Friday, April 16, 2010

PRK Sibu: 16 Mei undi, 8 Mei penamaan calon

SURUHANJAYA Pilihan Raya sebentar tadi mengumumkan pilihan raya kecil parlimen Sibu ditetapkan pada Ahad, 16 Mei ini. Menurut pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (berbaju Melayu jingga), penamaan calon pula ditetapkan pada Sabtu, 8 Mei.

Beliau membuat pengumuman itu selepas mengadakan mesyuarat hampir tiga jam di pejabat SPR di Shah Alam. Proses penamaan calon dan penjumlahan undi rasmi bagi pilihan raya kecil itu akan dilaksanakan di Dewan Suarah, Sibu, katanya pada sidang media hari ini. Pilihan raya kecil itu perlu diadakan mengikut Perkara 54 (1) Perlembagaan Persekutuan berikutan kematian penyandangnya Datuk Robert Lau Hoi Chew pada 9 April lalu.

Aziz berkata SPR telah pun menerima surat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat beserta sijil kematian Lau, yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan pada 12 April lalu dan SPR memastikan kekosongan kerusi Parlimen Sibu pada 10 April.

"Mengikut perlembagaan, pilihan raya kecil perlu diadakan 60 hari selepas tarikh kekosongan kerusi itu dipastikan," katanya.

Pada majlis ini, Aziz juga menyampaikan watikah pelantikan sebagai pegawai pengurus pilihan raya kecil Parlimen Sibu kepada Pegawai Daerah Sibu, Wong See Meng (kiri). Beliau berkata Wong mempunyai pengalaman dalam mengendalikan beberapa pilihan raya umum di Sibu dan akan dibantu oleh empat penolong pegawai pengurus daripada beberapa jabatan kerajaan negeri di Sarawak.

Aziz berkata bagi pilihan raya kecil ini, SPR akan menggunakan daftar pemilih induk 2009 yang dikemaskini sehingga 9 April tahun ini. Sibu mempunyai 54,695 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 52,158 pemilih biasa dan 2,537 pengundi pos, terdiri daripada 1,910 anggota tentera dan 627 anggota polis. Proses pengeluaran dan pengiraan undi pos akan dibuat di Pejabat Daerah Sibu.

Kerusi parlimen Sibu kosong berikutan kematian ahli parlimennya yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Robert Lau Hui Choi, minggu lalu. Lau, 68, dari SUPP memenangi kerusi tersebut pada pilihan raya umum 2008 dengan majoriti 3,235 undi. Beliau menewaskan calon DAP Wong Ho Leng dan calon PKR Lim Chin Chuang.

Dia mendapat 19,138 undi manakala Wong mendapat 15,903 undi dan Lim (812). Lau mewakili parlimen Sibu sejak 1990. Dalam pilihan raya umum 2008, parlimen Sibu mempunyai 53,679 pengundi, dengan majoriti kaum Cina (60 peratus), Melanau (20 peratus), Iban (18 peratus) dan Orang Ulu (1.1 peratus).

Keluarga Lau memiliki kumpulan KTS - sebuah konglomerat yang terbabit dalam industri pembalakan dan media. Kumpulan KTS memiliki beberapa akhbar termasuk Borneo Post dan Oriental Daily News. (AK)

Sebelum ini...

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails