Friday, July 16, 2021

Projek Laman Warisan dibantah pembangkang kini jadi realiti

 

KOTA BHARU: Pada Oktober 2016 segelintir penduduk Kampung Laut, Tumpat mengadakan demonstrasi di hadapan Kompleks Kota Darulnaim bagi membantah projek pembangunan pelancongan di kampung terbabit.

Ketika itu mereka dipercayai didalang pembangkang menolak projek terbabit biarpun majoriti penduduk lain bersetuju.

Di sebalik bantahan itu seramai 12 penduduk yang terlibat dengan pembangunan projek Kampung Warisan dipindahkan ke penempatan baru seluas 1.48 hektar di Kampung Sungai Nyoir Tumpat.

Penempatan baru itu jauh lebih tersusun dan selesa berbanding lot asal milik keluarga mereka yang bertindan nama pemilik atas lot pusaka.

Kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) turut membina rumah secara percuma bagi penduduk miskin yang berpindah ke penempatan baru terbabit.

Manakala lot asal keluarga mereka juga dibayar pampasan mengikut nilaian harga semasa.

Hari ini selepas kira-kira lima tahun berlalu, projek pembangunan semula Kampung Laut fasa satu terdiri daripada Laman Warisan Serunding Kampung Laut hampir siap sepenuhnya.

Laman Warisan itu akan diserah secara rasmi kepada Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) pada September depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Baidzawi Che Mat berkata, Laman Warisan itu dijangka beroperasi Oktober tahun ini bakal menempatkan 11 usahawan serunding.

Katanya, lokasi itu akan dijadikan lokasi pelancongan wajib dikunjung kerana menyediakan ruang niaga bagi peniaga serunding tempatan bagi meningkatkan aktiviti pelancongan.

“Dengan siapnya Laman Warisan Kampung Laut, serunding Kampung Laut yang terkenal kini mempunyai alamat yang tersendiri,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) Kelantan secara maya semalam.

Manakala fasa dua projek tersebut yang merangkumi Laman Warisan Seni Kampung Laut dijangka siap pada awal tahun depan.

Laman tersebut menyediakan ruang bagi pengiat seni tempatan untuk memaparkan hasil karya mereka.

Baidzawi juga berkata, projek terbabit turut melibatkan projek penempatan semula dan baik pulih Masjid Kampung Laut berusia 300 tahun yang dipindahkan ke tapak asalnya.

Kerajaan Persekutuan sebelum ini melulus peruntukan sebanyak RM130 juta bagi melaksanakan pembinaan tebatan banjir di Kampung Laut yang merupakan sebahagian kompenan projek terbabit, dijangka siap tahun depan. – HARAKAHDAILY 14/7/2021

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails