Friday, September 17, 2010

Polis Perlu Bertindak Tegas -Majlis Peguam.


KL 17SEPT 10: Majlis Peguam Malaysia meminta polis mengambil tindakan tegas terhadap peguam menyeleweng dan terlibat dalam sebarang kes pecah amanah atau penggubahan wang haram.

Presidennya, K Ragunath berkata setiap tahun, kira-kira 30 hingga 40 peguam dipecat oleh Majlis Peguam dan laporan polis terhadap mereka juga telah dibuat, namun tiada sebarang tindakan lanjut diambil.

"Dalam Majlis Peguam, kita memiliki sebuah lembaga disiplin yang tegas dan berdikari bagi menangani peguam menyeleweng, namun, hanya itulah kuasa yang kami ada, kami tidak berkuasa menghantar mereka ke penjara.

"Isu kami di sini ialah polis lambat bertindak dalam kes sedemikian. Kami bersedia membantu polis jika mereka ingin mengambil tindakan rasmi terhadap peguam menyeleweng," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Fasa Keenam: Badan Kehakiman dan sambutan Festival Jalanan Hari Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ali Rustam yang menyarankan supaya Majlis Peguam mengaudit anggotanya bagi memastikan mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah. Saranan itu dibuat berikutan pembunuhann kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, yang dilaporkan didalangi dua adik-beradik peguam. Selain itu, Ragunath menggesa pihak media dan rakyat di negara ini agar memberi ruang kepada polis melengkapkan siasatan dan menyelesaikan isu berkenaan, tanpa melemparkan sebarang tuduhan sehingga mereka yang ditahan berhubung kes itu didapati bersalah.

"Apa yang ingin saya tekankan di sini ialah isu serta dakwaan yang disiarkan pihak media mengenai kes ini mungkin boleh menyebabkan keadaan menjadi bahaya dan prejudis.



"Jika anda inginkan sabitan (dalam kes pembunuhan ini), anda mesti memberikan polis sedikit ruang bagi mereka melengkapkan siasatan. Jika terdapat sebarang kekaburan (dalam kes ini), kita tidak mahu berlaku situasi di mana seseorang itu telah didakwa di mahkamah dan kemudian terpaksa dibebaskan atas sebab-sebab teknikal.

"Jadi, tolonglah, saya mohon kepada pihak media dan orang ramai agar memberikan polis sedikit ruang, mereka telah melakukan tugas yang cemerlang apabila mampu menyelesaikan kes berkenaan, namun, mereka yang ditahan adalah dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya," katanya.

Sosilawati bersama tiga lelaki iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Karim, 32, sebelum ini dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.

Siasatan kemudiannya mendedahkan keempat-empat mereka dibunuh di sebuah ladang ayam di Sungai Gadong dekat Tanjung Sepat, Selangor sebelum mayat mangsa dibakar dan abunya dibuang ke dalam sebatang sungai di kawasan berhampiran ladang milik peguam bergelar Datuk itu. - Bernama

Untuk maklumat lanjut mengenai kes ini sila dapatkan E-Buku IH-1: Misteri Hilangnya Jutawan Datuk Sosilawati Lawiya, sila klik...

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails