Tuesday, July 27, 2021

OLIMPIK: Emas pertama Malaysia hari ini?

 

KUALA LUMPUR: Bakal adakah perkhabaran gembira yang paling dinanti-nantikan sejak sekian lama rakyat Malaysia daripada gandingan penerjun sensasi negara, Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee hari ini?

Ya, mereka berdua ini akan turun beraksi di Pusat Akuatik Tokyo pada jam 2 petang ini waktu Malaysia, dalam acara terjun platform 10 meter seirama wanita pada temasya Sukan Olimpik 2020, bagi memburu pingat emas pertama negara.

Melihat kepada status dan pengalaman yang dimiliki Pandelela dan Mun Yee, mereka berpeluang untuk sekurang-kurangnya menyumbang sebutir pingat dalam acara itu dan pastinya yang diinginkan adalah emas.

Pandelela pernah meraih beberapa kejayaan besar termasuk pingat gangsa di Olimpik London 2012, perak di Olimpik Rio 2016, emas di Piala Dunia Tokyo selain satu perak dan empat gangsa di Kejohanan Dunia manakala dua emas dua perak di Sukan Komanwel dan satu perak dua gangsa di Sukan Asia.

Mun Yee pula berjaya meraih satu perak dan dua gangsa di Kejohanan Dunia selain satu perak dan dua gangsa di temasya Komanwel, dua perak dan lima gangsa di Sukan Asia di samping berjaya meraih 17 emas di Sukan SEA sepanjang kariernya.

Semangat Mun Yee juga dilihat berada pada tahap terbaik yang mana dia sudah pasti mahu mengakhiri penampilan terakhirnya di pentas Olimpik dengan pencapaian yang paling membanggakan.

"Saya memang letakkan sasaran untuk meraih pingat dan berusaha ke arah itu bersama Pandelela. Apa yang penting ketika ini adalah fokus dan konsisten.

"Saya akan lakukan yang terbaik dengan prestasi terkini pun sudah semakin meningkat dan kini berada pada tahap optimum," katanya.

Sementara itu, Pandelela sedia melakukan yang terbaik pada penampilannya di Sukan Olimpik kali ini.

"Walaupun sebagai seorang atlet berpengalaman, saya masih berasa seperti atlet normal, masih perlu bekerja keras dan juga masih perlu melakukan yang terbaik," katanya.

Cabaran utama buat Pandelela dan Mun Yee untuk meraih pingat emas pertama negara itu dijangka hadir dari pasangan penerjun China, Zhang Jiaqi dan Chen Yuxi.

Selain itu, gandingan penerjun Kanada, Meaghan Benfeito dan Caeli Mckay serta pasangan Britain, Eden Cheng dan Lois Toulson juga dilihat antara pencabar dalam acara itu.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Seperti biasa blog ini akan terus menyampaikan Islam atau kebenaran dan keadilan walaupun sekurang-kurangnya satu ayat. Selagi ada kemungkaran, selagi itulah perjuangan tetap akan diteruskan.

Mengenai perkara di atas, jika negara umat Islam Malaysia mahu terlaksana 'sukan menurut syariat' seperti yang berlaku di Kelantan dan Terengganu, tentukan dalam PRU 15 akan datang Ahli Parlimen PAS bertambah kerusinya! 

Jom sama-sama berdoa dan berusaha. Allah SWT merestui perjuangan kita. Kita pasti akan menang samada di dunia atau di akhirat. Allahu Akbar.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails