Friday, April 16, 2010

H/S'ngor: Blogger Terlibat 'Tukang Kecoh'? -K/Polis


Bernama: Polis Kenal Pasti 'Tukang Kecoh' di Hulu Selangor.

PETALING JAYA, 16 April — Polis mengenal pasti beberapa individu yang mungkin mengganggu perjalanan kempen pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor.

“Mereka ini dikenal pasti sebagai tukang kecoh. Apabila mereka mula buat (sesuatu yang lebih mengancam ketenteraman awam), kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan,” kata Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar kepada pemberita ketika meninjau pelaksanaan kamera litar tertutup (CCTV) bersama Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini hari ini.

Katanya polis tidak menolak kemungkinan kumpulan itu terlibat dalam penyebaran SMS berunsur fitnah dan juga dalam blog bagi mempengaruhi dan mengganggu 64,500 pengundi di kawasan Hulu Selangor.

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu akan diadakan esok manakala pengundian ialah pada 25 April ini.

“Anggota polis telahpun dikerahkan mengawasi dan menahan mereka jika mereka mula bertindak hingga menggugat ketenteraman awam,” kata Khalid.

Terdahulu pada majlis itu, Abu Seman berkata Kementerian Dalam Negeri ketika ini memberikan tumpuan kepada penambahan pemasangan dan integrasi CCTV sebagai langkah memerangi jenayah.

“Sebagai contoh, CCTV yang ada akan diintegrasikan terus ke IPD atau mana-mana Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) berdekatan untuk tindakan terus dan pantas menahan mana-mana pelaku jenayah yang telah dikesan,” katanya.

Abu Seman berkata tumpuan kepada CCTV ini merupakan satu daripada tiga elemen penting memerangi jenayah selain tumpuan kepada orang dan peralatan atau kenderaan. — Bernama

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails