Tuesday, July 13, 2021

Projek ECERDC di Tok Bali potensi ubah ekonomi Kelantan

 

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
 Tiga projek yang bernilai RM297.7 juta dikendalikan di bawah Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di Tok Bali berpotensi merubah ekonomi Kelantan.

Pembangunan tersebut iaitu Taman Industri Tok Bali (TBIP) bernilai RM200 juta, Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (TBIFP) sebanyak RM67.7 juta serta menaik taraf Jalan Tok Bali Pasir Puteh sejumlah RM30 juta.

Manakala pelaburan komited pihak swasta di Tok Bali sehingga Jun lalu bernilai RM1.75 bilion dan daripada jumlah tersebut sebanyak RM329 juta telah direalisasikan.

Perkara itu dicapai pada mesyuarat kedua Jawatankuasa Pembangunan Kawasan Tok Bali yang diadakan atas talian semalam.

Mesyuarat itu dipengerusikan bersama Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Dato’ Seri Mustapa Mohamed.

Fokus utama jawatankuasa yang ditubuhkan pada Mac lepas itu memastikan penyelarasan pembangunan secara komprehensif, memudah cara pelaksanaan projek dan menarik pelaburan bagi mempercepatkan pembangunan di Tok Bali.

ECERDC pada kenyataan berkata, pihaknya memastikan projek terbabit memacu ekonomi dan perdagangan rentas sempadan.

“Mesyuarat juga bersetuju supaya satu rumusan strategi dapat disediakan bagi mengenal pasti langkah pelaksanaan pembangunan ‘Inland Port’ Pasir Puteh.

“Usaha tersebut dilakukan bersama Pelabuhan Komersial Tok Bali yang melibatkan kira-kira 10 kementerian dan agensi kerajaan termasuk Petronas dan sektor swasta yang terlibat bersama ECERDC,” katanya.

Bagi memperkukuhkan lagi aktiviti perdagangan di kawasan terbabit, kerajaan negeri memulakan perancangan untuk membangunkan ‘Inland Port’ Pasir Puteh.

Projek itu bakal diselaraskan dengan pembangunan sedia ada di kawasan sekitar supaya mampu menawarkan perkhidmatan sokongan serta mewujudkan suasana ekosistem yang kondusif industri asal.

Menurut ECERDC memandangkan kedudukan strategik Tok Bali serta infrastruktur yang bakal disediakan untuk menjamin kemampanan pembangunannya, mesyuarat memutuskan supaya PLAN Malaysia melaksanakan proses pengumpulan maklumat.

Usaha itu melibatkan Kajian Sempadan Antarabangsa Malaysia Thailand (KSAMT) dengan mengambil kira kesan serta impak projek tersebut kepada pembangunan kawasan perbatasan antara kedua-dua negara.

Selain itu, ECERDC sedang melaksanakan Pelan Transformasi TBIFP yang akan memperkukuhkan rantaian nilai perikanan dengan kemudahan infrastruktur yang menyokong aktiviti hiliran dan industri kecil sederhana.

Pada mesyuarat itu Mustapa memberitahu perancangan untuk membangunkan kawasan itu turut memberi penekanan sektor minyak dan gas, pembuatan, logistik dan perkhidmatan serta sektor tradisi seperti industri perikanan.

Semua sektor itu mampu memberi manfaat kepada rakyat serta meningkatkan ekonomi Kelantan termasuk menyediakan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan membuka peluang keusahawanan kepada penduduk tempatan. – HARAKAHDAILY 12/7/2021

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails