Tuesday, December 29, 2009

Futsal Adalah Medan Eratkan Ukhuwwah -PJ PAS Perak

SUKAN

IPOH 29 Dis 09: PROGRAM sukan futsal amat penting kerana ianya merupakan medan untuk mengeratkan ukhuwwah di kalangan pemuda-pemuda PAS bagi mencapai persefahaman dalam melaksanakan kerja dakwah. Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Ustaz Abu Bakar merakamkan ucapan tahniah kepada Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) yang telah berjaya mengadakan Pertandingan Futsal Piala Pesuruhjaya PAS Perak.

"Semasa bertemu,ahli-ahli boleh saling bertanya khabar dan mengetahui perkembangan organisasi. Ini penting untuk mengeratkan lagi ukhuwwah dan kesatuan organisasi bagi melancarkan agenda dakwah," katanya.

Beliau juga berpandangan, program yang diadakan itu boleh dijadikan sebagai medan untuk menarik dan mengumpul golongan muda agar mencintai cara hidup Islam. "Program ini boleh menjadi medan mengumpul mad'u (sasaran dakwah) yang baru. Riadah boleh dijadikan masa untuk bertemu dan saling berkenalan. Dengan berkenalan akan timbul kesefahaman dan kasih sayang yang merupakan asas dalam dakwah," katanya lagi.

Selain itu ujarnya, program riadah juga juga dapat membentuk akhlak Muslim. Ini kerana jelasnya, ketika bersukan pastinya akan berlaku kekasaran. Kadangkala juga seorang itu akan diuji sejauh mana dia jujur dengan kesalahan yang dilakukannya ketika bersukan. Oleh itu dari kekasaran akan terbentuknya sifat kemaafan dan kejujuran menanamkan sifat sering merasai pemerhatian oleh Allah (ma’iyatullah).

"Sehubungan itu, penghayatan terhadap kepentingan riadah pula adalah sebahagian daripada fikrah Islam yang syumul. Sebuah organisasi yang membawa fikrah yang syumul harus merialisasikan apa yang didokongnya," katanya.

Pasukan futsal dari Lumut muncul juara keseluruhan kejohanan futsal piala Pesuruhjaya PAS Perak dan membawa pulang hadiah berupa sebuah piala dan juga wang tunai RM1,500.

Tempat kedua pula diraih pasukan dari Ipoh Timur dan menerima wang tunai sebanyak RM700, manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing dari Tanjung Malim dan Kampar membawa pulang hadiah saguhati.

Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Ustaz Abu Bakar merakamkan ucapan tahniah kepada Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) yang telah berjaya mengadakan Pertandingan Futsal Piala Pesuruhjaya PAS Perak. (AK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails