Thursday, September 15, 2016

Polisi Rumah Selangorku, K'jaan Persekutuan Perlu Contohi.. -Datuk Iskandar


KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan disarankan mencontohi polisi pembinaan Rumah Selangorku yang giat dilaksanakan di Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, hal itu kerana polisi perumahan di Selangor berkesan menyelesaikan masalah harga rumah mengikut pasaran semasa.
 
Beliau berkata, polisi itu menetapkan syarikat pemaju membina lebih banyak projek rumah mampu milik demi kepentingan rakyat Selangor, lapor SelangorKini.

“Polisi Rumah Selangorku yang berkuatkuasa sejak Januari 2013 mewajibkan pemaju membina rumah mampu milik atau Rumah Selangorku.

“Contohnya, pemaju yang membangunkan projek perumahan lebih 10 ekar wajib membina 30 hingga 40 peratus rumah mampu milik," katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya terdapat beberapa komponen rumah yang berharga RM42,000, RM100,000, RM150,000, RM180,000, RM220,000 dan RM250,000.

“Walaupun kerajaan negeri tidak mengawal harga rumah secara langsung, namun kita berusaha untuk memastikan terdapat stok perumahan di pasaran bagi golongan berpendapatan rendah juga sederhana.

“Sejak usaha ini dipergiatkan pada 2015, lebih 20,000 unit rumah diluluskan untuk dibina pemaju, selain Kerajaan Negeri juga turut mengawal jualan rumah mampu milik,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, pemaju perumahan Selangor juga diwajibkan menjual Rumah Selangorku kepada pembeli berdaftar dengan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) berpandukan kepada pendapatan isi rumah bulanan.

“Saya yakin polisi Rumah Selangorku ini sedikit sebanyak menyelesaikan masalah harga rumah yang semakin tidak terkawal.

“Kerajaan Persekutuan perlu memiliki political will untuk memastikan rakyat berpendapatan rendah juga sederhana mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya. (Hrkh)

1 comment:

PasNoMore said...

Artikel Harakah ke ni? Kesian takde sapa nak beli, inikan lagi nak baca. Terpaksalah di copy dan pastekan di sini.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails