Friday, April 16, 2010

Kes Tuan Muda: Sedia Tarik Balik. Patut Semak Dulu.


APRIL 15 10 - KUANTAN: Pihak Istana Pahang bersedia menarik balik laporan polis terhadap seorang remaja berumur 17 tahun yang menyamar sebagai Tuan Muda Pahang. Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, baginda sendiri telah melihat laporan polis yang dibuat dan mengambil kira kenyataan remaja terbabit terhadap pihak berkuasa.

"Jadi saya ingin mengatakan saya tidak akan buat satu tindakan susulan kalau dia mohon maaf dengan saya, keluarga saya dan buat akujanji dan bersetuju mendapatkan rawatan kaunseling dalam tempoh yang akan ditentukan polis," titah Tengku Abdullah.

Baginda bertitah demikian kepada pemberita selepas melawat Zarina Wahab, wanita yang menjadi mangsa simbahan asid, di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini hari ini. Titah Tengku Abdullah, jika remaja tersebut bersetuju memenuhi syarat berkenaan, kes itu akan ditarik balik namun sekiranya perkara itu berulang, laporan kes terbabit akan dibuka semula memandangkan perbuatan remaja itu mencemarkan nama Istana Pahang selain turut menjejaskan kredibiliti pihak yang terlibat.

Perbuatan remaja itu tetap salah daripada segi undang-undang namun baginda turut mengambil kira tujuan remaja itu yang dipercayai ingin mengambil tahu hal ehwal Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

"(Kejadian) ini ada sedikit sebanyak kelucuan dan saya berharap budak itu akan insaf dengan perbuatannya," titah baginda.

Berhubung kelemahan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) dalam membuat pengesahan berhubung identiti remaja itu, Tengku Abdullah bertitah pihak berkenaan sepatutnya membuat semakan terlebih dahulu sebelum melaksanakan sebarang tindakan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Zulkifli Taha berkata kes itu akan dirujuk kepada pihak Pendakwa Raya untuk tindakan seterusnya. Jumaat lepas, remaja yang berasal dari Bera, Pahang itu ditahan polis di rumah saudaranya di Pekan, ekoran aduan daripada pihak Istana Pahang mengenai kes penyamaran itu.

Remaja terbabit yang merupakan pelajar pintar, dipercayai memperdaya seorang exco kerajaan negeri Pahang dan Ketua Pengarah JLKN Datuk Abdul Hadi Awang Kecil dengan menggunakan gelaran "Yang Mulia Tuan Muda" dan mendakwa bahawa dia adalah anak angkat kepada Tengku Abdullah. Tempoh reman remaja terbabit berakhir hari ini. - BERNAMA

Kesnya: Seorang remaja ditahan polis kerana dipercayai terbabit dalam kes penyamaran sebagai "Tuan Muda Pahang", Remaja berusia 17 tahun itu yang disifatkan polis sebagai "budak pintar" ditahan setelah polis menerima aduan daripada Istana Pahang. Suspek memperdaya seorang Exco Kerajaan Negeri Pahang dan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kecil dengan menggunakan gelaran "Yang Mulia Tuan Muda" dan mendakwa bahawa dia adalah anak angkat kepada Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Sepucuk surat rasmi palsu Tengku Puan Pahang yang direka telah dihantar ke Kem PLKN Cahaya Gemilang, Cherating untuk memaklumkan bahawa suspek akan mengadakan lawatan ke kem berkenaan. (AK)

1 comment:

Anonymous said...

Dia ni ada bakat untuk menjadi perisik. Patut diberi latihan perisikan dan diserapkan dalam unit risikan tentera. Seperti yang berlaku kepada seorang Yahudi pintar, Frank Abagnale Jr yang telah memperdayakan ramai orang pada usia belasan tahun. Akhirnya FBI mengambil beliau bekerja akibat dari kemahirannya itu.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails