Friday, July 16, 2021

Lelaki tumbuk polis, conteng tembok istana maut kemalangan

 

Lokasi kemalangan di Bedong, Sungai Petani yang menyebabkan motosikal ditunggangi lelaki yang terbabit dengan dua kejadian khianat di Alor Setar maut. - Foto PDRM

ALOR SETAR: Lelaki yang melakukan dua perbuatan khianat di sini, hari ini, maut dalam kemalangan di kawasan Bedong, Sungai Petani, malam tadi.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, hasil siasatan mendapati, suspek berusia 30-an itu terbabit dalam dua kejadian khianat di daerah Kota Setar.

Beliau berkata, dalam kejadian pertama jam 3 petang, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian khianat iaitu menconteng dinding tembok Istana Anak Bukit yang dipercayai dilakukan seorang lelaki.

"Suspek bagaimanapun melarikan diri selepas kejadian dan hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati suspek dipercayai menconteng di bahagian tembok dinding istana dengan tulisan 'SAMR'.

"Siasatan juga mendapati suspek menunggang motosikal berwarna hitam dan pasukan operasi polis memulakan operasi mengesan suspek," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kesan conteng di tembok Istana Anak Bukit yang dipercayai dilakukan seorang lelaki. - NSTP/Ihsan PDRM

Kamarul Zaman berkata, kira-kira jam 5 petang tadi, suspek terbabit dipercayai pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar dan menumbuk seorang anggota polis yang sedang bertugas.

Selain itu, suspek turut membaling sebuah objek disyaki pistol mainan lalu melarikan diri dengan menggunakan motosikal.

"Akibat kejadian itu, anggota polis wanita berusia 30-an itu mengalami kecederaan di bahagian muka.

"Siasatan yang dilakukan berjaya mengesan suspek lelaki yang terbabit di dalam kedua-dua kejadian berkenaan," katanya.

Kamarul Zaman berkata, polis kemudian menemui suspek di kawasan Gurun, Sungai Petani.

"Suspek yang menyedari kehadiran polis kemudian terus melarikan diri namun anggota kita terus mengekori suspek serta memberi amaran supaya berhenti namun suspek tidak berhenti terus dan melarikan diri.

"Motosikal yang ditunggang laju oleh suspek dipercayai terbabas di kawasan Bedong, Sungai Petani dan dia mengalami kecederaan," katanya.

Lelaki yang menunggang motosikal warna hitam yang disyaki terbabit dalam dua kejadian khianat di Alor Setar. - NSTP/Ihsan PDRM

Kamarul Zaman berkata, pihak polis kemudian menghubungi hospital untuk mendapatkan bantuan dan sebaik ambulans tiba, pegawai perubatan yang bertugas mengesahkan suspek sudah meninggal dunia di tempat kejadian.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat, Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana mencederakan penjawat awam dan Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 memiliki senjata tiruan.

"Siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails