Monday, October 23, 2017

Opick Tinggalkan Rock, Jadi Artis Dakwah, Buka Tahfiz &Jelajah Kemanusiaan..

Opick Kisah Hijrah Penyanyi Asal Rock Diberi Hidayah
HALAMAN HIBURAN

KUALA LUMPUR: Pemilik nama Aunur Rofiq Lil Firdaus, mungkin tidak begitu dikenali. Tetapi apabila disebut Opick, terus yang dibayangkan adalah susuk tubuh sederhana insan berusia 43 tahun itu yang sering berjubah dan berserban, melantunkan zikrullah dan lagu-lagu berunsurkan Islam. 

Dia kini sudah meninggalkan lagu-lagu rock. Opick, penulis dan penyanyi kepada lagu-lagu itu adalah satu jenama besar dalam kalangan peminat lagu-lagu nasyid dan lagu-lagu berunsurkan ketuhanan baik di Indonesia mahupun Malaysia.

Beliau yang ditemui Bernama selepas program Tazkirah Usrah Khas Selebriti – Opick Bersama Nazira Noran di stesen Radio Bernama hadir mempromosikan album terbaharunya – Allah Bersamamu.
Ia buah tangan ke-19 dari Opick yang diterbitkannya sendiri dan menjalin kerjasama dengan Monkey Bone sebagai pengedar digital. Manakala PNP Entertainment selaku pengedar album di Malaysia. 

Menurutnya, album sarat dengan mesej kemanusiaan itu dilahirkan kerana ingin memberi semangat kepada mereka yang diuji agar sentiasa ingat Allah dan Allah sentiasa ada bersama setiap hambaNya.


“Allah tidak pernah melupakan hamba-hambaNya walau apapun keadaan mereka,”sambung beliau yang pernah menghasilkan lagu Aku Bukan Malaikat nyanyian Datuk Siti Nurhaliza.


Berdakwah Melalui Nyanyian?

“Saya hanyalah seorang penyanyi yang terinspirasi dengan lagu-lagu berbentuk ketuhanan.
“Saya juga sering memotivasikan rakan-rakan yang menyanyikan lagu-lagu kerohanian agar tidak mudah putus asa dengan situasi turun naiknya dunia muzik.
“Kerana bagi saya, setiap bidang memerlukan individu yang sentiasa mengajak orang lain mengingati dan menceritakan kebesaran Allah,” katanya dalam tutur kata yang serba sederhana.

“Menurut saya muzik adalah pakaian kita. Muzik itu bajunya dan isinya adalah manusia. Kalau ia melalaikan, saya fikir banyak juga perkara lain yang melalaikan. Semua perkara dan pekerjaan boleh melalaikan.
“Jadi guru juga boleh melalaikan, menteri dan keluarga juga boleh melalaikan. Apabila pekerjaan itu melalaikan kita dari Allah, maka ia tidak bagus. Tetapi jika ia mendekatkan kita pada Allah, tidak salah pada saya.”
Bagaimanapun saran beliau, terbaik dalam mencari hiburan ialah banyak membaca dan mendengar ayat-ayat Al-Quran, mendengar ceramah dan tazkirah daripada para ustaz.
“Jika ingin mencari hiburan menerusi muzik, carilah muzik yang mendekatkan diri dengan Allah,” sarannya yang tidak mahu berbalah mengenai isu khilafiyah.

Tahfiz Dan Jelajah, Al-hamdulillah!

Selain mencipta lagu dan menyanyi, Opick turut membuka sebuah pusat tahfiz yang dinamakan Baitul Umah Tombo Ati (bermaksud ubat hati), khusus buat anak-anak yatim dan anak jalanan. Menurut beliau ada 20 hingga 30 pelajar yang tinggal bersamanya dan kira-kira 300 pelajar harian. Selain itu, beliau aktif dalam aktiviti kemanusiaan.

Beliau bakal mengadakan Jelajah Kemanusiaan ke beberapa negara antaranya Palestin (Gaza), Syria, Lubnan dan juga Rohingya bermula Disember ini. Siri Konsert itu mengambil masa setahun bertujuan mengutip dana untuk disumbangkan kepada pelarian di sana.

“Hasil konsert setahun itu akan kami serahkan sendiri ke kem-kem pelarian, bersama bekalan ubat-ubatan dan makanan. Ia adalah kerjasama dengan sahabat-sahabat saya di Indonesia dan Turki,” jelasnya.

“Walaupun tidak banyak yang dapat dibantu, tetapi kita cuba setakat yang mampu. Apa lagi yang kita boleh lakukan untuk membantu saudara-saudara kita yang teraniaya?

“Jika kita tidak berusaha merebut peluang untuk membantu, Allah akan kirim orang lain untuk membantu mereka,” katanya dalam nada yang agak emosi.

Beliau yang pernah mengadakan persembahan di beberapa negara Islam seperti Mesir, Qatar dan Gaza sebelum ini berkata akan terus kekal menyanyikan lagu-lagunya di dalam bahasa Indonesia.

“Saya pakai bahasa Indonesia, biar mereka tahu bahasa Nusantara ini boleh menyentuh hati. Tidak perlu ubah diri kerana saya yakin mesejnya sampai,” jelas Opick.

Beliau malah berpendapat ada bahasa yang tidak dapat ditangkap oleh telinga, tetapi dapat ditangkap oleh hati. (IH/Bernama)


IKLAN: 

Informasi Baru Peluang Kerja Di Australia -Ibnu Hasyim.
Pihak kontraktur di Australia membuka peluang kerja-kerja baru bagi sektor pembinaan di bandar-bandar di Australia. Berminat, pihak kami sedia bekalkan maklumat.
Hasil carian imej untuk ibnu hasyi

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails