Friday, September 17, 2010

Kes Sosilawati: K/AMK Nak Saman K/Polis S'ngor?


KL 16 Sept 10: Ketua Angakatan Muda KEADILAN Malaysia (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin (gambar) menimbang untuk menyaman Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar kerana menjejaskan kredibilitinya sebagai seorang pemimpin politik berhubung dakwaan dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini yang mengatakan beliau mengaitkan pasukan keselamatan dengan pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya.

"Saya harap Datuk Khalid tolong fikir dululah sebelum bercakap seperti ini yang pada saya merupakan satu perkara yang cukup memalukan.

"Saya akan merujuk perkara ini dengan rakan-rakan saya yang juga peguam, kalau ada kes saya tidak teragak untuk mengambil tindakan saman kerana ini mencabar kredibiliti saya," kata Shamsul pada sidang media di Kelab Sultan Sulaiman petang tadi.

Laporan akhbar itu menyatakan pihak polis akan memanggil Shamsul berkaitan kenyataan beliau tersebut.

"Saya ingin nyatakan di sini tidak tahu menahu kes ini tetapi saya sedia bekerjasama.

"Polis mahu membuka kertas siasatan terhadap saya kononnya saya bercakap ikut sedap mulut dan inilah kenyataan paling merepek yang pernah saya dengar. Saya tidak boleh terima kenyataan seorang Ketua Polis Selangor bercakap seperti ini.

"Tugas menjaga keselamatan bukan hanya semata-mata tanggungjawab pasukan keselamatan. Keselamatan di negara ini sudah menjadi tanggungjawab rakyat," katanya.

Shamsul menafikan beliau membuat kenyataan menuduh pihak polis mempunyai hubunhgan dengan kes pembunuhan jutawan koslmetik tersebut.

"Saya rakamkan ucapan takziah di atas pembunuhan kejam seorang wanita dan tiga orang rakannya dan yang kedua saya mengambil sikap memuji tindakan polis kerana bertindak cepat.

"Ketiga saya minta pasukan polis tumpu kerja untuk bantu kurangkan kadar jenayah bukan jaga ahli politik. Polis harus periksa twitter saya.

"Saya katakan sebelum kes Datuk Sosilawati terdapat empat kes lain yang dilaporkan media yang serupa dengan pembunuhan Datuk Sosilawati. Persoalan yang saya bangkitkan mengapa kes itu tidak disiasat dengan begitu mendalam sebelum daripada kes ini dan saya baca juga laporan media mengenai kejadian jenayah disekitar kawasan pembunuhan Datuk Sosilawati," jelas beliau lagi.

Shamsul berkata beliau hanya menimbulkan persoalan sekiranya pasukan polis telah mengambil tindakan positif menyiasat dan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap kes dan kejadian yang berlaku sebelum sudah tentu pembunuhan Sosilawati tidak akan berlaku.

"Itulah jawapan kepada soalan wartawan yang bertanya kepada saya dan tidak ada kena mengena dengan tuduhan terhadap mana-mana anggota polis

"Saya mahu satu pasukan polis yang bekerja dengan sepenuh hati mereka untuk mereda atau merendahkan kadar jenayah di Malaysia.

"Saya ingin tegas saya tidak akan berhenti bercakap mengenai kebenaran, ini adalah berkaitan keadilan untuk Datuk sosilawati dan tiga yang lain dan kita tidak mahu kes seperti ini berlaku lagi di negara kita," ujar beliau. Laporan Suara Keadilan.com

Sementara itu di Kuala Langat, sebanyak sembilan kes jenayah dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga individu lain dilaporkan, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata, peguam yang bergelar Datuk itu dikatakan terbabit dengan tujuh kes jenayah komersial membabitkan penipuan dan pecah amanah berjumlah RM7.1 juta di daerah ini.

"Ini termasuk dua laporan polis melibatkan kehilangan dua orang iaitu seorang warga India dan seorang warga tempatan berbangsa Cina.

"Kes ini dibuka semula untuk siasatan. Sedia maklum, kes jenayah komersial bukan cepat untuk diselesaikan maka perlu diteliti banyak dokumen dan menyoal siasat ramai saksi," katanya kepada pemberita di sini, Khamis. Laporan mStar Online.

PAS pula mahu tindakan sewajarnya diambil terhadap segelintir anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang didakwa cuai dan tidak serius dalam menyiasat beberapa laporan kes kehilangan. Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar sebelah) berkata parti itu memandang berat kenyataan yang mengatakan ada laporan kehilangan tidak disiasat dengan serius.

"PAS mengharapkan supaya pegawai yang cuai terhadap laporan yang dibuat terhadap beberapa kes pembunuhan dan menghilangkan mangsa oleh kumpulan mafia ini mesti disiasat sama. Apa makna laporan dibuat jika siasatan tidak dibuat dengan cara yang serius," katanya.

Ujarnya lagi, PAS meletakkan kepercayaan terhadap jaminan yang diberikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar untuk mengambil tindakan terhadap pegawai polis yang cuai apabila laporan kehilangan yang tidak siasat dengan serius.

"Ini adalah merupakan ujian awal ke atas Ketua Polis Negara yang baru," katanya lagi sambil menyifatkan sangat malang jika perkara tersebut benar-banar berlaku. Lapuran Harakahdaily.net (Pelbagai sumber/AK)

Untuk maklumat lanjut mengenai kes ini sila dapatkan E-Buku IH-1: Misteri Hilangnya Jutawan Datuk Sosilawati Lawiya, sila klik...

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails