Saturday, January 07, 2017

12,771 Mangsa Banjir Di K'tan..


Bah Pantai Timur CUACA cerah di sekitar pekan Rantau Panjang menunjukkan kawasan rendah yang masih ditenggelami banjir akibat limpahan air dari Sungai Golok sejak Jumaat lalu. - Foto Fathil Asri


Mangsa banjir terpaksa menggunakan bot untuk berulang alik ke jalan utama setelah kawasan rumah mereka dilanda banjir di Kampung Lapang Sira, Kuala Nerus hari ini. - Foto BERNAMA 

KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir di Kelantan berkurangan kepada 12,771 orang daripada 4,584 keluarga setakat 9 malam ini berbanding 12,931 orang daripada 4,640 keluarga 5 petang tadi. 

Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi aplikasi infobanjir, sebanyak 29 pusat pemindahan masih dibuka bagi menempatkan mangsa banjir di Jajahan Pasir Mas, Tumpat dan Pasir Puteh. Jumlah mangsa paling ramai ialah di Jajahan Pasir Mas iaitu sebanyak 8,706 orang daripada 3,286 keluarga yang ditempatkan di 21 pusat pemindahan, diikuti Jajahan Tumpat sebanyak 4,038 orang daripada 1,293 keluarga yang ditempatkan di tujuh pusat pemindahan. 

Terdapat 27 orang daripada lima keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan di Pasir Puteh. Berikutan banjir yang semakin surut lebih ramai mangsa dijangka dapat pulang ke rumah masing-masing esok. Menurut laman sesawang kerajaan negeri di http://ebanjir.kelantan.gov.my. hanya paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya iaitu 9 meter (m), namun menunjukkan trend penurunan iaitu 9.69m berbanding 9.77 m petang tadi.

Paras air Sungai Kelantan semakin surut dan berada di bawah paras bahaya dengan bacaan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah pada 12.89m berbanding 12.99m petang tadi (paras bahaya 16m) manakala paras air sungai utama yang lain telah kembali ke paras normal. 

Di KUALA TERENGGANU: Jumlah mangsa banjir di negeri ini menurun sedikit kepada 1,238 mangsa setakat 9 malam berbanding 1,302 mangsa petang tadi. Mengikut laman web Infobanjir, jumlah terkini itu meliputi seramai 316 keluarga di tujuh pusat pemindahan di lima daerah. 

Kuala Terengganu mencatatkan jumlah mangsa banjir terbanyak iaitu 955 mangsa daripada 235 keluarga, Dungun (217 mangsa daripada 63 keluarga), Marang (39 mangsa daripada 13 keluarga) dan Setiu (27 mangsa daripada lima keluarga). 

Di Besut, sebuah pusat pemindahan iaitu di Pulau Perhentian telah ditutup lewat petang ini setelah disahkan kawasan terjejas kini selamat dan mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. Di kawasan lain jumlah pusat pemindahan ialah masing-masing tiga di Kuala Terengganu, dua di Dungun manakala satu di Marang dan Setiu. - BERNAMA



PERHATIANPeluang kerja kosong di Korea Selatan hanya dengan modal RM3,00 termasuk tambang dan khidmat..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails