Saturday, March 12, 2022

Pengundi Cina Sebentar tadi..

 

Pengundi saluran satu di SK Bukit Rahmat Kg Parit Belemam.

1. Pengundi Cina ramai keluar mengundi awal

BATU PAHAT: Rakyat Johor hari ini akan menjalankan tanggungjawab memilih kerajaan negeri baharu sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

PRN Johor menyaksikan pengundi muda berumur 18 hingga 23 tahun merasai pengalaman mengundi buat pertama kalinya.

Dilaporkan sebanyak 13 peti undi ditempatkan di DUN Parit Yaani, antaranya Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Bilal, Sekolah Kebangsaan Bukit Rahmat Kampung Parit Belemam, Sekolah Agama Parit Jawa dan Sekolah Kebangsaan Bindu.

Tinjauan awal media mendapati tempat mengundi di SK Parit Bilal menyaksikan pengundi Cina lebih ramai berbanding Melayu dan India, sekitar jam 9 pagi ini.

Manakala, SK Bukit Rahmat Kampung Parit Belemam menyaksikan ramai pengundi daripada saluran satu mulai berpusu-pusu menjalankan tanggungjawab mereka, sekitar jam 9.30 pagi ini.

Penduduk yang membuang undi di Sekolah Agama Parit Jawa serta SK Bindu kelihatan agak lengang berbanding pusat mengundi yang lain, sekitar jam 10.15 pagi ini.

Majoriti pengundi Melayu dilihat di sekitar kawasan pusat mengundi di SK Bindu, di sini, pagi ini.

Sebanyak 1,021 pusat mengundi bersedia membuka pintu bermula 8 pagi, bagi membolehkan 2,539,606 pengundi biasa daripada 2,597,742 pengundi berdaftar yang layak mengundi, menunaikan tanggungjawab mereka.

Sebanyak 36,729 kertas undi pos telah dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) manakala kira-kira 87 peratus atau 18,625 pengundi yang terdiri daripada anggota polis, tentera dan pasangan menjalankan tanggungjawab mengundi awal, pada 8 Mac lepas.

Bagi proses pengundian hari ini, pusat mengundi yang mempunyai satu atau dua saluran akan ditutup lebih awal seperti yang diwartakan iaitu Balai Raya Pulau Besar di Mersing ditutup pada 11 pagi, Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Pemanggil, Mersing pada 1 tengah hari.

Sebanyak 15 pusat mengundi pula akan ditutup pada 2 petang, manakala 41 pusat mengundi ditutup pada 4 petang.

Pusat-pusat mengundi lain akan ditutup pada 6 petang.

Pada PRN Johor kali ini, seramai 239 calon daripada 15 parti politik akan bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ia merangkumi parti Barisan Nasional (BN); Perikatan Nasional (PN); Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang); Pakatan Harapan bersama parti komponennya PKR yang bertanding atas logo sendiri serta rakan strategik gabungan itu, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda); Parti Warisan (Warisan); Parti Bangsa Malaysia (PBM); Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Dua kerusi DUN menyaksikan pertandingan tujuh penjuru; empat kerusi DUN melibatkan enam penjuru; lapan kerusi DUN melibatkan lima penjuru dan 35 kerusi (empat penjuru).

Antara pemimpin yang dijangka menjadi tumpuan ialah bekas Menteri Besar Johor, Dato’ Hasni Mohammad yang akan mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Raja, Pekan Nanas di Pontian; bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Muar di Muar; Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Sri Hishammuddin Tun Hussein di Sekolah Agama Taman Sri Lambak, Kluang dan Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di SK Taman Sutera di sini.

PRN Johor hari ini adalah pilihan raya pertama di negara ini bagi anak muda merasai sendiri pengalaman keluar mengundi bagi memilih wakil rakyat, melibatkan 173,177 individu berusia 18 hingga 20 tahun.

Kebenaran untuk anak muda mengundi kali ini adalah susulan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019, bagi menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran pengundi automatik diluluskan pada Mac 2019.

Semasa proses pengundian PRN Johor berlangsung, semua pengundi diwajibkan memakai pelitup muka, menggunakan pensanitasi tangan dan merekodkan kehadiran serta mengamalkan penjarakan fizikal.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan pengundi berstatus individu dalam siasatan (PUI) dan individu dalam pengawasan (PUS) perlu memohon pegawai kesihatan daerah (PKD) untuk keluar sementara ke pusat mengundi dan kebenaran adalah tertakluk kepada penilaian risiko jangkitan oleh PKD itu.

Jabatan Meteorologi meramalkan cuaca pada sebelah pagi cerah di seluruh Johor dengan suhu sepanjang hari pengundian antara 23 hingga 33 darjah Celsius.

Ribut petir pula diramal berlaku pada sebelah petang di tujuh daerah iaitu Johor Bahru, Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Pontian dan Kulai. HARAKAHDAILY 12/3/2022

2. Pengundi kaum Cina disaran tolak politik kebencian

SEGAMAT: Pengundi kaum Cina di Johor dinasihat tidak termakan sentimen politik kebencian yang dibangkitkan pihak tertentu bagi meraihkan undi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) esok.

Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Sabah, Isaac Wong Kah Kiat berkata, terdapat parti tertentu cuba membangkitkan kemarahan kaum Cina terhadap kaum lain.

Kataya, ia bertujuan merosakkan perpaduan kaum yang hidup aman damai di negara ini sejak merdeka.

“Kami yakin kaum Cina di Johor bijak menapis unsur-unsur negatif tersebut. Malah politik kebencian tersebut juga sudah lama ditolak termasuk di Sabah,” katanya di sini.

Beliau ditemui ketika kempen membantu calon PN Dun Jementah Maimunah Safwah Musa dari PAS di Kampung Baru Jementah. Pada PRN tersebut Cikgu Muna berdepan calon MCA dan DAP.

Isaac juga berkata, sehingga sekarang sudah ramai pemimpin DAP di Sabah yang keluar parti terbabit kerana menolak politik kebencian.

Antaranya bekas penasihat DAP Sabah, Dato’ Jimmy Wong, mantan Adun Luyang, Hiew Khing Chew dan bekas Adun Elopura Calvin Chong Ket Chuin.

“Di Sabah sudah ramai yang keluar parti kerana menyedari kepincangan kepimpinan parti terbabit,” katanya.

Beliau juga yakin rakyat Johor bijak memilih pemimpin yang mampu memperjuangkan nasib mereka di ke Dewan Undangan Negeri.

Selain itu menurutnya calon yang diketengahkan PN berintegriti tinggi dan bertanggungjawab bagi membela nasib rakyat tanpa mengira kaum dan agama. – HARAKAHDAILY 11/3/2022

3. Penduduk Tionghua akui bazir masa hadir kempen Najib

SEGAMAT: Di pekan Bakri ramai kaum Tionghua mendedahkan mereka membuang masa hadir pada program kempen BN yang turut dihadiri ahli parlimen Pekan Dato’ Seri Najib Razak semalam.

Sebuah portal berita melapor kaum Cina terbabit pada awalnya menjangka mereka mendapat duit hadir pada program di Medan Selera 568 di Taman Sakeh Baru, namun andaian itu tersasar.

Berikutan itu bekas perdana menteri terbabit meluahkan rasa bangga kerana ramai penduduk Cina hadir pada program disertainya pagi semalam.

Sebaliknya, pada program anjuran Perikatan Nasional (PN) di Dun Jementah seramai 200 penunggang motosikal menerima sumbangan petrol percuma di sebuah stesen minyak semalam.

Ramai masyarakat Cina hadir pada Program Isi Minyak Motor Percuma terbabit.

Bukan sekadar hadir, sebaliknya mereka secara terbuka menyatakan sokongan kepada calon PN, Maimumah Safwah Musa.

Mengulas perkembangan tersebut Ketua Dewan Pemuda PAS Sabah Hendri Hamsah
berkata, sambutan menggalakkan masyarakat tempatan pada program tersebut memberi isyarat rakyat mahu perubahan.

Katanya, rata-rata mereka yang hadir ketika ditemui mahu kerajaan Johor ditadbir kerajaan yang prihatin rakyat dan tidak terpalit rasuah.

“Program berkenaan dianjurkan bertujuan membantu meringankan beban penduduk di kawasan Jementah yang terjejas akibat penularan Covid-19,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya juga sebanyak 200 penunggang motosikal hadir mengisi minyak petrol penuh tangki secara percuma. – HARAKAHDAILY 10/3/2022

Siri Analisis PRN Johor

  


‘Pemuda Semabul’ – Kelantan makmur 32 tahun tanpa Umno

 

KETUA Pemuda Umno Kelantan kelihatan sedikit keliru. Atau bolehkah saya sebut sebagai ‘semabul’? Dia orang Kelantan, dia faham maksud kata itu.

Menyebut ‘Singapura dianggap bertuah dan bernasib baik kerana tidak ada parti PAS di negara itu sama ada sebagai pembangkang atau parti perosak’ adalah satu bukti nyata dia sedang semabul.

PAS pembangkang? Sedarkah dia bahawa Parti Islam ini sedang menjadi rakan koaliasi bersama Kerajaan Keluarga Malaysia di Putrajaya saat ini? Tanpa PAS berdiri bersama, Umno tidak mampu menjawat apa-apa jawatan di sana.

Sedarkah juga dia bahawa kalau dalam konteks Kelantan, setelah Umno negeri ‘memutuskan’ hubungan dalam Muafakat Nasional, maka merekalah secara ‘default’ menjadi pembangkang kembali di sini? 

Selama 31 tahun menjadi pembangkang, kita ajak sekejap bersama duduk sebumbung, sebab kesian, selepas setahun mereka keluar sendiri. Balik asal jadi pembangkang. Biarlah. Jadi, kenapa fikirannya celaru begitu?

Yang keduanya, beliau menyebut, “PAS dalam keadaan sangat terdesak ketika ini dan terpaksa sedaya upaya mencari kesalahan Umno berikutan populariti yang lebih tinggi berbanding Perikatan Nasional (PN) yang disertainya semakin merosot di mata rakyat”. 

Ah, ini juga bukti kedua ‘kesemabulan’ yang sedang berlaku. PAS tidak perlu mencari salah Umno, kerana rakyat telahpun menghukum Umno dalam PRU-14 dahulu kerana kesalahan dan kekhilafan mereka kepada marhaen sudah cukup banyak. Rakyat sudah pandai dan tahu menilai.

Apatah lagi kesalahan-kesalahan beberapa pimpinan utama ‘Kluster Mahkamah’ mereka yang telahpun dibuktikan salah di mahkamah. Ini semua bukan kerja PAS untuk mencari salah mereka. Tetapi undang-undang utama dalam negara yang membuktikan mereka melakukan kesalahan.

Jadi, kadang-kadang bila orang tua bercakap, kita budak budak diam sahajalah. Tidak semua yang orang lama sebut, kita perlu sangkal. Yang nampak kurang cerdiknya bukan orang, tapi kita. Yang masih ‘semabul’. 

ANAS KARIMI AHMAD THANI
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 10/3/2022

Perang Ukraine mendedahkan wajah sebenar

 

PERANG yang sedang berlaku hari ini laksana batu besar yang dihempap ke dalam lubuk yang tenang dan disangkanya tiada buaya. Tiba-tiba hasil percikan airnya mendongakkan kepala negara yang berslogankan demokrasi suara rakyat menjadi tuhan hanyalah suatu penipuan dan kesesatan.

Ternyata palsunya alasan mereka, apabila rakyat ditipu dan disogok. Mengapakah negara-negara Barat yang menjunjung demokrasi sanggup dipimpin oleh kuasa yang merasakan mereka satu-satunya kuasa tunggal? Seterusnya, mereka memilih untuk bersama-sama negara Eropah, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan negara yang berkiblat ke arahnya tampil mempertahankan demokrasi kuasa rakyat itu yang telah bertukar lebih melampau menjadi penceroboh.

Rakyat di negaranya sendiri sudah menjadi mangsa yang diperhamba oleh para pemimpin yang sebenarnya hanyalah mahu berkuasa laksana tuhan dengan kerakusan nafsunya, apabila slogan yang disebutkan itu tunggang terbalik. Hal ini demikian kerana, mereka bersifat dengan sifat kebendaan yang terlampau rakus dan melampau dalam segala perkara, disebabkan terpisah daripada agamanya dan hilang akhlaknya.

Apabila rakyat memberikan kuasa kepada pemimpin bagi pihak rakyat, maka rakyat hanya dipergunakan dalam percaturan yang telah merobekkan demokrasi yang dibangga-banggakan itu. Bahkan, telah disaksikan berlakunya pertembungan di Amerika Syarikat sendiri dalam Pilihan Raya Presiden yang baharu sahaja diadakan baru-baru ini, apabila pemilihan tersebut bertukar menjadi budaya samseng.

Dahulunya mereka mengadakan perang dingin dengan blok yang tidak sehaluan dengannya. Kini, ia bertukar menjadi perang bersenjata yang membakar hangus sesama sendiri kerana tawaran demokrasinya sudah melanggar sempadan negara lain.  

Kini sudah terdedah bahawa slogan demokrasi yang dilaungkan bukanlah untuk kebaikan sejagat, tetapi hanyalah semata-mata bagi menjaga kepentingan sekumpulan manusia yang telah gila kuasa. Malah, turut mengorbankan sesama manusia demi mencapai agendanya sahaja.  

Terdedah wajahnya yang bersikap ‘double standard’ terhadap negara lain yang dianggap sebagai manusia tidak setaraf sepertimana mereka. Mereka boleh memberikan lesen kepada kalangan ‘dictatorship’ (golongan diktator) yang nyata sepertimana mereka pernah memerintah Iraq, Afghanistan dan lain-lain.

Selain itu, mereka juga menyalakan api perang proksi secara khusus di negara-negara umat Islam yang dipertahankan dengan menyalurkan bantuan kewangan yang besar dan membekalkan senjata. Bahkan, mereka juga menghantar bala tentera bagi mempertahankannya, sekalipun tindakan itu menindas dan membunuh rakyat dengan keganasan yang melampau.

Dalam pada itu, pelarian yang menjadi mangsa perang di negara yang menjadi mangsa keganasan mereka pula dipandang dengan sebelah mata tanpa sifat perikemanusiaan. Sehinggakan, tanpa mempedulikan pelarian itu tidak sepertimana yang dilayan kini kepada pelarian Perang Ukraine yang berbangsa Yahudi atau berkulit putih. Mereka dengan lantang membela pelarian itu sebagai manusia sebenar, tidak seperti manusia yang lain.

Media Barat pula membuat liputan bagi menarik simpati seluruh manusia di atas muka bumi dengan berbagai-bagai alasan tanpa mengira sama ada ia berita yang benar mahupun bohong semata-mata bagi menarik perhatian dunia. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan seluruh cabangnya juga turut dikerahkan, termasuk Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bagi membela negara tersebut di atas nama melampau dan melakukan kekejaman terhadapnya.

Pada masa yang sama, mereka juga melancarkan perang ekonomi walaupun terpaksa menyusahkan rakyat mereka sendiri. Sehinggakan, sukan dijadikan senjata untuk melawan musuhnya.

Adapun tindakan melampau yang pernah mereka lakukan di beberapa negara telah nyata dilaporkan berlaku sebelum ini, langsung tidak boleh dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa kerana mereka mempunyai kekebalannya. Prinsipnya laksana undang-undang di rimba, siapa yang kuat akan berdaulat mengikut kemahuannya.

Demokrasi bebas yang dikatakan itu hanyalah untuknya sahaja. Adapun demokrasi yang memenangkan bukan dalam kalangan yang pro kepada mereka, khusus negara Islam seperti di Algeria, Mesir dan pernah diusahakan penggulingan kerajaan di Turki tidak diterima sama sekali.

Bahkan, pilihan raya yang diadakan di Iran hari ini juga tidak diiktiraf, begitu juga kemenangan Hamas di Gaza melalui pilihan raya juga dianggap tidak sah. Perang yang dicetuskan di Syria, Yaman, Somalia dan negara seumpamanya adalah semata-mata demi menjaga keamanan mereka dalam menentang kononnya yang dikatakan kelompok pengganas.  

Wajah yang terdedah kini, kononnya mereka ialah pengikut Nabi ‘Isa AS yang memperjuangkan perdamaian. Sehinggakan, mereka menyorong pipi kiri kalau ditampar pipi kanan.

Pada masa yang sama, mereka sanggup bersekongkol dengan Yahudi Zionis yang diimaninya telah membunuh dan menyalib Nabi ‘Isa AS. Perkara yang ditolak oleh ajaran Islam, tetapi menjadi amalan agama sepertinya.

Adapun bagi umat Islam telah dinyatakan petunjuk Allah SWT terhadap penganutnya yang sebenar tentang hakikat puak Yahudi itu sebagaimana firman-Nya:

﴿۞لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ ٱلنَّاسِ عَدَٰوَةٗ لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلۡيَهُودَ وَٱلَّذِينَ أَشۡرَكُواْۖ وَلَتَجِدَنَّ أَقۡرَبَهُم مَّوَدَّةٗ لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلَّذِينَ قَالُوٓاْ إِنَّا نَصَٰرَىٰۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّ مِنۡهُمۡ قِسِّيسِينَ وَرُهۡبَانٗا وَأَنَّهُمۡ لَا يَسۡتَكۡبِرُونَ٨٢ وَإِذَا سَمِعُواْ مَآ أُنزِلَ إِلَى ٱلرَّسُولِ تَرَىٰٓ أَعۡيُنَهُمۡ تَفِيضُ مِنَ ٱلدَّمۡعِ مِمَّا عَرَفُواْ مِنَ ٱلۡحَقِّۖ يَقُولُونَ رَبَّنَآ ءَامَنَّا فَٱكۡتُبۡنَا مَعَ ٱلشَّٰهِدِينَ٨٣﴾

“Sesungguhnya kalian mendapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang Musyrik. Dan sesungguhnya kalian mendapati yang paling dekat persahabatannya dengan orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: ‘Sesungguhnya kami ialah orang Nasrani’. Hal ini demikian kerana, antara mereka itu (orang-orang Nasrani) terdapat kalangan pendeta-pendeta dan rahib-rahib, (juga) kerana sesungguhnya mereka tidak menyombongkan diri. (82); Dan apabila mereka mendengarkan apa yang diturunkan kepada Rasul (Muhammad), kamu lihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan kebenaran (al-Quran) yang telah mereka ketahui (daripada kitab-kitab mereka sendiri); seraya berkata: ‘Wahai Tuhan kami! Kami telah beriman, maka catatlah kami bersama orang-orang yang menjadi saksi (atas kebenaran al-Quran dan kenabian Muhammad SAW).’ (83)” (Surah al-Ma’idah: 82-83)

Ayat di atas menunjukkan adanya dalam kalangan penganut Kristian yang melakukan perbuatan syirik dan bersekongkol dengan Zionis kerana pengaruhnya, sehingga sanggup bersama dengan golongan yang dituduh membunuh nabinya yang dianggap sebagai anak tuhan itu. Maka, segala salah laku yang lain adalah lebih ringan bagi mereka.

Namun, terdapat mazhab Kristian yang tidak boleh dipengaruhi oleh kalangan Yahudi Zionis. Maka, kini sedang berlaku ujian yang membezakan antara kedua-dua kumpulan Kristian ini dengan berpandukan petunjuk al-Quran.

Al-Quran mengajar penganut Islam supaya memberikan perlindungan kepada semua pelarian bukan secara terpilih, kerana firman Allah SWT dalam al-Quran:

﴿وَإِنۡ أَحَدٞ مِّنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ ٱسۡتَجَارَكَ فَأَجِرۡهُ حَتَّىٰ يَسۡمَعَ كَلَٰمَ ٱللَّهِ ثُمَّ أَبۡلِغۡهُ مَأۡمَنَهُۥۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ قَوۡمٞ لَّا يَعۡلَمُونَ٦﴾

“Dan jika ada seseorang antara orang-orang Musyrikin itu meminta perlindungan kepadamu, maka lindungilah dirinya supaya dia sempat mendengar firman Allah, kemudian hantarkannya ke tempat yang aman baginya. Demikian itu disebabkan mereka kaum yang tidak mengetahui.” (Surah al-Tawbah: 6)

Ayat di atas sekali gus menunjukkan bahawa Islam telah mendahului piagam yang dimeterai dalam Konvensyen Geneva supaya melindungi pelarian tanpa terpilih. Malah, Malaysia pernah menempa sejarah tersendiri apabila memberikan perlindungan kepada pelarian bukan Islam yang menjadi mangsa Perang Vietnam dan menghantarnya ke negara ketiga, bukan sahaja menerima pelarian Rohingya yang beragama Islam.  

Maka, Perang Ukraine kini mendedahkan wajah yang tidak ikhlas dan sekali gus menunjukkan percaturan mereka hanyalah demi kepentingan kumpulan tertentu. Tanpa mereka pedulikan kehidupan manusia yang bermasyarakat majmuk.

Justeru, negara yang bernaung di bawah payungnya selama ini perlu bermuhasabah kerana ternyata payung yang memayungi mereka hanyalah kertas berwarna yang menipu.

Kepada negara-negara Islam, selamatkanlah umat dengan kembali kepada dasar yang menyatukan. Perkasakanlah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) supaya berubah daripada sekadar menganjurkan forum bercakap dan berucap kepada bertindak dengan membina kekuatan sendiri tanpa Timur dan Barat, tetapi kepada risalah sejagat dengan kekuatan sumber sendiri.

Manfaatkanlah hasil bumi yang melimpah-ruah semua jenisnya yang dikurniakan Allah SWT dalam perut buminya. Laksanakanlah pelaburan di bumi sendiri yang mesti didahulukan, janganlah mencurah kekayaan ke negeri-negeri orang yang menipu.

Gantikanlah sandaran kewangannya daripada dolar (USD) dan Euro yang palsu, kepada dinar yang sebenar. Berpindahlah daripada kebergantungan kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang mengamalkan riba serta menipu dan menindas sesama manusia, kepada tabung kewangan Islam yang membawa rahmat.

Satukanlah tenaga manusia dalam konteks masyarakat majmuk yang berkonsepkan adil kepada semua, tanpa bersikap melampau dan menceroboh. Zaman penjajahan pasti akan ditamatkan, lantas zaman yang merdeka wajib ditegakkan.     

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 7 Sya‘ban 1443 / 10 Mac 2022 – HARAKAHDAILY 10/3/2022      

Kondisi PRN Melaka sukar berulang di Johor

 


PECUTAN akhir kurang menjadi. Sebaliknya bayangan Mei 2018 seperti berulang di Johor. Mungkin serupa tetapi berbeza. Ketika itu Pakatan Harapan (PH) dinobatkan sebagai pemenang.

Apakah kali ini untuk PH lagi? Namun, ramai mengharap tidak begitu. Berdasar gelombang akhir, nampak riak awal biru muda semakin gagah melangkah. Kata petugas Perikatan Nasional (PN) jauh berbeza berbanding PRN Melaka.

Banyak isyarat awal dapat dikesan. Sehingga hari ini bayangan poster presiden Umno payah ditemui di Johor. Sedangkan presiden parti lain kelihatan berlambak.

Mengapa dibiarkan begitu atau mungkin strategi saraf. Ia mengundang tanda tanya pengundi Bangsa Johor. Situasi serupa juga dirasai tenaga kempen dari luar.

Ketika menjejaki poster Ahmad Zahid Hamidi, sebaliknya muncul pula Bossku. Ia mengundang 1001 persepsi. Siapa presiden Umno sekarang, Zahid atau Najib Razak.

Apapun Bossku meluahkan rasa lega. Maka kata beliau sambutan yang diterima sepanjang aktiviti kempen bersama masyarakat Cina di Johor sangat menggalakkan.

Menurutnya terdapat tanda-tanda sokongan kaum Cina kembali kepada BN. Kata Ahli Parlimen Pekan terbabit tak mungkin berulang seperti 2018.

Ternyata Najib hebat. Apa rahsia sehingga Najib dikerumun ramai orang ketika kempen. Sebuah portal pro DAP mendedahkan rahsia itu.

Seorang penjual kain dilapor memberitahu ‘Najib makan banyak wang. Cina betul-betul tak suka dia,” ujarnya.

Peniaga itu mendakwa ramai orang datang menemui Najib kerana menjangka mereka diberikan wang. “Orang nak duit saja, bukan nak apa,” tambahnya.

Ingat ada wang

Seorang lagi lelaki dilapor memberitahu dia membuang masa melihat kehadiran Najib kerana menyangka akan menerima wang. “Ingat ada wang. Tak ada wang,” katanya.

Tidak sukar rupanya mencari rahsia kebebatan Bossku. Namun strategi itu tidak boleh disalahkan Najib. Dia hadir ketika tiada ‘bapa’ Umno yang membantu kempen Umno/BN.

Rakyat dakwa jarang kelihatan kelibat Zahid ketika calon BN bermati-matian mempertahankan 16 kerusi Dun. Kerusi itu termasuk 14 milik Umno. Dua lagi dimenangi MIC pada PRU lepas.

Isunya mengapa Umno menyembunyikan poster presiden ketika ‘peperangan do or die’ di Johor.  

Bagi penganalisi politik Dr Wan Nik Wan Yussof, Umno seperti kehilangan rentak di Johor. Ia berbeza berbanding Melaka.

“Ada kesan perang saraf yang hebat ketika poster calon PN, PKR dan Pejuang berdampingan dengan ketua mereka. Berbeza pula bagi BN,” katanya.

Isyarat kedua juga membimbangkan. Carian info kempen Umno tidak banyak memaparkan gerak Umno. Sukar untuk mencari foto audien yang hadir. Laman Umnoonline sekadar menyerang PN, PH dan Pejuang. Paling banyak aktiviti kempen Bossku.

Mengambil kira perkembangan itu ada pihak menganggap Umno nampaknya seperti letih. Sedangkan sebelum ini Umno beriya-iya mahu membentuk kerajaan negeri secara solo.

Umno sanggup membuang sahabat yang pernah mengangkatnya daripada berada di saf pembangkang. Umno hanya bergelar pembangkang 22 bulan. Langkah Sheraton berjaya mengubah posisi Umno.

Ketika itu Umno tidak pula menggambarkan Bersatu sebagai pembelot. Umno seperti tidak kisah adegan ramai ahli parlimen BN melompat kepada Bersatu. Umno menutup sebelah mata ketika itu.

Namun, ramai sedar Umno menghimpit Bersatu secara perlahan-lahan. Akhirnya tokoh yang pernah menghampar permaidani untuk Umno dilempar ke tepi.

Babak yang berlaku pada Februari 2020 ramai masih ingat. Lebih-lebih lagi rakyat Johor. Mereka dekat dengan Abah yang pernah menerajui Johor pada 1986 hingga 1995. Sembilan tahun Muhyiddin berada di kerusi menteri besar.

Foto Ihsan Bahagian Komunikasi Korporat, Parlimen Malaysia

Sangat kenal Abah

“Gua kenal sangat Abah. Ketika itu Muhyiddin sebagai menteri besar Johor. Banyak jasanya kepada rakyat Johor,” kata Ah Meng, 78 dari Mersing.

Ah Meng kenal Muhyiddin ketika menerajui kerajaan Johor. Namun sekarang Abah ada gabungan parti yang lebih bersih. Ah Meng pun tahu Umno banyak dicemari kerana pemimpinnya.

Bukan sekadar Ah Meng dan Raju yang kenal Abah, kelompok anak muda juga begitu. Ketika tinjauan penulis di deretan kedai di Tanjung Mas, Muar ada yang sebut nama PN.

Anak muda terbabit mencari rezeki dengan berniaga. Ketika borak-borak sesama mereka, ada yang sebut PN berkali-kali.

Bagi beberapa kakitangan sebuah hotel di bandar Muar, mereka tidak akan melepaskan peluang mengundi Sabtu ini. Seorang daripadanya memberitahu mengundi di Dun Bukit Pasir.

Di laluan Tangkak-Semangat boleh ditemui bilik gerakan pilihan raya PN. Juga terdapat markas PAS. Terdapat ramai petugas yang mengatur gerak kerja kempen.

Sepanjang kira-kira 60 km laluan itu banyak terpampang poster Abah. Tidak kurang juga poster BN, Pejuang, PH dan Muda. Agak kurang menyerlah poster PKR, Warisan dan Putra di Segamat dan Muar.  

Seorang penduduk di Tangkak mendakwa ada kontraktor yang memasang bendera BN. Mereka memasang pada siang hari. Begitu juga poster PH warna merah.

Berbeza dengan poster dan bendera PN, dipasang petugas. Jentera pilihan raya PAS datang dari seluruh negara. Mereka banyak membantu. Malah PAS Sabah turut menghantar hampir 100 petugas.

“Saya nampak perbezaan yang jelas antara gerak kerja kempen di Melaka dan Johor. Kempen secara fizikal memberi kesan mendalam. Gelombang kebangkitan PN mulai kelihatan,” kata seorang petugas dari Kelantan.

Mengambil kira kondisi yang berlaku sekarang, sukar mencari pemenang mutlak. Hampir pasti DAP masih mendominasi Dun komposisi bukan Melayu ramai.

Amanah dan PKR pula agak sukar mempertahankan Dun sedia ada. Sebahagian kerusi tersebut dijangka terlepas kepada PN dan BN. Pejuang, PBM, Putra dan Muda ternyata kurang menyerlah.

Apa yang hampir pasti BN tidak mampu mengulang kejayaan di Melaka. Kondisi Johor seperti mengulangi lanskap di Sabah pada September 2020. HARAKAHDAILY 10/3/2022

Siri Analisis PRN Johor

  


Johor mengundi hari ini, 1,021 pusat mengundi dibuka mulai 8 pagi

 

Petugas SPR memeriksa kotak undi di pusat mengundi DUN N15 Maharani sebagai persiapan pada hari pengundian sempena PRN Johor di SMK Seri Muar, Johor.. - FOTO NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

JOHOR BAHRU: Hari ini rakyat Johor mengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 bagi memilih kerajaan negeri baharu, menyaksikan pengundi muda berusia 18 hingga 20 tahun merasai pengalaman mengundi buat pertama kalinya.

Sebanyak 1,021 pusat mengundi bersedia membuka pintu bermula 8 pagi, bagi membolehkan 2,539,606 pengundi biasa daripada 2,597,742 pengundi berdaftar yang layak mengundi, menunaikan tanggungjawab mereka.

Sebanyak 36,729 kertas undi pos dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), manakala kira-kira 87 peratus atau 18,625 pengundi terdiri anggota polis, tentera dan pasangan yang menjalankan tanggungjawab mengundi awal, pada Selasa lalu.

Bagi proses pengundian hari ini, pusat mengundi yang mempunyai satu atau dua saluran akan ditutup lebih awal seperti diwartakan iaitu Balai Raya Pulau Besar di Mersing yang akan ditutup jam 11 pagi, manakala Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Pemanggil di Mersing pada jam 1 tengah hari.

Sebanyak 15 pusat mengundi pula akan ditutup jam 2 petang, manakala 41 pusat mengundi ditutup jam 4 petang. Pusat-pusat mengundi lain akan ditutup 6 petang.

Pada PRN Johor kali ini, seramai 239 calon daripada 15 parti politik akan bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ia merangkumi parti Barisan Nasional (BN); Perikatan Nasional (PN); Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG); Pakatan Harapan (PH) bersama parti komponennya PKR yang bertanding atas logo sendiri serta rakan strategik gabungan itu,

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA); Parti Warisan Sabah (WARISAN); Parti Bangsa Malaysia (PBM); Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Dua kerusi DUN menyaksikan pertandingan tujuh penjuru; empat lagi membabitkan enam penjuru; lapan dengan saingan lima penjuru dan 35 kerusi lagi menyaksikan saingan empat penjuru.

Antara pemimpin yang dijangka menjadi tumpuan ialah bekas Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad yang akan mengundi di SK Pengkalan Raja, Pekan Nanas di Pontian; bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Muar di Muar; Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Sekolah Agama Taman Sri Lambak di Kluang dan Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di SK Taman Sutera, di sini.

PRN Johor hari ini, adalah pilihan raya pertama di negara ini bagi anak muda merasai sendiri pengalaman keluar mengundi bagi memilih wakil rakyat, membabitkan 173,177 individu berusia 18 hingga 20 tahun.

Kebenaran untuk anak muda mengundi kali ini adalah susulan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019, bagi menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran pengundi automatik diluluskan pada Mac 2019.

Semasa proses pengundian PRN Johor berlangsung, semua pengundi diwajibkan memakai pelitup muka, menggunakan cecair sanitasi tangan dan merekodkan kehadiran serta mengamalkan penjarakan fizikal.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan pengundi berstatus individu dalam siasatan (PUI) dan individu dalam pengawasan (PUS) perlu memohon kebenaran pegawai kesihatan daerah (PKD) untuk keluar sementara ke pusat mengundi dan kebenaran tertakluk kepada penilaian risiko jangkitan oleh PKD itu.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan cuaca pada sebelah pagi cerah di seluruh Johor dengan suhu sepanjang hari pengundian antara 23 hingga 33 darjah celsius.

Ribut petir pula diramal berlaku pada sebelah petang di tujuh daerah iaitu Johor Bahru, Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Pontian dan Kulai. – BERNAMA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails