Monday, February 21, 2011

Wanita Berhijab Perlu Diselamatkan? -Lauren Booth

LAUREN mengakui di sebalik hijab dan burqa, golongan wanita Palestin memiliki semangat juang yang tinggi, sifat berdikari dan mesra. - Gambar hiasan

ENAM tahun yang lalu, wartawan Lauren Booth dalam satu tugasan ke Palestin dengan membawa bersama sikap memandang rendah terhadap orang lain. Dia beranggapan bahawa orang Arab ialah penakut dan dia bersimpati dengan wanita yang memakai hijab, niqab dan burqa. Booth menganggap golongan itu kurang menyenangi tradisi mereka sendiri.

“Saya ke Palestin dengan tanggapan bahawa wanita berhijab perlu diselamatkan daripada nasib malang mereka, suami dan penindasan. Saya bukan berniat merendahkan sesiapa tetapi inilah yang diajar kepada kami di Barat,” ujarnya.

Bagaimanapun, pengalamannya di Palestin membuktikan sebaliknya. Sikap besar hati dan kemuliaan yang ditunjukkan kepadanya oleh orang Palestin, walaupun mereka hidup serba daif, menyangkal apa yang dipercayainya selama ini iaitu rantau mereka adalah yang paling ganas di dunia.

“Ia sesuatu yang mengejutkan bagi saya. Di sebalik hijab dan burqa, terdapat perkara-perkara yang saya tidak jangka seperti kemesraan, kelucuan dan sikap berdikari,” katanya dalam temu bual eksklusif semasa lawatannya ke Malaysia baru-baru ini.

Selepas bekerja dengan masyarakat Islam di Asia Barat selama lima tahun, Booth muncul sebagai penyokong kuat perjuangan rakyat Palestin.

Wanita itu berada di Malaysia sebagai penceramah undangan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, Selangor bagi program Viva Palestina Malaysia, satu daripada cabang Viva Palestina yang berpangkalan di United Kingdom. Ia adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa yang berusaha mewujudkan sebuah negara Palestin yang bebas.

Mendalami Islam

Sekian lama menyelami kehidupan di rantau yang bukan lagi asing buatnya, Booth akhirnya telah memeluk Islam pada bulan September 2010 dan mengumumkannya sebulan kemudian.

Warga Britain berusia 43 tahun itu berkata, dia memeluk Islam kerana pengalaman spiritual yang dialaminya semasa mengunjungi pusat ibadah Fatima al-Masumeh di Qom, Iran.

“Saya sebenarnya tidak memikirkan untuk memeluk Islam. Pengalaman spiritual yang saya alami ini tidak dapat dijelaskan dengan kata-kata. Ia telah memberikan saya kebahagiaan dan ketenangan jiwa,” kata Booth dalam satu temu bual bersama rangkaian berita Iran, Press TV, tempat dia berkhidmat sekarang ini.

Langkah Booth memeluk Islam bukan satu kejutan kepada ramai. Selama bertahun-tahun, dia lantang menyuarakan isu berkaitan rakyat Palestin.

Sepanjang tempoh itu jugalah, rakan-rakan Islam semakin dekat di hatinya. Bagaimanapun, menurut Booth, ada juga pihak yang ‘berpura-pura terkejut’ dalam media.

Dia percaya pihak tertentu dalam media Britain terbabit dengan kempen untuk mencemarkan nama baiknya selepas sahaja dia mengumumkan keislamannya.

Sebagai ipar kepada bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair, tindakan Booth beralih kepercayaan mudah mengundang kritikan.

“Amat menarik untuk melihat betapa cepat media Britain mempersenda segala yang saya telah buat sebelum memeluk Islam.

“Seorang wanita berpendidikan, seorang ibu, seorang petugas media selama 20 tahun terus dikecam selepas sahaja melafazkan syahadah dan memakai hijab di khalayak umum. Saya dilemparkan dengan dakwaan sinis yang saya mengalami kemurungan, krisis pertengahan usia atau terdesak untuk sesuatu,” katanya.

Sekularisme begitu kuat dalam kalangan masyarakat Barat kerana tidak dapat menerima kewujudan Tuhan Yang Maha Esa.

Malangnya, kata Booth, pihak tertentu dalam dunia media melakukan tugas yang begitu ‘baik’ sehingga ramai warga Britain membacanya tanpa rasa kasihan, meluat atau ragu.

Reaksi teman dan keluarga

Sementara itu, rakan-rakannya pula lebih bersimpati kepadanya.

“Saya rasa ada juga rakan saya yang kecewa kerana kini mereka kehilangan seorang rakan untuk minum arak.

“Mereka tidak tahu untuk bersosial dengan minum teh kerana kita telah kehilangan kemahiran itu di dunia Barat,” katanya berseloroh.

Reaksi daripada keluarganya pula bercampur-campur.

Bapanya yang juga seorang pelakon, Tony Booth memberi reaksi negatif kepada tindakan anaknya memeluk Islam. Bapanya menyatakan bahawa anaknya itu langsung tidak berminat dengan agama dan meragui keikhlasannya memeluk Islam.

Ibunya pula, meskipun sebak, begitu gembira apabila mendapat tahu bahawa anaknya ‘menemui ketenangan jiwa’.

Di sebalik segala keraguan yang timbul dalam keluarga, Booth lega kerana keluarganya akhirnya menerima keputusan itu.

Malah, demi menghormati Booth yang kini berlandaskan syariah, adik bongsunya sanggup mencari dan menyediakan ayam belanda halal bagi acara berkumpul sesama keluarga sempena Krismas.

“Apabila saya memaklumkan kepada dua orang anak perempuan saya bahawa saya kini beragama Islam, mereka bertanya tentang tiga perkara: adakah saya akan melupakan alkohol, rokok dan pakaian yang terdedah dada?

“Apabila saya berkata ya kepada ketiga-tiganya, mereka bersorak: Yay! Kami cintakan Islam,” katanya mengenai mereka yang sering melihat Islam dari sudut positif.

Berhijab biru dan memakai blaus bertali pinggang serta seluar longgar, Booth mendedahkan pengalaman pahit manisnya memeluk Islam dengan senyuman.

Hijab adalah jenama

Senyuman baginya adalah satu aksesori yang penting bagi setiap wanita berhijab.

“Orang ramai berpendapat wanita Islam berhijab dirundung masalah hidup. Apabila anda melihat mereka di stesen kereta api bawah tanah London, pada wajah mereka sentiasa terpapar ‘peperangan’.

“Sebetulnya, inilah wajah yang perlu kita tampilkan (sambil tersenyum) dalam berdepan dengan apa sahaja diskriminasi.

“Di Barat, hijab adalah jenama anda. Jika anda berwajah muram dan serius di khalayak umum, orang ramai mungkin berpendapat anda dipukul oleh suami atau ayah anda. Jadi, sentiasalah senyum,” pesannya.

Ramai wanita berhijab di London telah tampil bertemu Booth selepas menyaksikan kisahnya di YouTube.

Gadis-gadis seawal usia 12 tahun mengadu kepadanya masalah yang mereka alami setiap hari kerana menutup aurat mereka.

“Mereka mengadu, budak lelaki melihat mereka sebagai pengganas manakala budak perempuan lain beranggapan mereka ini bodoh. Namun, selepas melihat saya begitu yakin dalam hijab, mereka juga berasa bangga tentang diri mereka,” kata Booth.

Keluhan gadis-gadis itu memberi inspirasi kepada Booth untuk mencari idea untuk membuat flashmob hijab wanita.

“Saya mahu menyertai wanita muda berbakat untuk mencari cara-cara imaginatif bagi memaklumkan kepada penganut agama lain tentang kewujudan dan penerimaan wanita berhijab seperti kami dalam masyarakat.

“Kita hidup dalam masyarakat madani. Terimalah kami dan biarlah kami menjadi sebahagian daripada komuniti,” luah Booth yang menyambut baik idea-idea melalui e-melnya, lauren.toirac@gmail.com. – Bernama

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails