Thursday, December 31, 2015

Sokong Al-Qaeda, Pelajar Ini Didakwa..

Mohamad Hidayat yang menghadapi tuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Al-Qaeda dibawa ke Mahkamah Sesyen Sepang pada Khamis. - fotoBERNAMA


SEPANG: Seorang pelajar kolej di Kaherah, Mesir menjadi individu pertama dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, Khamis atas tuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Al-Qaeda.
Mohamad Hidayat Azman, 19, pelajar Kolej Markaz Salam di Hayyu Asyir, Kaherah didakwa telah memasuki Syria bagi memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Al-Qaeda (Jund Al Aqsa) dengan menjadi ahli kumpulan pengganas itu.
Mohamad Hidayat dari Kuala Bagan Tiang, Tanjung Piandang, Perak didakwa melakukan kesalahan itu dengan menaiki pesawat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang ke Syria antara 5 Sept 2014 hingga 1 September tahun ini.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Hafizah Mohd Salim.
Tiada pengakuan direkodkan daripada Mohamad Hidayat, yang didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum menurut Seksyen 130J kanun sama kerana kes itu merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan seumur hidup atau tidak melebihi 30 tahun atau denda, dan boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan bagi melakukan kesalahan itu.
Mahkamah menetapkan 28 Januari depan untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin. - BERNAMA

1 comment:

Anonymous said...

bila agaknya dapat dengar di malaysia ini rakyat ditangkap kerana menyokong obama.....!!!!!!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails