Saturday, September 17, 2016

Dr Haron Din Seorang Guru Yang Teliti – KP Jakim

Hasil carian imej untuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha.

Putrajaya: Allahyarham Datuk Dr Haron Din adalah seorang guru yang teliti dalam mendidik anak muridnya, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha.

Katanya, beliau masih ingat kata-kata Dr. Haron, ketika menjadi dekan di Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), ketika beliau (Othman) mengikuti pengajian dalam bidang syariah di universiti itu.
“Katanya jika kita membicarakan soal aqidah, tidak boleh dalam nada tinggi atau gelak ketawa. Nada perlu serius, rendah serta tidak boleh gopoh dan sentiasa tenang,” katanya kepada pemberita selepas menyertai solat jenazah ghaib Dr. Haron di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA), di sini hari ini.
Kira-kira 500 jemaah menunaikan solat itu yang diimamkan oleh Timbalan Imam Besar MTMZA, Ustaz Ehsan Mohd. Hosni, selepas Solat Zohor.
Othman berkata negara kehilangan seorang tokoh agama yang banyak berjasa terutamanya dalam membantu Bank Negara Malaysia membangunkan bidang perbankan Islam.
“Allahyarham juga mengetuai kluster dakwah dalam Majlis Perundingan Islam (MPI) yang menentukan hala tuju program untuk memastikan gerakan dakwah dapat dilaksanakan dengan sempurna dan menyatupadukan umat Islam,” katanya.
Beliau berkata, Mursyidul Am PAS itu juga mempunyai ilmu yang tinggi dalam pelbagai bidang seperti feqah, tauhid dan kemasyarakatan.
Allahyarham Dr Haron, 76, meninggal dunia pada 10.10 pagi Jumaat (waktu Malaysia) di Hospital Stanford University, San Francisco, Amerika Syarikat akibat komplikasi jantung.
Jenazah beliau disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Five Pillars, 1761 Laughlin Rd, Livermore, California, Amerika Syarikat pada 8.57 pagi tadi (waktu Malaysia).
Allahyarham meninggalkan isteri Datin Khatijah Salleh serta dua anak lelaki dan tiga anak perempuan. – BERNAMA

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails