Monday, April 12, 2010

Blogger Kecewa, Ada Bukti Lapor SPRM .. Pemuda K'tan


KOTA BARU, April12, 10: Seorang penulis blog yang mendedahkan dokumen melalui blognya kononnya wujud penyelewengan dalam pengurusan parti dan kerajaan dicabar membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika yakin ada bukti kukuh.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari memberi respons tersebut terhadap beberapa siri tulisan salah seorang blogger sejak kebelakangan ini.

“Saya mencabar beliau jika beliau yakin terdapat penyelewengan dan salah guna kuasa dalam pentadbiran kerajaan negeri Kelantan di bawah kepimpinan Dato Nik Abdul Aziz selaku Menteri Besar.

“Menteri Besar seringkali membuka ruang pintu siasatan kepada SPRM sepanjang masa bagi membuktikan ketelusan pentadbiran dan kesediaan untuk disiasat jika terdapat mana-mana anggota pentadbiran yang terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa,” katanya melalui kenyataan dikeluarkan hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut nama blogger tersebut. Difahamkan blogger tersebut adalah Kickdefella yang baru-baru ini mendedahkan penyelewengan kerajaan negeri berhubung urusan pelaksanaan projek pembalakan.

Ahmad Fadhli menyifatkan blogger berkenaan sebagai ‘seorang yang kecewa’ kerana tidak mendapat habuan yang diharapkan. Beliau merujuk dakwaan terkini blogger berkenaan yang kononnya telah banyak membantu kerajaan PAS dalam pilihan raya.

“Beliau (blogger berkenaan) membuat pengakuan kononnya banyak membantu PAS dalam pilihan raya tetapi pengakuan tersebut langsung tidak disertakan dengan bukti dan fakta yang jelas.

Sinar Harian menyiarkan dakwaan blogger berkenaan mengenai perkara tersebut semalam.

“Saya penuh meyakini bahawa dakwaannya yang banyak membantu kempen PAS di Kelantan adalah merupakan satu pembohongan semata-mata.

“Hakikatnya, beliau lah yang mencari makan dengan kerajaan PAS selama ini.

“Kemungkinan apa yang beliau lakukan hanyalah semata-mata untuk memperagakan kebolehan di dalam mecari maklumat agar dibeli dengan harga yang mahal oleh pihak yang lain” ujarnya. (AK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails