini sebanyak RM100 juta sudah dibelanjakan bagi membina pusat pendaratan dan pengumpulan ikan, manakala RM71 juta lagi untuk membina Taman Perikanan Bersepadu.

"Bukan itu sahaja, antara projek-projek besar lain ialah pembinaan sebuah Universiti Maritim dan pembinaan kapa akan dibina melibatkan peruntukkan bernilai RM41 juta dan RM10 juta bagi infrastruktur pengeluaran ikan akuakultur dan RM3 juta untuk membina sebuah pusat membeli-belah di sini," katanya semasa menyampaikan ucapan.

Menurutnya yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, kesemua projek-projek berkenaan jika berjalan mengikut perancangan akan menjadikan bandar baru nelayan Tok Bali sebagai sebuah bandar termaju menjelang tahun 2020.

Beliau berkata, pembinaan pelabuhan tersebut bertepatan dengan pembangunan pesat ekonomi di negara-negara timur jauh seperti China, Kemboja, Jepun, Korea, dan Vietnam.

Tambahnya, semoga dengan adanya pelabuhan itu iakan memberi kemudahan kepada kapal-kapal dagang dari Laut China Selatan untuk mempergiatkan lagi aktiviti import dan eksport bukan sahaja ke Malaysia bahkan ke seluruh dunia," katanya. (Hrkh)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails