Thursday, May 16, 2019

Statut Rom: Apa Status Tarik Diri Malaysia? -AP K/T'ganu



Apakah sebenarnya pendirian tersebut masih tidak dimaklumkan secara rasmi kepada UN, atau tindakan pengumuman penarikan diri tersebut 'sengaja' dilakukan bagi meredakan tekanan bertali arus dalam kalangan rakyat di negara ini? 


KERAJAAN  digesa tampil memberi penjelasan mengenai status Malaysia dalam Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). Ini kerana sehingga 14 Mei 2019, nama Malaysia masih lagi tercatat sebagai negara yang menerima pakai (accession) statut berkenaan berdasarkan laman sesawang United Nations (UN) Treaties Collection. 
Walhal, soal penarikan diri Malaysia telah pun diumumkan oleh Perdana Menteri sendiri pada 5 April yang lalu. Kerajaan juga menyatakan penarikan diri telah dimaklumkan secara rasmi melalui surat Kementerian Luar Negeri bertarikh  29 April 2019. Perkara itu dikatakan akan dimuktamadkan selepas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu melengkapkan prosedur penarikan diri Malaysia. 
Apakah sebenarnya pendirian tersebut masih tidak dimaklumkan secara rasmi kepada UN, atau tindakan pengumuman penarikan diri tersebut 'sengaja' dilakukan bagi meredakan tekanan bertali arus dalam kalangan rakyat di negara ini? 
Saya menggesa agar Malaysia memantau dengan teliti segala aspek agar tidak berlaku kecuaian yang akhirnya terus mengikat Malaysia dengan triti Statut Rom. Hal ini adalah penting kerana hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum tarikh kuat kuasanya iaitu pada 1 Jun 2019. 
Rakyat Malaysia tidak akan memaafkan sesiapapun yang telah menjerumuskan Malaysia ke dalam bahaya Statut Rom ini lebih-lebih lagi jika Malaysia gagal menangani penarikan diri dari ratifikasi ini dengan sempurna atau berlindung disebalik alasan karenah birokrasi di PBB.
Kerajaan didesak untuk segera tampil memberikan penjelasan berkenaan status Malaysia dalam Statut Rom. Sikap sambil lewa dan berdolak dalik kerajaan dalam isu ini jelas tidak dapat diterima oleh rakyat. Beri penjelasan atau tunggu kebangkitan rakyat seterusnya!
“Islam Memimpin”
HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails