Saturday, July 17, 2021

Jentera buggy ciptaan kreativiti anak tempatan..

 

Buggy guna enjin Modenas inovasi terkini

Oleh 
RIZAL HAFIZ RUSLAN

TASEK GELUGOR: Jentera buggy ciptaan anak tempatan, Muhamad Sodri Zubir, 47 tahun menggunakan enjin motosikal tempatan, Modenas menarik perhatian ramai termasuk PAS Kawasan Tasek Gelugor.

Buggy ciptaan Muhammad Sodri atau Mat Sod dikatakan boleh memuatkan dua penumpang selain mampu membawa bebanan sehingga 400kg dalam satu-satu masa.

Mat Sod menghasilkan jentera tersebut di sebuah bengkel motosikal yang diusahakan sendiri oleh beliau sejak 20 tahun yang lalu di Pokok Tampang, di sini.

Beliau menghasilkan jentera buggy itu menggunakan bahan-bahan terbuang seperti ‘dashboard’ kenderaan dan enjin terpakai.

Menurut Mad Sod, beliau memulakan projek tersebut sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada tahun lalu.

Katanya, antara cabaran utama yang dihadapi beliau dalam menghasilkan jentera buggy adalah untuk mendapatkan tayar yang sesuai untuk mengangkut bebanan selaun ujian melalui jalan yang tidak rata.

Akhirnya segala halangan dan cabaran yang dilalui itu membuahkan hasil apabila Mad Sod berjaya menyiapkan projeknya itu pada awal Jun ini.

Jelas Mad Sod, jentera tersebut amat sesuai untuk diguna oleh para pesawah di kawasan sekitar bagi tujuan mengangkut baja dan benih padi.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Tasek Gelugor, Ahmad Saiful Rizam berkata, pihaknya rasa kagum dan teruja dengan kejayaan yang ditunjukkan Mat Sod.

Kejayaan Mat Sod dalam menghasilkan jentera tersebut membuktikan bahawa kegigihan dan ketekunan mampu untuk mencapai sesuatu kejayaan.

Beliau turut memuji semangat yang ditunjukkan Mat Sod dan berharap agar agensi kerajaan di Malaysia dapat menghargai dan menyokong kreativiti anak tempatan itu.

“Semangat kental serta disiplin yang ada pada Mat Sod akan mendorong lebih ramai lagi anak-anak muda tempatan yang berkeupayaan untuk mencetus idea atau inovasi yang baharu, unik dan bermanfaat serta berfungsi sebagai pemangkin pembangunan ke arah kesejahteraan negara,” ujarnya ketika ditemui HarakahDaily, hari ini. – HARAKAHDAILY 16/7/2021

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails