Thursday, May 16, 2019

Tanah Dilelong Milik ‘de facto’ Pemaju.



KOTA BHARU: Tanah yang akan terbabit lelongan awam seluas 12.6 hektar di Bandar Baru Tunjong pada 27 Mei ini, milik syarikat pemaju secara 'de facto’ bagi membangun kawasan itu.
Perjanjian yang ditandatangani pada 29 Jun 2011, Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) melantik sebuah syarikat membangunkan kawasan itu.
Syarikat itu sebagai pihak yang melaksana dan menanggung segala kos pembangunan termasuk kos pengambilan balik tanah yang dinilai sebanyak RM19.4 juta.
Jurucakap PMBK berkata, PMBK dan PMBK Development Sdn Bhd (PMBKD) dan pemaju bersetuju tanah tersebut tidak dipindah milik kepada pihaknya sebaliknya akan dipindah milik secara terus kepada pembeli unit projek terbabit.
“Bayaran pengambilan bernilai RM19.4 juta dibayar sepenuhnya pemaju bagi membolehkan projek itu dilaksanakan.
“Malah pemaju dibenar menggadaikan tanah projek bagi mendapatkan pembiayaan.
Pemaju dibenar mendapatkan kemudahan pembiayaan ‘gadaian pihak ketiga tanpa tanggungan’ daripada bank pembiaya untuk menyelesaikan pinjaman pengambilan balik tanah,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurutnya pihak pemaju berjaya menyiapkan fasa 1 dengan membina sebuah Hypermarket Giant.
Manakala fasa 2 membangun sebuah Apartmen Prima Lagenda setinggi 40 tingkat. Namun katanya, projek itu hanya berjalan setakat menanam asas cerucuk dan terhenti sehingga sekarang.
Katanya, kegagalan pemaju untuk membayar bayaran pinjaman menyebabkan bank mengambil tindakan undang-undang terhadapnya. Pihak bank dalam proses melelong tanah tersebut.
Menurutnya juga walaupun tanah berkenaan didaftarkan di atas nama PMBK, namun agensi itu bukan pemilik sebenar memandangkan LTSB mempunyai hak ‘de facto’ ke atas tanah terbabit.
“Tuntutan bank pembiaya untuk mendapatkan nilai tunggakan daripada lelongan tanah projek. Bank tidak membuat tuntutan penyelesaian tunggakan daripada PMBK,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 15/5/2019

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails