Friday, January 01, 2016

Perutusan Tahun Baru 2016 -YB Dato' Iskandar Abdul Samad

Tahun 2015 telah meninggalkan kita. Alhamdulillah kita telah berada di tahun 2016 yang baru. 2015 merupakan tahun yang dihiasi dengan peristiwa-peristiwa duka bagi rakyat Malaysia.Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) telah mula diperkenalkan. Nasib rakyat Malaysia yang sebelum itu berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup bagaikan "jatuh tangga ditimpa tangga".
Golongan berpendapatan rendah yang sebelum ini tidak perlu membayar cukai pendapatan sekarang terpaksa membayar cukai. Kos sara hidup terus meningkat dan golongan berpendapatan sederhana juga menerima kesannya. Pelbagai kontroversi pula telah melanda negara dan pimpinan tertinggi negara. Akibatnya imej negara di mata dunia telah teruk tercalar. Keyakinan warga antarabangsa terhadap negara terus merudum. Kejatuhan nilai Ringgit berlaku tanpa henti. Malaysia perlu diselamatkan. Rakyat tidak boleh dibiarkan tanpa pembelaan.
PAS TIDAK AKAN BERDIAM DIRI.


Maka PAS tidak akan sama sekali redha atau berdiam diri. Islam mengajar kita agar tidak cenderung kepada mereka yang zalim sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud,
  • "Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolongpun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan." ( Hud : 113 )

Pada tahun 2016, sama ada di dalam kerajaan atau di luar kerajaan PAS akan kekal dengan agenda-agenda membela nasib rakyat.

PENYELESAIAN YANG "TANGIBLE".

Tetapi masa untuk slogan-slogan bersemangat semata-mata telah berlalu tetapi masanya telah tiba bagi penyelesaian-penyelesaian yang "tangible". Agar ini dapat berlaku PAS akan memperlengkapkan ahli-ahlinya dengan pelbagai ilmu dan kepakaran. Rasulullah SAW bersabda, 
  • “Barangsiapa menginginkan soal-soal yang berhubungan dengan dunia, wajiblah ia memiliki ilmunya; dan barangsiapa yang ingin (selamat dan berbahagia) di akhirat, wajiblah ia mengetahui ilmunya pula; dan barangsiapa yang menginginkan kedua-duanya, wajiblah ia memiliki ilmu kedua-duannya pula.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

PAS akan membuka pintunya kepada sesiapa yang mahu bersama-sama mencapai hasrat tersebut. Sehubungan itu, usaha menambah ahli dan menubuhkan cawangan-cawangan baru akan dipertingkatkan.

PERTEGASKAN KOMITMEN AHLI.

Komitmen ahli-ahli PAS untuk menyumbang tenaga dan wang ringgit yang dikagumi kawan dan lawan akan dipertegaskan kembali. Walaupun hari ini PAS berada di dalam kerajaan dengan pelbagai kemudahan dan peruntukan namun PAS perlu bersedia untuk apa sahaja kemungkinan.
Allah SWT berfirman yang bermaksud, 
  • ".....Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki....."( Ali Imran : 26 )

BAKTI UNTUK SEMUA.

PAS akan terus inklusif, menabur bakti untuk semua tanpa mengira agama, bangsa dan status sosial. Ia sesuai dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,
  • “Tiadalah Kami mengutus engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” ( Al- Anbiya : 107 ). 
PAS akan menjadi rahmat bagi seluruh rakyat.

TAMATKAN DOMINASI BN.

Seluruh tenaga rakyat pula perlu digembeling untuk memastikan dominasi BN berakhir. Negara dan rakyat berada di dalam bahaya selagi BN terus berkuasa. Aset negara telah jatuh ke tangan asing dan mereka dibenarkan menguasai industri yang kritikal. Ini sekali gus mendedahkan negara kepada kemungkinan campurtangan asing. Undang-undang baru pula digubal untuk memastikan kebangkitan rakyat dapat disekat. Sebenarnya BN tidak boleh dibiarkan mentadbir negara walaupun satu hari lagi. Pembangkang perlu mencari formula bagaimana penguasaan BN ini boleh berakhir. Pengalaman di negara-negara lain menunjukkan boleh terdapat lebih dari satu inisiatif. Dunia hari ini terlalu kompleks dan rakyat terlalu bijak untuk dihidangkan dengan satu alternatif sahaja.

SELAMAT MENGHADAPI CABARAN 2016.

BAKTI UNTUK SEMUA.

YB Dato' Iskandar Abdul Samad
Pesuruhjaya PAS
Negeri Selangor
1 Januari 2016

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails