Sunday, September 12, 2010

DNA Perlu Sahkan, Itu Mayat Datuk Sosilawati

Quick response: Police forensic personnel inspecting Sosilawati’s car found at Angsana Apartment in USJ 1 Monday night.

BANTING: Bernama melaporkan sebentar tadi, pasukan forensik polis memasuki kawasan sebuah ladang pertanian bersepadu di Tanjong Sepat dekat sini bersama-sama dengan sekurang-kurangnya dua suspek yang dipercayai terlibat dengan kehilangan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga orang lagi.

Petugas media yang berada di jalan masuk ke Ladang Gadong melihat dua konvoi kenderaan dengan kawalan ketat polis memasuki kawasan itu, dan dua lelaki dilihat memakai pakaian lokap. Menurut seorang anggota polis, mereka memasuki sebuah kawasan yang terletak kira-kira 100m dari jalan utama kawasan berkenaan, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kehilangan pengasas syarikat kosmetik Nouvelle Visages (NV) itu.

Pasukan forensik turut ke sebuah restoran, terletak kira-kira empat kilometer dari ladang itu untuk menjalankan siasatan. Helikopter polis juga dilihat berlegar-legar di kawasan itu. Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar memberitahu pemberita di Kuala Lumpur bahawa polis percaya kes itu dapat diselesaikan segera berikutan penangkapan sekurang-kurangnya empat lelaki.

Ismail enggan menyatakan identiti mereka yang ditahan, walaupun ada sumber menyatakan mereka termasuk dua orang peguam. Terdapat spekulasi mayat mereka dibakar. Seorang sepupu Sosilawati, yang ditemui di rumahnya di Gombak, berkata polis ada menghubungi mereka tengah hari ini memaklumkan kemungkinan mayat jutawan itu ditemui di Tanjong Sepat.

"Mungkin kena buat DNA untuk sahkan itu mayat Datuk," kata Elias yang enggan menyatakan nama penuhnya. Bekas suami pertama Sosilawati yang dikenali sebagai Buhari dilihat memasuki rumah Sosilawati kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Sementara itu. di Kuala Langat, sudah dua minggu ramai polis dilihat di sekitar Ladang Gadong, Tanjong Sepat di sini bagi melakukan siasatan. Keadaan itu disedari penduduk sekitar sehingga menimbulkan pelbagai persoalan dan andaian. Bagaimanapun ia terungkai ekoran penemuan empat mayat yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kehilangan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47 bersama tiga individu lain.

Ketua MIC Cawangan Taman Gadong, M. Mohan, 53, berkata, beliau mendapat tahu berita tersebut apabila pihak polis mula mengawal pergerakan keluar masuk di simpang ke ladang terbabit pada Sabtu. "Ketika itu saya mahu ke Kuil Sri Maryaman yang terletak di laluan masuk berkenaan. Saya dimaklumkan polis bahawa mereka sedang melakukan siasatan. Ini pertama kali kejadian seumpama ini berlaku di sini," katanya di sini pada Ahad.

Difahamkan, Ladang Gadong itu dimiliki seorang peguam bergelar datuk yang pernah dicari polis bagi membantu siasatan. Ladang milik persendirian berkeluasan tiga ekar itu mempunyai ternakan ayam, lembu dan kambing.

Sementara itu, tinjauan mStar Online di rumah banglo Sosilawati pada 11:30 pagi, lebih 10 wartawan dan jurugambar telah berkumpul di depan kediaman mewah itu. Pada 12 tengah hari, abang sepupunya, Elias berkata, abang dan adik Sosilawati telah ke Banting pada sebelah pagi.

Katanya, anak-anak Sosilawati berada di rumah dan masih tunggu pengesahan polis. "Mereka okey setakat ini. Mereka masih tunggu apa-apa perkembangan daripada polis," katanya. Ahli keluarga enggan menemui media.

Pada 12:30 tengah hari, Elias memaklumkan kepada pemberita bahawa mereka telah menerima panggilan polis. Katanya, polis memberitahu besar kemungkinan mangsa ialah Sosilawati. (AK)

Lihat sebelum ini...

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails