Monday, February 21, 2011

17 Cedera Dalam Serangan Umpan Polis Di Narathiwat

SKUAD bom Thai memeriksa kesan serangan bom buatan sendiri yang disembunyikan dalam sebuah kereta disyaki diletakkan oleh kumpulan pemisah di pusat bandar Narathiwat, Thailand pada malam Sabtu. - Foto AFP/MADAREE TOHLALA

BANGKOK, 21 Feb 11: Penyerang tidak dikenali mengumpan polis dan orang ramai dengan melepaskan tembakan menggunakan senjata api sebelum melancarkan serangan kedua menggunakan bom seberat 20kg yang menyebabkan 17 orang cedera teruk, termasuk anggota polis dan empat kanak-kanak di pusat bandar Narathiwat malam Sabtu.

Gabenor Narathiwat Tanon Vechakornthanon berkata penyerang yang menaiki sebuah motosikal melepaskan tembakan ke arah sebuah pusat karaoke pada pukul 7.30 malam dan kemudian meletupkan bom berkenaan dari jarak 100 meter apabila polis datang untuk menyiasat kes serangan pertama sambil dikerumuni orang ramai.

"Dua pekerja wanita cedera dalam serangan pertama, manakala 15 lagi cedera dalam serangAn kedua," katanya tanpa memberi maklumat terperinci tentang mereka yang cedera.

Beliau berkata bom buatan sendiri itu disembunyikan di dalam sebuah kereta yang diletakkan berhampiran tempat kejadian sebelum diletupkan dari jarak jauh menggunakan telefon bimbit.

Letupan itu turut memusnahkan empat rumah dan 12 kenderaan, katanya.

"Penyerang berniat mencetuskan keadaan huru-hara di bandar ini melalui serangan terancang dengan melepaskan tembakan pertama untuk menarik perhatian polis dan orang ramai, sebelum melancarkan serangan kedua," katanya.

Lebih 4,000 orang terbunuh sejak mereka yang disyaki menganggotai kumpulan pemisah melancarkan kempen bersenjata untuk mendapatkan kemerdekaan bagi tiga wilayah di selatan negara ini- Narathiwat, Pattani dan Yala tujuh - tahun lepas. - BERNAMA

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails