Rugi RM30,500 diperdaya beli kucing Munchkin
SEREMBAN: Seorang suri rumah mendakwa kerugian RM30,050 gara-gara ingin membeli seekor kucing berharga RM500 menerusi media sosial, Isnin lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani, berkata wanita berusia 56 tahun dari Senawang itu berminat untuk membeli kucing jenis Munchkin yang diiklankan menerusi Facebook atas nama akaun 'Suhair Rahman' pada 26 Julai lalu.
"Selepas berbincang melalui Facebook Messenger dengan persetujuan harga sebanyak RM500, wanita itu memberikan butiran peribadi untuk diposkan kucing itu ke alamat rumahnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Aibee berkata, pada hari sama wanita berkenaan membayar wang pendahuluan RM150 ke dalam akaun atas nama Leny Yohanis melalui pemindahan wang secara dalam talian.
Katanya, wanita itu berurusan dengan beberapa individu dan dia diminta membuat beberapa bayaran lagi sebagai wang jaminan ketika kucing itu berada di kastam dan selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, insurans pembelian haiwan, lesen pemilikan daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara serta upah menghantar kucing terbabit.
"Suspek memberitahu semua wang itu akan dipulangkan semula kepada wanita berkenaan jika proses selesai dilakukan. Justeru, mangsa memasukkan semua wang terbabit ke dalam 10 akaun berbeza," katanya.
Beliau berkata, wanita itu turut diugut jika tidak membuat pembayaran, kucing berkenaan akan dirampas dan wangnya tidak akan dikembalikan.
Aibee berkata, mangsa membuat laporan polis semalam selepas menyedari ditipu apabila nombor telefonnya disekat sehingga dia tidak dapat menghubungi individu berkenaan
"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan," katanya. - BERNAMA
1 comment:
Dan dalam Hukum Kanun Tanah Melayu, PENDERHAKA kepada Sultan / Raja Melayu hendaklah dihukum pancung.
Post a Comment