Monday, June 05, 2017

Harga Ikan Makin Mahal, Penduduk Resah..

 Bekalan ikan kembung berkurangan menjadikan harganya melambung tinggi di pasaran. – Gambar hiasan


PENGGUNA

BERBEKALKAN bakul plastik hijau di tangan kanan, Rohani Wahab, 53, berjalan menyusuri lorong jualan ikan di Pasar Awam Teluk Kumbar, Teluk Kumbar, Pulau Pinang.
Ibu kepada dua orang anak itu mencari ikan kembung untuk dimasak asam pedas.
Sementelah, ia merupakan masakan kegemaran anak lelakinya yang bekerja di Kuala Lumpur dan akan pulang ke kampung pada hujung minggu beberapa hari sahaja lagi.
“Ikan merupakan bahan utama pelbagai masakan seperti asam pedas, masak kicap dan sambal sumbat.
“Kalau dahulu, kami tidak perlu berfikir panjang untuk mendapatkan bekalan ikan. Namun kini, bukan sahaja bekalannya sangat terhad, malah harga jualan di pasaran juga melambung tinggi terutama ikan kembung,” ujar suri rumah itu kepada Kosmo!
Rohani merupakan salah seorang daripada penduduk Pulau Mutiara yang terjejas akibat bekalan ikan berkurangan sejak akhir-akhir ini.
Rungutan sedemikian semakin kerap didengari sejak projek tambakan laut yang dijalankan oleh kerajaan negeri bermula pada tahun lalu.
Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang, Nazri Ahmad memberitahu, bekalan ikan kembung di Pulau Pinang berkurangan lebih 80 peratus sejak projek itu dimulakan.
Beliau berkata, kawasan projek tambakan laut itu telah mengganggu ekosistem kehidupan laut terutama ikan kembung kerana ia merupakan tempat haiwan itu bertelur dan membiak.
Kerajaan negeri ketika ini merancang menambak seluas 1.821 hektar kawasan laut di Permatang Damar Laut, Bayan Lepas, Pulau Pinang bagi membentuk tiga pulau buatan sebelum dijual untuk menampung kos Pelan Induk Pengangkutan (PIP) negeri berjumlah RM46 bilion.
“Projek itu dilaksanakan di kawasan yang terkenal dengan aktiviti menangkap ikan kembung. Ia bukan sahaja memberi kesan kepada nelayan kecil, malah turut menjejaskan pengguna awam kerana harganya melambung tinggi di pasaran.
Nelayan rugi
“Bukan nelayan sengaja menaikkan harga sebaliknya bekalan memang tidak ada. Kalau dahulu, nelayan boleh dapat sehingga 100 kilogram (kg) setiap kali turun ke laut tetapi sekarang hendak dapat 20kg pun susah,” katanya.
Jelasnya, jika dahulu ikan kembung boleh dibeli dengan harga tidak sampai RM10 sekilogram tetapi sejak tahun lepas, harganya boleh mencecah sehingga RM15 hingga RM20 bagi setiap kilogram.
Beliau menambah, projek itu juga akan merugikan nelayan dalam jangka masa panjang kerana ia akan mengganggu ekosistem kehidupan laut.
Pampasan sebanyak RM15,000 yang diberi kepada tekong juga sebenarnya tidak mencukupi kerana projek tambakan laut itu membuatkan nelayan memerlukan enjin bot yang lebih besar untuk membeli peralatan moden.
Ini kerana, nelayan perlu keluar menangkap ikan ke kawasan yang lebih jauh.
Selain itu, projek tambakan laut turut menyebabkan bot, enjin dan peralatan menangkap ikan nelayan rosak menyebabkan mereka menanggung kos tinggi untuk membaikinya.
Beliau turut menggesa kerajaan negeri bersikap lebih telus dalam pemberian pukat percuma kepada nelayan di negeri ini kerana pada tahun lepas hanya 50 peratus daripada 3,191 nelayan yang berdaftar dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pulau Pinang mendapat bantuan daripada program itu.
“Kami telah mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri berhubung masalah itu pada lima bulan lepas, tetapi masih belum mendapat sebarang maklum balas sehingga hari ini.
“Sebelum ini, mereka bagi kepada semua nelayan yang berdaftar dengan LKIM tetapi sejak tahun lepas hanya yang terpilih diberi menyebabkan kami tidak berpuas hati,” katanya. (Kosmo!)
Peluang Kerja Kutip Buah Di Australia, Gaji RM40-48 Per Jam.. Bagaimana?

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails