Monday, September 13, 2010

Kes Sosilawati: Setelah Semua Tenang & Normal...

Editor Blog Ibnu Hasyim

Bernama: Pejabat Sosilawati lengang, operasi CIMB di Kg Baru normal.

KL, 13 Sept 10: Pejabat Nouvelle Beauty Sdn Bhd di Jalan Raja Bot, Kampung Baru di sini milik jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya yang turut menempatkan pusat rawatan muka dan spa ditutup hari ini manakala pekarangan premis itu juga kelihatan lengang.

Yang tertera di pintu masuk pejabat tersebut hanyalah sekeping notis yang memaklumkan bahawa perniagaan ditutup sempena Aidilfitri bermula 10 September dan akan dibuka semula seperti biasa pada 15 September.

Sosilawati, 47, yang memperkenalkan produk kosmetik jenama Nouvelle Visages sejak 12 tahun kini mempunyai 300 cawangan di seluruh negara dan di sekitar Asia Tenggara termasuk Indonesia dan Brunei.

Beliau bersama tiga lelaki iaitu pembantu peribadinya, Kamaruddin Shamsudin, 44: pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.

Misteri kehilangan mereka akhirnya terungkai semalam setelah polis Berjaya menahan lapan suspek yang disyaki terlibat dalam pembunuhan yang disifatkan sebagai kejam apabila kesemua mangsa ditahan, dipukul sehingga mati, dibakar dan abu mayat dibuang ke dalam sebuah sungai di Kampung Kanchong Laut, Banting.

Sementara itu, suasana di bank CIMB di Kampung Baru di sini, iaitu di mana Noorhisham Mohammad, salah seorang rakan Sosilawati yang menemui ajal bekerja, pula kelihatan seperti biasa sejak dibuka pukul 8.30 pagi.

Seorang kakitangan bank berkenaan yang ditemui Bernama berkata, pemergian Noorhisham tetap meninggalkan kesan yang mendalam kepada rakan setugas.

Katanya pemergian Noorhisham merupakan satu kehilangan besar kepada bank tersebut kerana beliau merupakan seorang pekerja yang sangat berdedikasi dan komited terhadap pekerjaannya.

“Saya percaya jika rakan setugas anda ''pergi'' pun mungkin perasaan sama akan dirasai," katanya. — Bernama

Komen Blog Ibnu Hasyim:

(i) Kita mahu pendakwaan segera dibuat terhadap mereka yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan ini. Jangan sampai kes ini dipolitikkan.

(ii) Kes ini menunjukkan peningkatan kadar jenayah dalam negara. Ini antara penyebab undi BN merosot dalam PRU12 lalu seperti menurut beberapa kajian yang dilakasanakan oleh pelbagai pihak. Kita harap pihak polis berusaha mengekang jenayah, jangan hanya pandai kepong ceramah pembangkang sahaja.

(iii) Kes ini juga, merupakan cabaran buat Ketua Polis Negara (KPN) yang baru, Tan Sri Ismail Omar untuk menyelesaikan segera.

(iv) Apakah benar wujud campurtangan pihak ketiga dalam PDRM sebagaimana yang ditimbulkan oleh bekas KPN, Tan Sri Musa Hassan? Hal ini menyebabkan ada pihak menggesa satu suruhanjaya penyiasat perlu ditubuhkan.

(v) Blog Ibnu Hasyim mengucapkan takziah kepada keluarga jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga orang lagi yang telah dibunuh secara kejam. Pihak kami merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan harap mereka tabah menerima ketentuan ini. (IH)

Lihat keseluruhan ini...

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails