Wednesday, December 30, 2015

DAP Usir Melayu Keluar Pulau Pinang – S/Usaha PAS P.Pinang.

penang2
GEORGE TOWN – Tindakan Kerajaan DAP Pulau Pinang meluluskan banyak pembangunan perumahan mewah terutama di kawasan perkampungan warisan dilihat sebagai memaksa komuniti Melayu Islam berhijrah.


Ia juga usaha pecah undi Melayu di satu-satu kawasan, dakwa Setiausaha PAS Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim yang pernah dipecat daripada jawatan ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kerana mengkritik DAP negeri itu.
Katanya, pembangunan sedemikian seolah-olah menghalau komuniti sedia ada secara terhormat dengan membina rumah ‘mampu gigit jari’ bernilai tinggi yang hanya bermula dari harga RM400,000 hingga melebihi RM1 juta.
“Ada semacam satu agenda pembangunan sangat pesat ini, semacam satu teknik pengusiran masyarakat Melayu Islam yang masih ada saki baki. Kalau tengok perumahan baharu, agak sukarlah bagi orang Melayu nak beli.
“Kalau perkara sebegini tidak dibendung, usaha perencanaan sistematik yang berjaya dibuat DAP ini akan hakis orang Islam dan perkampungan Melayu daripada bahagian pulau kepada tanah besar di Seberang Perai.
“Jadi pembangunan perlu ambil kira komuniti. Apa makna pembangunan atau perumahan yang boleh buat? Tapi komuniti tak boleh terima. Komuniti hanya hanya jadi penonton, jadi mangsa kepada pembangunan ini,” ujarnya.
penang1
penang3
Iszuree seperti yang dilaporkan laman web rasmi PAS dan disiarkan portal beritaAgendaDaily berkata, nasib sama berlaku juga kepada penjaja Melayu Islam dikenakan tindakan roboh oleh pihak penguatkuasa tempatan.
Sedangkan MBPP dan Majlis Perbandaran Seberang Perai tidak pula melakukan perkara sama kepada kawasan penjaja majoriti bukan Melayu yang secara terang mengganggu lalu lintas dan tidak menjaga kebersihan awam.
Malangnya menurut beliau, apabila perkara tersebut diutarakan, pihak DAP pantas menuduh hal tersebut sebagai rasis, walhal tindakan pentadbiran DAP itu sebenarnya lebih dilihat jauh bermotifkan perkauman yang sempit.
Sedangkan jelas Iszuree, usaha PAS itu adalah untuk memberi keadilan, keharmonian dan hak rakyat sebagaimana menjadi intipati utama perjuangan Pakatan Rakyat serta dipersetujui dalam manifesto pilihan raya umum lalu.
Ia termasuk untuk mewujudkan garis sempadan Perkampungan Melayu Warisan di Pulau Pinang. Bagaimanapun ujarnya, perkara itu langsung tidak pernah dibincangkan sesama mereka setelah menang pilihan raya tersebut.
Sebaliknya pemerintah ditunjangi DAP lebih menitikberatkan pemeliharaan warisan kolonial Inggeris seperti yang terdapat banyak di bandar raya George Town setelah mendapat status tapak warisan dunia daripada UNESCO.
penang4
“Mereka cuba menarik sokongan ketika Pilihan Raya Umum pada 2013 lalu itu dengan agenda konon mahu bantu warisan perkampungan Melayu. Tetapi setelah menang dengan kuasa yang ada, tidak pula disentuh pun.
“Jadi, apa matlamat buat pembangunan rumah mewah begitu? Seolah-olah macam nak halau komuniti yang sedia ada secara berhormat. Apabila tidak mampu, pergi dari pulau ke sebelah seberang. Penghijrahan berlaku.
“Macam ada agenda tersembunyi, pembangunan ini supaya undi orang Melayu di situ pun berpecah. Ini agenda-agenda yang kita (PAS Pulau Pinang) sudah nampak,” tutur beliau meluahkan kebimbangan.
Sepatutnya terang Iszuree, kerajaan DAP Pulau Pinang mengambil tanggungjawab untuk memelihara komuniti Melayu kerana ia juga merupakan aset yang turut menyumbang misalnya kepada industri pelancongan negeri.
Terang beliau lagi, pelancong asing bukan sahaja datang untuk melihat pantai dan seumpamanya, tetapi juga komuniti masyarakat, budaya, makanan dan warisan asli tempatan turut boleh menjadi daya tarikan unik.
Beliau turut tidak menolak Kerajaan DAP cuba menjadikan Pulau Pinang sebagai pulau komersial seperti mana Singapura dan Hong Kong serta sebagai penempatan untuk orang kaya sahaja. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails