Friday, June 25, 2021

KASA lancar Pelan Anti Rasuah Organisasi

 

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melancarkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) 2021-2025 yang bermatlamat membudayakan amalan integriti dalam penyampaian perkhidmatan di kementerian itu.

Menterinya, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pelan tersebut akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun dan merupakan satu ‘living document’ yang akan melalui fasa penambahbaikan pada penghujung tahun kelima agar ianya terus relevan dengan situasi semasa.

“Buku ini (OACP) mempunyai 34 pelan tindakan yang merangkumi tiga bidang keutamaan iaitu pengurusan kewangan, tadbir urus, dan pengurusan alam sekitar dan air serta lapan objektif dan tiga strategi dalam usaha untuk mencegah gejala rasuah dan salahguna kuasa dalam kementerian ini,” ujarnya dalam satu kenyataan, selepas merasmikan Buku Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) KASA, semalam.

Dato’ Sri Tuan Ibrahim menyerahkan Buku OACP KASA kepada Ketua Setiausaha KASA, Dato’ Seri Ir Dr. Zaini Ujang dan turut disaksikan Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Senator Dr Ahmad Masrizal Muhammad serta Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki secara maya.

Sementara itu, beliau dalam ucapan perasmian turut menyeru semua pegawai dan kakitangan KASA sama ada di peringkat kementerian, jabatan atau agensi supaya memberikan komitmen penuh dalam memastikan pelaksanaan setiap inisiatif OACP dilakukan secara berterusan di setiap peringkat lapisan pegawai dan kakitangan.

Selain itu, beliau juga berharap semoga usaha murni itu dapat membentuk warga KASA yang mempunyai nilai etika, jati diri dan berintegriti sekaligus menyuburkan persepsi positif pemegang taruh terhadap KASA khususnya.

Untuk rekod, buku OACP merupakan hasil kolaborasi KASA, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) dan Institut Integriti Malaysia (IIM).

OACP merupakan manifestasi dan komitmen kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berintegriti dan bebas rasuah. – HARAKAHDAILY 25/6/2021

1 comment:

Anonymous said...

Aiikk kau buat buat lupa yg PH buat jamji dicapati tak ada lantikan politik
tak diada masa PH berkuasa dolu..

Nak tuduh tu agak agak sikit

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails