Friday, September 16, 2016

Masjid Dibakar Semasa Umat Islam Sambut A/Adha Di AS

Hasil carian imej untuk Lelaki bakar masjid ditangkap
MIAMI, Florida – Seorang lelaki Florida yang didakwa menyebarkan bahan-bahan anti-Islam di media sosial ditahan kelmarin kerana membakar sebuah masjid, kata polis.


Masjid berkenaan pernah dikunjungi oleh lelaki bersenjata yang melakukan tembakan rambang paling dahsyat dalam sejarah moden Amerika Syarikat (AS).
Kes itu dikategorikan sebagai jenayah kebencian di bawah undang-undang Florida dan suspek, Joseph Michael Schreiber (gambar), 32, boleh dipenjara sekurang-kurangnya 30 tahun sekiranya didapati bersalah, menurut Pejabat Syerif Daerah St. Lucie.
Schreiber dituduh mencetuskan kebakaran yang menyebabkan kerosakan teruk pada Pusat Islam Fort Pierce, masjid yang kerap dikunjungi Omar Matter sebelum dia menembak mati 49 orang dan mencederakan 53 yang lain di sebuah kelab malam gay pada Jun lalu.
Omar bagaimanapun dibunuh anggota penguatkuasa undang-undang dalam insiden itu di Orlando, kira-kira 160 kilometer ke barat laut bandar Fort Pierce.
Masjid itu terbakar kira-kira pukul 12.30 pagi (waktu tempatan) pada Isnin lalu semasa umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha dan pihak berkuasa segera menyifatkan kejadian itu sebagai serangan berunsur kebencian.
Tiada sesiapa di dalam masjid itu ketika kejadian, namun kebakaran tersebut memaksa jemaah menunaikan solat di tempat lain.
Pejabat Syerif Daerah St. Lucie memberitahu pemberita bahawa rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki menunggang sebuah motosikal dan mendekati masjid dengan membawa bersama sebotol cecair dan kertas beberapa minit sebelum kebakaran berlaku.
Semasa sidang akhbar bagi mengumumkan penahanan itu kelmarin, Syerif Mejar David Thompson berkata, Schreiber memiliki sebuah motosikal sama seperti yang dilihat dalam rakaman CCTV tersebut.
Pemeriksaan terhadap akaun media sosial Schreiber turut mendedahkan beberapa catatan dan komen anti-Islam, kata Thompson tanpa memberi ulasan lanjut. – Reuters

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails