Saturday, October 28, 2017

Kecewa K'jaan Anaktirikan Bidang Sastera -Prof Khoo Kay Kim



KUALA LUMPUR: Tan Sri Prof Khoo Kay Kim mengkritik kerajaan terlalu menekankan penyelidikan sains sehingga menganaktirikan bidang sastera menyebabkan generasi muda tidak tahu sejarah negara sendiri.


Beliau kecewa dengan peruntukan RM400 juta untuk geran penyelidikan dan pembangunan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menerusi pembentangan Bajet 2018 yang disifatkannya tidak bermakna, jika ia tidak diagihkan secara adil.

“Peruntukan bagi tujuan penyelidikan mereka banyak beri kepada sains sahaja berbanding sastera. Ini bagi saya tidak adil, setiap universiti memberi keutamaan kepada sains, jadi masyarakat muda sekarang tidak tahu tentang sejarah negara sendiri.

“Kami dalam bidang sastera dan budaya, tidak dapat menentukan sama ada kami akan diberi layanan yang betul.

“Setakat ini, tidak ada layanan yang baik kepada kami bagi tujuan penyelidikan, bila kami hantar permohonan untuk sokongan ditolak,” katanya kepada FMT sambil menambah peruntukan berat sebelah tidak akan membantu meningkatkan kualiti universiti di persada antarabangsa.

Beliau berkata, tindakan menganaktirikan bidang sastera juga menyebabkan hasil penulisan pensyarah tempatan tidak lagi menjadi rujukan sarjana asing.

“Dulu kami dalam bidang sastera selalu bersaing dengan sarjana asing. Sekarang, mereka tidak lagi bersaing dengan sarjana asing sebab penulisan yang kita ada dan diterbitkan, penting hanya di negara sendiri.

“Dulu, tulisan kami selalu diberi perhatian oleh sarjana luar negara,” katanya.
Hari ini, Datuk Seri Najib Razak menerusi pengumuman Bajet 2018 
mengumumkan RM400 juta akan diperuntukkan bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan IPTA, termasuk untuk meningkatkan kedudukan universiti tempatan di persada antarabangsa.

“(Kerajaan beri) RM400 juta untuk geran penyelidikan dan pembangunan kepada IPTA berbanding RM235 juta yang diperuntukkan dalam bajet lalu, termasuk satu peruntukan khas kepada Universiti Malaya (UM) untuk mencapai status 100 universiti terbaik di dunia dalam masa terdekat.”

Perdana menteri turut mengumumkan peruntukan RM90 juta menerusi program MyBrain melibatkan 10,600 pelajar yang melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dan ijazah doktor falsafah (PhD).

Mengulas lanjut, Khoo membidas kebanyakan universiti tempatan terlalu menekankan kedudukan universiti di peringkat antarabangsa berbanding kualiti.

“Sekarang, mereka terlalu menganggap ranking begitu penting. Tidak macam dulu sebab kita lebih memberi perhatian kepada kualiti, sekarang semua bergantung kepada misalnya lebih ramai penuntut asing dan pensyarah asing, lebih banyak markah untuk universiti itu,” katanya.

Belkiau berkata, kebanyakan pensyarah berpengalaman disingkirkan dan diganti tenaga pengajar muda yang kurang pengalaman, sekaligus menjarakkan lagi kualiti universiti tempatan.

“Para akademik yang sudah tua, tapi banyak pengalaman dikeluarkan daripada universiti. Sekarang yang tinggal hanya orang muda yang tidak begitu banyak pengalaman.”

Jun lalu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dilaporkan berkata, universiti penyelidikan (RU) Malaysia melakar sejarah apabila tersenarai dalam kalangan 300 universiti terbaik dunia, berdasarkan senarai dikeluarkan Quacquarelli Symonds (QS) World University Ranking 2017-2018.

Ia terdiri daripada UM, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Katanya, pencapaian itu meletakkan semua universiti itu dalam kelompok 1% teratas dunia daripada 26,000 universiti di seluruh dunia.


IKLAN:

Informasi Baru Peluang Kerja Di Australia -Ibnu Hasyim.
Pihak kontraktur di Australia membuka peluang kerja-kerja baru bagi sektor pembinaan di bandar-bandar di Australia. Berminat, pihak kami sedia bekalkan maklumat.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails